Kenapa tidak perjuangkan Islam?
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Soi Lek dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 41 (b) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut. Menurutnya, siasatan itu adalah ekoran dua laporan polis yang dibuat ke atas Soi Lek itu berhubung isu ketuanan Melayu baru-baru ini [Utusan Malaysia 4/12/2008].
Samada kenyataan Soi Lek berbentuk hasutan atau tidak masih belum dapat diputuskan, namun yang penting, isu ketuanan Melayu ini nampaknya begitu dipandang serius oleh kerajaan dan sebahagian orang-orang Melayu. Isu ini amat sensitif sehingga jika tidak kena gaya mempertikaikannya, seseorang itu boleh didakwa di bawah akta hasutan.
Kaum bukan Melayu yang sudah bergenerasi menetap di Malaysia tentunya tidak akan berpuas hati dengan konsep ketuanan Melayu, apatah lagi Malaysia sebagai negara demokrasi yang sepatutnya memberikan hak sama rata kepada semua warganegara, tanpa mengira bangsa. Orang Melayu pula, sebagai kaum pribumi, merasakan bahawa mereka mesti mendapat keistimewaan sebagai penghuni asal Tanah Melayu.
Inilah hakikatnya apabila assabiyyah dijadikan pegangan. Perbalahan dan pertikaian akan sering terjadi, apatah lagi apabila masih wujud banyak kes di mana orang-orang Melayu jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek kehidupan, berbanding kaum lain, khususnya dalam bidang ekonomi. Memang benar terdapat beberapa kerat orang-orang Melayu yang sudah berjaya, namun ia belum cukup untuk memuaskan hati orang Melayu, apatah lagi apabila konsep ketuanan Melayu ini dipertikaikan oleh kaum bukan Melayu.
Sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, namun hakikatnya masih ramai orang-orang Melayu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang tak kena dengan konsep ketuanan Melayu ini sehingga ‘gagal’ menjadikan orang Melayu sebagai tuan? Ini dari satu sudut, dari sudut yang lain, kebanyakan orang Melayu sendiri tidak pernah merasai ‘sifat ketuanan’ mereka. Apa yang mereka rasai sejak dulu hingga kini adalah kezaliman, penindasan dan hamba kepada sistem kapitalis yang diterapkan oleh kerajaan. Sehinggakan boleh berlaku kematian satu keluarga yang rumahnya terbakar kerana tidak mampu membayar bil elektrik. Di manakah taraf ketuanan mereka?
Justeru, makna sebenar ‘ketuanan Melayu’ hanya wujud kepada sekelompok puak pemerintah dan puak Kapitalis Melayu yang sejak sekian lama tidak puas-puas menghisap darah rakyat. Mereka hidup kaya raya dikelilingi kemewahan yang melimpah ruah manakala golongan majoriti dari rakyat hidup tertindas dan tertekan, tanpa dipedulikan. Isu ini nampaknya sentiasa ‘dipanaskan’ bagi menyatukan orang-orang Melayu agar tetap tunduk patuh kepada kerajaan Kapitalis yang ada yang kononnya sedang berusaha menjadikan mereka tuan di bumi ini, walhal dalam masa yang sama, pemerintah terus menghisap darah orang yang diperintah.
Bagi para pejuang agenda Melayu, sedarlah bahawa Allah SWT tidak pernah memerintahkan kalian untuk memperjuangkan konsep ketuanan Melayu. Di dalam Islam, semua manusia adalah hamba kepada Allah SWT dan setiap hamba wajib taat dan patuh kepada semua perintah dan menjauhi larangan-Nya serta melaksananya syariat-Nya secara kaffah. Dan Allah tidak pernah memerintahkan agar orang Islam berjuang mempertahankan ketuanan bangsa masing-masing. Sesungguhnya tidak ada satu dalil pun yang membolehkan seseorang itu memperjuangkan bangsa, malah dalil yang ada dengan jelas menunjukkan bahawa perjuangan bangsa adalah haram secara mutlak. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, agar kamu berpetunjuk.” [TMQ Ali Imran (3):102-103]
Sabda Rasulullah SAW,
“Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Dawud].