Kenyataan Halal Dan Haram Sang Mufti Bercelaru
KUALA LUMPUR 4 Jan. — Tidak salah melakukan kegiatan riadah di pekarangan masjid kerana Islam bukanlah agama rigid, namun ia perlu dibuatkan mengikut batasan yang ditetapkan hukum syarak.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, senaman boleh dilakukan dengan syarat tidak ada percampuran di antara lelaki dan wanita.
Katanya, ketika melakukan aktiviti tersebut, golongan wanita perlu menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
“Adalah menjadi kewajiban orang Islam untuk menegah dan mencegah sesiapa sahaja termasuk bangsa asing daripada melakukan perbuatan yang melanggar hukum Allah, sama ada di dalam atau di pekarangan masjid,” katanya.
Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, sebagai tempat ibadat, masjid mempunyai kehormatan tersendiri dan sesiapa yang memasuki ke kawasan tersebut perlu mengikut peraturan yang ditetapkan.
Katanya, selain wanita, kaum lelaki yang memasuki masjid perlu menutup aurat yang ditentukan Allah iaitu dari pusat hingga ke kaki, namun lebih sopan kalau menutupi badan.
Menurutnya, apa yang ditetapkan itu adalah peraturan yang berasal dari al-Quran dan harus dituruti.
“Jangan kerana ingin mencapai kepentingan sesuatu, perkara haram dihalalkan,” katanya.
Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyertai aktiviti senamrobik dengan berpakaian tidak menutup aurat di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor baru-baru ini.
Malah katanya, bagi mengelak perkara sedemikian berulang, pihak pengurusan masjid perlu meletak papan tanda tentang adab memasuki masjid untuk pengetahuan orang ramai.
Sementara itu, Mufti Sarawak, Kipli Yassin berkata, tidak kira sesiapa yang memasuki masjid atau perkarangan, tidak boleh melakukan perbuatan bercanggah.
Katanya, kemuliaan masjid sebagai tempat ibadah perlu dijaga baik dari segi etika berpakaian atau perlakuan agar tidak bercanggah dengan Islam.
“Tidak boleh melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam ketika berada di masjid, sebaliknya kemuliaan rumah ibadah itu perlu dijaga,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ada di antara masjid disenaraikan sebagai lokasi pelancongan namun setiap pengunjung diwajibkan menurut peraturan yang ditetapkan.
Selain itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab jawatankuasa masjid memaklumkan kepada orang ramai aktiviti apa yang sesuai dilakukan atau sebaliknya.
Sumber: Utusan Malaysia 05/01/2011
Halal Dan Haram: Kenyataan Mufti Bercelaru
Isu halal dan haram memang sesuatu yang wajib diketahui, difahami dan dipraktikkan berdasarkan ajaran Islam yang suci. Daripada petikan di atas, kelihatannya respon sang mufti berkenaan halal dan haram sangat bercelaru walau pada dasarnya, mungkin ia dilihat sebagai membela agama Islam. Ini kerana, sang mufti masih terkongkong dengan gaya berfikir sekularisme. Sang mufti hanya membahaskan dan memfokuskan tentang halal dan haram, hanya ketika manusia itu berada di kawasan masjid sahaja. Lihatlah kenyataan Harussani di bawah;
“Adalah menjadi kewajiban orang Islam untuk menegah dan mencegah sesiapa sahaja termasuk bangsa asing daripada melakukan perbuatan yang melanggar hukum Allah, sama ada di dalam atau di pekarangan masjid,”
Mufti Sarawak, Kipli Yassin pula berkata,
“Tidak boleh melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam ketika berada di masjid, sebaliknya kemuliaan rumah ibadah itu perlu dijaga,”.
Umumnya, syariat Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk menyelesaikan seluruh aspek kehidupan manusia bermula dari A sehinggalah ke Z. Islam tidak pernah memisahkan penerapan halal dan haram baik di dalam mahupun di luar masjid. Semua warganegara wajib untuk patuh dengannya (syariat Islam) dalam seluruh kehidupan mereka, kerana ia adalah ketentuan Ilahi. Barangsiapa yang melanggar, maka wajib dikenakan ke atasnya (pesalah) suatu hukuman, baik ianya Hudud, Qisas, Ta’zir atau Mukhalafat, bergantung kepada jenis kesalahan yang telah dilakukan.
Oleh kerana itu, kami menyeru umat Islam seluruhnya, khususnya kepada para pemimpin dan alim Ulama’, agar berani berkata tentang halal dan haram dengan cakupan yang lebih luas, merangkumi individu, masyarakat serta negara dengan perspektif yang benar. Barulah apa yang kita katakan itu sesuai dengan apa yang dituntut oleh Allah SWT.