Kenyataan Media Seksaan Tahanan: Kejahatan CIA Dan Penglibatan Malaysia

Seksaan Tahanan: Kejahatan CIA Dan Penglibatan Malaysia

Pendedahan laporan oleh American Senate Intelligence Committee baru-baru ini mengenai kekejaman Central Intelligence Agency (CIA) dalam menyeksa tahanan, agak mengejutkan dan menimbulkan beberapa persoalan di samping membuktikan banyak perkara. Apa yang juga mengejutkan ialah nama Malaysia tersenarai sebagai negara yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam program siasatan dan tahanan rahsia CIA sejak peristiwa 9/11. Selain Malaysia, negeri-negeri Muslim lain yang turut terlibat dengan kejahatan global CIA ini ialah Afghanistan, Algeria, Azerbaijan, Bosnia-Herzegovina, Mesir, Libya, Indonesia, Maghribi, Pakistan, Arab Saudi, Somalia, Syria, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Yemen. Laporan itu sebenarnya mengesahkan kajian yang dilakukan oleh Open Society Justice Initiative yang bertajuk “Globalising Torture: CIA Secret Detention and Extraordinary Rendition” yang diterbitkan pada Februari 2013 yang mendakwa Putrajaya telah membantu CIA dalam dua program “rendition” (pemindahan seseorang ke negara lain tanpa melalui proses undang-undang).

Laporan yang dikeluarkan itu memberikan penjelasan penuh mengenai bentuk seksaan yang amat dahsyat ke atas tahanan yang dilakukan oleh CIA, yang menyalahi undang-undang antarabangsa berhubung layanan ke atas tahanan. Antaranya ialah, tahanan dipaksa berdiri selama berjam-jam dengan anggota badan mereka yang telah patah, dikurung di tempat gelap gelita, tidak dibenarkan tidur selama seminggu dengan kedua-dua tangan dibelenggu atas kepala mereka, waterboarding (dilemaskan dengan disirami air yang banyak ke muka yang ditutup dengan kain dalam keadaan badan terbaring manakala kaki dan tangan terikat) dan bermacam seksaan lagi di luar batas kemanusiaan, sehingga ada yang membawa kematian.

Laporan The Malaysian Insider menyebut bahawa Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Akhil Bulat mengesahkan yang polis perisik Malaysia berkongsi maklumat dan latihan dengan CIA dalam usaha menangani keganasan, tetapi tidak terlibat dalam penahanan rahsia dan rendition. Laporan itu tidak betul, tegas Akhil. Beliau mengakui bahawa adalah perkara biasa menjalin hubungan dengan CIA. Akhil mengulas berhubung rendition Abu Abdullah al-Sadiq (Abdul Hakim Belhadj) dan isterinya, Fatima Bouchar, yang ditahan di Malaysia pada 2004, sebagaimana terkandung dalam laporan tersebut. Menurut laporan itu, Abu Abdullah dan isterinya, yang sedang mengandung pada masa itu, ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia di Kuala Lumpur dan ditahan selama 13 hari dalam keadaan daif dan isterinya dinafikan rawatan perubatan. Kedua-dua mereka kemudian “dipindahkan” ke Thailand di mana mereka mendakwa diseksa dan akhirnya dihantar ke Libya di mana Abu Abdullah ditahan sehingga 2010, manakala isterinya dibebaskan tidak lama selepas melahirkan anak. “Mereka datang dari China dan sepatutnya dihantar pulang ke negara tersebut tetapi tidak dapat dilakukan kerana masalah visa. Mereka dihantar pulang ke Thailand atas permintaan mereka sendiri, bukan kami,” kata Akhil.

Selain bertentangan dengan laporan CIA, sungguh aneh jawapan yang diberikan oleh PDRM! Sejak bila pula PDRM akur kepada permintaan “penjenayah” apatah lagi apabila penjenayah itu dilabel sebagai “pengganas”!? Dan kenapakah PDRM terus bekerjasama dengan CIA walaupun mereka tahu yang CIA adalah pihak yang tidak boleh dipercayai, tahu tentang sikap kebinatangan CIA, tahu betapa kejam dan biadabnya CIA, khususnya ke atas umat Islam? Di manakah maruah dan integriti pihak polis apabila sanggup bekerjasama dengan sejahat-jahat manusia ini? Kita semua tahu bahawa AS-lah pengganas dunia yang sebenar. AS adalah musuh Islam, musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukmin. Apakah PDRM tidak nampak semua ini? Apakah sudah tidak ada penasihat agama yang menasihati PDRM bahawa bekerjasama dengan AS, selaku Kafir Harbi adalah haram? Atau sudah ada yang menasihati, namun tidak didengari!?

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapakah Senat AS mendedahkan hal ini yang bermaksud membuka pekong di dada sendiri, memalukan AS dan boleh mendedahkan AS kepada ancaman ‘pengganas’. Hal itu semua boleh terjawab bagi mereka yang mempunyai kejernihan berfikir dan ketajaman analisis. Persoalan penting kepada kita sekarang ialah, apakah makna pendedahan ini kepada kita semua? Apa yang pasti, kita telah tahu penglibatan penguasa Muslim dengan puak kuffar yang sungguh jahat dan brutal di muka bumi ini. Tidak mungkin penguasa Muslim boleh melibatkan diri dalam semua ini jika hatinya tidak dipenuhi pengkhianatan. Sesungguhnya dengan pendedahan ini, AS seolah-olah mengatakan kepada kita, “Wahai kaum Muslimin! Aku telah dedahkan kejahatan aku yang sungguh kejam dan aku telah dedahkan penglibatan pemimpin kamu dan kerjasama erat antara mereka dan aku. Aku boleh menyeksa dan membunuh kamu dan saudara kamu sesuka hati jika aku mahu. Aku berkuasa dan kamu lemah walau seramai mana bilangan kamu sekalipun. Justeru, apakah yang boleh kamu lakukan terhadapku? Lihatlah betapa para pemimpin kamu semuanya tunduk kepadaku, mereka bersamaku, bukan bersama kamu…maka janganlah kamu cuba-cuba untuk melawanku kerana aku pasti akan menyeksa dan membunuhmu tanpa kamu mendapat pertolongan dan perlindungan sedikitpun!”
Atas pendedahan dan kejahatan AS ini, maka kami menjawab dengan firman Allah SWT,

﴿وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِى الاٌّرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَظَنُّواْ أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لاَ يُرْجَعُونَ

 

“Dan berlaku angkuhlah Firaun dan bala tenteranya di muka bumi tanpa alasan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami [Al-Qasas (28):39]

﴿كَدَأْبِ ءَالِ فِرْعَوْنَ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَفَرُواْ بِآيَـتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ إِنَّ اللَّهَ قَوِىٌّ شَدِيدُ الْعِقَابِ

(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras seksaanNya” [Al-Anfal (8):52]

Wahai kaum Muslimin! Masihkah kalian tidak nampak betapa jahat dan hipokritnya Amerika dan sekutu-sekutu mereka? Mereka mengatakan yang mereka adalah pendukung dan penegak hak asasi manusia dan penjaga undang-undang antarabangsa, walhal hakikatnya merekalah pelanggar yang nyata. Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini mengingatkan bahawa perang global melawan keganasan (the global war on terrorism) yang dipimpin oleh AS sesungguhnya adalah perang melawan umat Islam yang menjadi musuh mereka. “Pengganas” yang dimaksud oleh AS tidak lain adalah mana-mana Muslim yang melawan penjajahan dan hegemoni Barat dan siapa sahaja yang ingin menegakkan Islam secara kaffah dalam bingkai Negara Khilafah, meskipun hanya dengan jalan intelektual!

Hizbut Tahrir seterusnya ingin mengingatkan bahawa sudah tidak ada harapan lain untuk menghapuskan segala kejahatan AS kecuali dengan menyambut perintah Allah (swt) untuk mendirikan Khilafah sebagai sebuah entiti politik global yang bukan sahaja akan mempersatu dan menyelamatkan umat Islam, malah akan menguburkan segala hegemoni Barat dengan kejahatan dan kekufuran yang dibawa mereka. Keberadaan Khilafah juga akan menyingkirkan para penguasa boneka di negeri kaum Muslimin, yang selama ini setia melayani kepentingan dan melutut kepada AS. Justeru, Hizbut Tahrir dengan ini menyeru dan kami akan terus menyeru kepada seluruh umat Islam yang mempunyai keimanan dan keikhlasan agar bergabung bersama kami dalam usaha menegakkan kembali Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah. Yakinlah, hanya di bawah naungan Daulah Khilafah sahajalah rahmat Islam yang telah dijanjikan oleh Allah (swt) itu benar-benar akan terwujud dan kemuliaan umat Islam serta kedaulatan negeri Muslim seluruhnya dapat direalisasikan, Insya Allah.

Abdul Hakim Othman
Ketua Maktab I’lamiy Hizbut Tahrir
Malaysia