Kenyataan Media: Transgender Diberi Hak: Bukti Perlembagaan Lebih Tinggi Dari Islam!

Transgender Diberi Hak: Bukti Perlembagaan Lebih Tinggi Dari Islam!

Pada 7 November 2014, Mahkamah Rayuan Malaysia telah memutuskan yang transgender Muslim (asalnya lelaki) berhak memakai pakaian wanita di khalayak ramai. Panel tiga orang hakim yang diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan yang Seksyen 66 Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah tidak sah dan terbatal. Selain mendiskriminasi perayu-perayu menurut Perkara 8(2) Perlembagaan, mahkamah memutuskan Seksyen 66 itu menafikan hak mereka dari segi kebebasan diri mengikut Perkara 5(1); hak kebebasan melahirkan perasaan mengikut Perkara 10; hak kesamarataan di sisi undang-undang mengikut Perkara 8(1) dan kebebasan bergerak mengikut Perkara 9(2). Para pendukung liberalisme dan pejuang hak asasi manusia ternyata amat gembira dan menyambut baik keputusan mahkamah ini.
Sesungguhnya keputusan mahkamah ini, walaupun jelas lagi nyata bercanggah dengan Islam, bukanlah suatu yang mengejutkan. Ini kerana, Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, sudah tentu keputusan hakim dibuat berdasarkan undang-undang buatan manusia dan akal digunakan sebagai justifikasi, manakala hukum Islam ditolak ke tepi. Transgender adalah orang yang menyerupai lawan jenis jantina, baik dalam berbicara, berpakaian mahupun bertingkah laku, termasuklah dalam aktiviti seksual. Sesungguhnya Islam mengharamkan transgender dengan tegas. Dalam banyak hadis, Rasulullah (saw) melaknat orang yang menyerupai lawan jenis dan perbuatan keji ini wajib dikenakan uqubat (hukuman) berupa ta’zir . Antaranya, Rasulullah (saw) bersabda,
» لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللََُّّ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنْ النِّسَاءِ
“Nabi (saw) melaknat lelaki yang berlagak seperti wanita dan wanita yang berlagak seperti lelaki” [HR Bukhari].

Di sebalik kegembiraan golongan liberal, banyak pihak lain melahirkan rasa marah dan tidak puas hati dengan keputusan mahkamah ini. Kemarahan ini memang wajar, tetapi sayangnya hanya tertumpu kepada “keputusan” mahkamah semata-mata, tanpa melihat kepada institusi undang-undang itu sendiri dan sistem yang mempertahankan kewujudannya. Keputusan tersebut adalah didasarkan kepada prinsip kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan ciptaan kuffar penjajah yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Berdasarkan Perlembagaan, Malaysia mengamalkan dualisme perundangan dan daripada kes ini, terbukti bahawa mahkamah sivil mempunyai kuasa yang lebih tinggi dari mahkamah syariah di mana hakim mahkamah sivil bukan sahaja boleh membatalkan keputusan mahkamah syariah, malah berkuasa mengisytiharkan enakmen syariah sebagai tidak sah dan terbatal! Inilah tafsiran hakim terhadap makna kebebasan yang ada dalam Perlembagaan yang merangkumi kebebasan untuk memaksiati Allah (swt)!

Kerajaan Malaysia kononnya menentang liberalisme, sedangkan dalam masa yang sama berhukum dengan demokrasi yang menjadikan liberalisme sebagai tulang belakangnya! Sesungguhnya liberalisme itu lahir dari rahim demokrasi dan sesungguhnya tidak ada yang dilahirkan oleh demokrasi kecuali keburukan. Pengiktirafan mahkamah terhadap Transgender hanyalah secebis daripada kerosakan sistemik yang lahir dari sistem yang buruk ini. Hanya dengan dilenyapkan sistem yang batil ini dan diganti dengan penerapan syariat dalam bingkai Negara Islam (Khilafah) sahajalah yang akan dapat memandu manusia ke jalan yang benar, sekali gus mencegah segala keburukan dan kemaksiatan dan mengembalikan manusia kepada fitrah penciptaannya yang sebenar.
 

Abdul Hakim Othman
Ketua Maktab I’lamiy Hizbut Tahrir
Malaysia