Kenyataan Media

Pertandingan Mrs Universe di Malaysia: Suatu Kemungkaran Yang Nyata
 
Pertandingan akhir ratu cantik dunia Mrs Universe 2014 dijadual berlangsung buat julung kalinya di Malaysia serta Asia pada penghujung Ogos ini. Penganjur pertandingan, SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd menjangkakan sebanyak 40-45 negara mengambil bahagian dalam pertandingan yang akan berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa, Kuala Lumpur. Pengarah Urusan SOGO, Datuk Andrew T K Lim berkata, semua peserta bertanding selama lapan hari dengan mengadakan sesi fotografi di lokasi di sekitar negara ini. Pertandingan ini juga bersesuaian untuk mempromosikan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” jelasnya lagi.

Pertandingan Mrs Universe yang bermula pada tahun 2007, sebagaimana juga pertandingan Miss Universe dan lain-lain pertandingan ratu cantik, merupakan budaya Barat yang kufur yang mengeksploitasi tubuh dan kecantikan wanita untuk kepentingan ekonomi. Walau apa tema dan slogan yang dibawa, apa yang pasti ialah dalam setiap pertandingan seumpama ini, aurat wanita, tubuh dan kecantikannya akan diperagakan untuk tontonan umum di samping menjadi bahan penilaian oleh para juri. Wanita dijadikan tidak lebih seperti sebuah produk yang menghasilkan nilai material. Pertandingan Mrs Universe yang akan diadakan di Malaysia ini menunjukkan dengan jelas bahawa Malaysia masih terjajah dari segi pemikiran dan budaya. Ia juga menunjukkan yang Malaysia kembali ke zaman Jahiliyah di mana wanita hanya dijadikan alat dagangan dan pemuas nafsu. Selain liberasasi budaya, apa yang berlaku ini merupakan penghinaan dan menjatuhkan martabat wanita. Budaya kufur ini tidak sepatutnya di bawa masuk ke tanah umat Islam, termasuk Malaysia.

Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini menegaskan bahawa pertandingan ini merupakan satu kemungkaran yang jelas lagi nyata dan merupakan kemaksiatan kepada Allah (swt). Kami menuntut:

1. Pihak kerajaan membatalkan pertandingan ini serta-merta. Janganlah mengundang azab Allah dengan membenarkan, malah menggalakkan kemaksiatan seperti ini berlaku. Berapa banyak pesta maksiat sebelum ini yang telah berlangsung dan ada yang berakhir dengan kematian…apakah kerajaan masih tidak mahu mengambil pengajaran?

2. Pihak berkuasa agama bertindak untuk menjelaskan kemungkaran pertandingan ini dan seterusnya menggunakan kuasa yang ada untuk membatalkan pertandingan ini.

3. Setiap pertubuhan Islam mahupun individu Muslim, apatah lagi wanita Islam perlu bangkit dan membantah pertandingan yang penuh kemungkaran ini. Dosa sudah pasti akan dipikul oleh pemerintah, penganjur dan semua pihak yang terlibat, termasuk mereka yang menyokong dan yang berdiam diri dengan kemaksiatan ini.

Sesungguhnya apa yang berlaku ini tidak lepas daripada natijah penerapan sistem demokrasi-kapitalisme, sebuah sistem yang bertunjangkan kebebasan, membolehkan apa sahaja yang haram atas nama kebebasan. Kemaksiatan dan keharaman dalam apa jua bentuk akan terus wujud selagi negeri ini diperintah oleh sistem demokrasi.

Justeru, sistem kufur ini wajib ditolak dan diganti dengan sistem Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Sesungguhnya Islam menempatkan perempuan di tempat yang mulia, menjaga kesucian dan harga diri mereka yang mana sebelum kedatangan Islam, mereka berada dalam keadaan terhina, dijadikan alat dagangan dan pemuas nafsu lelaki sahaja. Hanya dengan adanya Negara Khilafah sahajalah, kemuliaan dan maruah kaum wanita akan kembali terjaga sekali gus menghapuskan segala kemungkaran yang wujud di tengah-tengah masyarakat.

Abdul Hakim Othman
Ketua Pejabat Media Hizbut Tahrir
Malaysia