KENYATAAN RASMI HIZBUT TAHRIR MALAYSIA
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dilaporkan akan datang ke Malaysia pada penghujung bulan April 2014. Kedatangannya kali ini adalah sebagai ganti kepada lawatannya yang lepas yang dibatalkan atas sebab krisis dalaman negaranya. Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yuan mengesahkan bahawa Obama akan bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu-isu semasa yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua negara dan beberapa memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pendidikan dan perdagangan dijangka akan dimeterai.
Sebagaimana kenyataan dan pendirian yang telah dikeluarkan sebelum ini, kami, HIZBUT TAHRIR MALAYSIA dengan ini menegaskan sekali lagi bahawa kami menolak sekeras-kerasnya kedatangan musuh Allah ini ke Malaysia, kerana:-
Pertama: Barrack Obama merupakan ketua kepada negara imperialis yang nyata-nyata memusuhi dan memerangi umat Islam mengatasnamakan perang melawan keganasan. Peperangan yang dilancarkan oleh Bush dan diteruskan lagi oleh Obama ke atas Iraq dan Afghanistan sehingga menyebabkan kematian dan penderitaan ratusan ribu umat Islam dan kemusnahan yang begitu besar, adalah bukti nyata akan sikap Obama ke atas Islam dan umat yang mulia ini. Ini belum lagi mengambil kira peperangan yang tidak diisytiharkan oleh Obama ke atas Pakistan, Yemen, Syria dan banyak lagi. Ketidakstabilan di rantau Asia Barat pada ketika ini juga merupakan hasil daripada percaturan politik yang dimainkan oleh negara imperialis ini. Hegemoni mereka dalam pelbagai badan dunia seperi PBB, IMF, World Bank serta apa-apa yang lahir darinya merupakan manifestasi daripada penjajahan mereka ke seluruh dunia amnya dan ke dunia Islam khasnya.
Kedua: Kita menduga kuat bahawa kedatangan pemimpin utama negara Kapitalis dunia ini bukanlah hanya sekadar ingin membincangkan persoalan pendidikan atau ekonomi semata-mata, tetapi lebih dari itu yakni untuk mengukuhkan cengkamannya di rantau ini, mengukuhkan kedudukan politik dan ketenteraannya serta memastikan Malaysia akan terus berpegang teguh dengan demokrasi, hak asasi manusia, liberalisme, sekularisme dan pemikiran-pemikiran kufur lainnya dan yang tidak kurang pentingnya adalah agar Malaysia terus berpegang dengan fahaman moderat yang dimahukan Barat. Ini semua dilakukan AS untuk mengelak umat Islam dari kembali menerapkan syariah secara kaffah di bawah naungan Khilafah. Apatah lagi dengan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang penuh misteri, AS telah dan akan menggunakan isu ini sebaik-baiknya sebagai alasan untuk terus menancapkan cengkamannya di Malaysia.
Ketiga: Umum mengetahui bahawa Amerikalah yang melantik dan menjaga para penguasa Muslim yang diktator lagi khianat di kebanyakan negeri Islam hari ini, sama ada yang telah mati mahupun yang masih hidup. Dengan sokongan, kerjasama dan bantuan Amerikalah, para penguasa ini terus mengganas dan membunuh umat Islam sesuka hati sebagaimana yang kita saksikan di Mesir, Libya, Yemen, Tunisia, Pakistan, Bangladesh, Syria dan banyak lagi. Pemimpin Muslim mana sekalipun yang bersahabat dengan Amerika sesungguhnya bukan sahaja akan tunduk kepada kehendak negara Uncle Sam itu, malah sebenarnya telah menjadi pengkhianat kepada Islam dan umatnya.
Keempat: Seluruh dunia mengetahui bahawa Obama adalah pendukung utama dan penjaga Yahudi Zionis dan entiti haram Israel. Hal ini sebagaimana diakui sendiri oleh Obama secara terbuka dan presiden AS ini telah berjanji dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan Zionis laknatullah itu. Kejahatan Zionis ke atas umat Islam dan tanah Palestin yang diberkati sudah tidak terkata dan semua kejahatan itu berlaku dengan kerjasama dan bantuan Obama dan presiden-presiden AS sebelumnya. Justeru, menyambut kedatangan Obama sesungguhnya tidak ada bezanya dengan menyambut kedatangan Zionis kerana keduanya adalah ibarat isi dan kuku.
Kelima: Allah SWT mengharamkan kaum Muslimin menjadikan orang-orang kafir sebagai teman kepercayaan. FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia…” [TMQ al-Mumtahanah (60):1]. Sejak awal Obama menjadi presiden AS sehinggalah sekarang, tangan Obama terus berlumuran dengan darah umat Islam hasil dari dasar imperialismenya ke atas wilayah umat Islam. Jadi, menerima kedatangan Obama, malah menghulur tangan persahabatan dengan musuh Allah dan musuh umat Islam ini, apatah lagi memberi sambutan kenegaraan yang penuh hormat kepadanya, adalah menyalahi perintah Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, HIZBUT TAHRIR MALAYSIA menolak sekeras-kerasnya kedatangan Barack Obama ke Malaysia dan sekali gus ingin menyatakan dengan tegas bahawa:-
1. Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya mengundang mahupun menerima kunjungan Obama dan jika Perdana Menteri Malaysia benar-benar berpegang teguh dengan Islam dan mengambil berat urusan umat Islam, maka beliau hendaklah membatalkan kunjungan pengganas nombor satu dunia ini ke Malaysia dengan apa cara sekalipun.
2. Kesemua pimpinan kerajaan yang lain, termasuklah Ahli-ahli Parlimen, baik dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang, khususnya yang beragama Islam, hendaklah menekan dan mendesak Perdana Menteri agar membatalkan lawatan Obama ke tanah air kita. Inilah tanggungjawab pemimpin dan ahli politik yakni sepatutnya menjaga kepentingan umat Islam dan wilayah Islam, bukannya menjaga kepentingan Perdana Menteri, apatah lagi kepentingan AS.
3. Kesemua gerakan Islam hendaklah menyatakan pendirian dan melakukan aktiviti yang sewajarnya bagi menolak kedatangan musuh Allah ini ke sini. Tindakan berdiam diri dalam hal ini hanyalah menunjukkan ketidakpedulian dan ketidaksensitifan anda terhadap perancangan musuh Islam ke atas kita semua dan terhadap saudara-saudara anda di seluruh dunia yang sedang tenat menderita akibat kejahatan Obama dan hal ini adalah dilarang oleh Islam.
4. Setiap individu Muslim hendaklah berusaha semampu mungkin untuk menyatakan bantahan dan menolak kedatangan Barack Obama ke Malaysia kerana setiap Muslim adalah bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya, apatah lagi kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa yang boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada umat Islam keseluruhannya.
ABDUL HAKIM OTHMAN
Jurucakap Rasmi
HIZBUT TAHRIR MALAYSIA