Kenyataan Rasmi HTM berhubung kenaikan harga minyak

بسم الله الرحمن الرحيم
وَعَدَ اللَّهُ
الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ
قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ
وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا
يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ
الْفَاسِقُونَ
 
Kenyataan Rasmi

HIZBUT TAHRIR MALAYSIA
berhubung
“Kenaikan Harga Minyak”

 
Pada 4hb Jun yang lalu, rakyat telah dikejutkan dengan kenaikan mendadak dan melampau harga minyak. Pengisytiharan mengenai kenaikan ini dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dengan kenaikan ini, harga minyak yang telah tersedia mahal dan membebankan rakyat, kini

menjadi semakin mahal dan semakin menyengsarakan rakyat. Walau apa pun alasan yang telah diberi oleh kerajaan, kerajaan telah jelas-jelas mengabaikan nasib rakyat dan hanya bertindak untuk kepentingan sendiri dan juga kroni. Perdana Menteri sama sekali tidak mengambil berat akan kebajikan rakyat dan tidak pernah mengambil penyelesaian dari Islam untuk mengatasi masalah ini dan juga masalah-masalah lainnya. Hukum Allah dan Rasul berhubung harta milik umat (minyak) ini langsung tidak dipedulikan oleh Perdana Menteri dan juga menteri-menteri lain yang berada di dalam pemerintahan beliau. Sehubungan dengan perkara ini, Hizbut Tahrir Malaysia ingin menegaskan:-

Pertama: Minyak adalah harta milik awam (milkiah al-ammah) – Perlu difahami bahawa kawasan cari gali dan takungan minyak yang ada adalah milik umat yang perlu diuruskan oleh Negara (kerajaan), bukannya diserahkan kepada syarikat asing atau syarikat swasta untuk mengeksploitasi sumbernya. Bukan juga dengan cara pembahagian hasil kerana kaedah pembahagian hasil menjadikan syarikat tersebut menguasai sumber minyak yang sebenarnya milik rakyat. Kaedah yang sepatutnya adalah, kerajaan (Negara) melakukan eksplorasi melalui syarikat milik negara atau syarikat awam dan kos penyelenggaraannya diambil dari hasil penjualan minyak tersebut, atau jika pendapatan Negara adalah besar maka Negaralah yang akan menggaji pekerja sektor ini.

Dalam keadaan Negara tidak mempunyai teknologi dan pengetahuan (know-how) untuk mencari gali minyak ini, maka syarikat asing boleh di kontrak dengan syarat mereka hanya diberi upah untuk melakukan kerja cari gali namun minyak itu tetap menjadi milik umat. Inilah prosedur yang patut dilakukan semasa melakukan kerja cari gali minyak, penapisan dan sebagainya, agar hukum syarak berkenaan minyak sebagai milik umum tidak dilanggar dengan unsur penguasaan oleh syarikat atau badan tertentu yang bertujuan meraih keuntungan. Pengambilalihan fungsi kerja kerajaan oleh pihak swasta dalam pengelolaan harta awam ini jelas akan menyebabkan semakin meningkatnya harga barang dan perkhidmatan, kerana tujuan dari penubuhan firma swasta adalah untuk mendapatkan untung, sedangkan tugas Negara adalah untuk memelihara dan menjaga kebajikan rakyat, bukan untuk meraih keuntungan. Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain kerana krisis kenaikan harga minyak yang berlaku mutakhir ini memang telah menyebabkan naiknya Indeks Harga Pengguna (CPI). Keadaan ini tentunya akan memperparah lagi keadaan dan menyebabkan rakyat semakin menderita.

Kedua: Dari segi agihan minyak – Negara bertugas untuk menyelia urusan pemilikan awam dan bukan untuk menjadikannya sebagai milik Negara. Maka sesungguhnya, kedudukan minyak yang merupakan harta milik awam perlu diagihkan oleh Negara kepada umat tanpa mengira sama ada mereka itu lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa, kafir zimmi atau Muslim. Perlu dijelaskan juga bahawa pada asalnya, Negara sepatutnya mengagihkan hak rakyat ini dengan harga yang berpatutan atau Negara juga boleh menjualnya dengan harga pasaran dan sekiranya terdapat keuntungan dari penjualan bahan bakar ini, ia akan dimasukkan semula ke dalam tabung khas yang kemudiannya boleh digunakan untuk kemaslahatan umat seperti membiayai kos pembangunan kemudahan awam atau boleh juga diagihkan semula ke dalam akaun setiap warganegara.

Hubungan kerajaan dengan rakyat dalam agihan minyak sebagai milkiah al-ammah bukanlah merupakan hubungan antara penjual dan pembeli ataupun hubungan antara perompak dengan orang yang dirompak, atau hubungan penindas dengan yang ditindas, sebaliknya hubungan yang wujud adalah hubungan antara pemelihara/penjaga dan yang dipelihara/dijaga. Dengan kata lain, ia adalah hubungan pengurus (kerajaan), yang mengurus urusan rakyat dengan rakyat, yang berhak menikmati harta kekayaan milik umum tersebut. Ini adalah kerana, menurut Islam, kedudukan pemimpin adalah sebagai pemelihara, bukan sebagai penyeksa umat dan bukan sebagai orang yang mengaut keuntungan dari umat atau dari harta milik umat, sebagaimana sabda Rasulullah saw,

“Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari]

Ketiga: Berkenaan dengan subsidi – Subsidi merupakan pemberian Negara dari milik negara kepada individu, pihak swasta, badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan. Dalam kes bahan bakar ini, kerajaan tidak dapat dikatakan memberikan subsidi secara hakiki. Ini adalah kerana kerajaan telah mengambil harta awam yang merupakan hak rakyat (yang sepatutnya dinikmati rakyat secara percuma) tetapi oleh kerana untuk mendapatkan bahan bakar ini, rakyat secara perseorangan tidak akan mampu mendapatkannya, maka Negara (kerajaan)lah yang menyelianya. Namun apa yang berlaku sekarang adalah satu perampasan hak rakyat yang begitu nyata – harga yang tinggi diletakkan ke atas minyak dan justifikasi ‘subsidi’ diberikan. Kerajaan seolah-olah pihak yang sangat baik dan murah hati, walhal mereka sebenarnya merompak dan merampas harta umat kemudian dijual semula kepada umat dengan ‘harga subsidi’. Lebih malang, harga jualan (minyak) tersebut sentiasa dinaikkan untuk kepentingan kerajaan dan kroni mereka, manakala rakyat sentiasa ditipu dengan alasan ‘subsidi’ oleh kerajaan.

Keempat: Sesungguhnya kenaikan harga minyak ini berlaku tidak lain kerana diterapnya sistem sekular Kapitalisme di dalam negara pada hari ini. Sama ada sedar atau tidak, pemerintah yang menganut Ideologi Kapitalis hanya memerintah untuk meraih sebanyak mungkin ‘manfaat’ dunia, bukannya memerintah untuk meraih redha Allah di dunia dan syurga Allah di akhirat. Sistem ekonomi Kapitalis yang merupakan sistem kufur telah dijadikan tunjang perekonomian negara saat ini dan sistem inilah yang sebenarnya telah menyebabkan rakyat menderita, manakala golongan Kapitalis (termasuk pemerintah) bertambah kaya raya. Inilah hakikat Ideologi Kapitalis yang dijadikan asas pemerintahan Negara yang telah merampas hak rakyat habis-habisan. Kerana itu, sistem sekular kufur ini mesti dihapuskan dan diganti dengan Sistem Ekonomi dan Sistem Pemerintahan Islam (Al-Khilafah) yang akan mengembalikan semula hak rakyat ke tangan rakyat. Khalifah, sebagai Ketua Negara adalah bertanggungjawab untuk menerapkan hukum Islam berdasarkan Kitabullah dan Sunah RasulNya. Khalifah adalah orang yang memikul amanah Allah untuk memelihara rakyat, bukannya menzalimi rakyat sebagaimana pemerintah di dalam sistem sekular sekarang.

Kelima: Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini menegaskan bahawa kenaikan harga minyak yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ini adalah satu bentuk kezaliman ke atas rakyat dan satu bentuk pelanggaran hukum dan maksiat yang nyata kepada Allah dan RasulNya. Hizbut Tahrir tidak meminta agar harga minyak diturunkan, kerana penurunan harga minyak (jika berlaku) sekalipun tetap merupakan satu kemaksiatan kepada Allah dan Rasul. Minyak adalah milik umat dan mesti dinikmati oleh umat secara percuma, bukannya dengan cara menaik atau menurunkan harga. Penurunan harga bukanlah penyelesaian yang datang dari Islam. Hizbut Tahrir dengan ini mengingatkan para pemerintah bahawa bahan bakar ini adalah hak rakyat dan WAJIB bagi pemerintah untuk mengembalikan milik rakyat ini ke tangan mereka secara percuma. Adalah haram bagi pemerintah untuk menaikkan harga, apatah lagi mengaut keuntungan dari harta milik umat ini.

Keenam: Bahawa sesungguhnya segala penderitaan dan kesengsaraan yang menimpa umat pada hari ini tidak akan selesai selagi mana hukum Allah tidak diterapkan di dalam kehidupan dan negara. Hanya dengan kembali menegakkan syariat Islam dan mendirikan semula Daulah al-Khilafah, inilah satu-satunya penyelesaian yang hakiki bagi kita semua. Akhirnya, Hizbut Tahrir Malaysia mengingatkan seluruh kaum Muslimin, sama ada dari kalangan pemerintah atau rakyat jelata, bahawa sesungguhnya negara ini tidak akan dapat keluar dari krisis yang membelenggu dan tidak akan mampu membebaskan diri dari segala malapetaka, kecuali apabila pemerintahnya berhukum dengan hukum Allah dan Rasul secara kaffah. Jika tidak, maka selamanya umat Islam akan berada di dalam kehidupan yang sempit dan akan mendapat seksaan dari Allah di akhirat kelak, na’uzubillah min zalik. Firman Allah swt,

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

“Barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan mengumpulkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20):124].

Akhir sekali, Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengingatkan pemerintah akan sabda Rasulullah saw terhadap pemerintah yang zalim,

الَلَّهُمَّ مَنْ وُلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُق عَلَيْهِ

“Ya Allah, siapa saja yang menjadi pengatur urusan umatku kemudian ia memberatkan mereka, maka beratkanlah dia” [HR Muslim].

ABDUL HAKIM OTHMAN
Presiden
HIZBUT TAHRIR MALAYSIA (HTM)