Keris Strike: Tolak Kehadiran Tentera Kuffar Yang Berlumuran Darah Umat Islam!

Tindakan Tentera Darat Malaysia (TDM) meneruskan siri latihan ketenteraan bersama dengan Angkatan Bersenjata Amerika Syarikat (United States of America Army Pacific Command – USARPAC) yang bermula pada 13 September sehingga 26 September ini telah menimbulkan suara bantahan oleh segelintir umat Islam yang mempunyai kesedaran. Perkara ini timbul kerana tindakan tersebut jelas menunjukkan ketidakprihatinan ATM terhadap pembunuhan dan penindasan yang dialami oleh ratusan ribu kaum Muslimin yang menjadi mangsa kerakusan polisi luar negara Uncle Sam itu di Afghanistan, Iraq, serta pencerobohan drone di Yaman dan wilayah timur Pakistan.

Penganjuran eksesais Keris Strike siri 2014/18 ini merupakan rentetan daripada siri latihan ketenteraan tahunan bersama antara angkatan bersenjata kedua-dua buah negara tersebut. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), latihan bilateral ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pengalaman kepada peserta khususnya dalam pengurusan bencana alam dan pelaksanaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). [1]

Persoalannya, sejauh manakah latihan ketenteraan tersebut benar-benar mendatangkan kelebihan kepada ATM berbanding kelebihan yang diberikan kepada tentera AS? Adakah negara polis dunia tersebut benar-benar jujur dalam berkongsi kemahiran mereka menguruskan bencana alam, tanpa mempunyai agenda tersirat tertentu yang ingin diraih daripada latihan tersebut? Sekiranya benar latihan tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengalaman dalam pengurusan bencana alam, mengapa perlu kehadiran mereka disertai dengan persenjataan yang canggih dan lengkap seperti ingin menghadapi peperangan yang sebenar sebagaimana yang digambarkan dalam foto-foto operasi tersebut yang kini telah tersebar dengan meluas dalam media sosial baru-baru ini?

Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh ATM dalam memastikan bahawa latihan tersebut tidak membuka ruang kepada tentera musuh untuk mengenalpasti segala kelemahan pertahanan negara di samping menyusup masuk elemen perisikan mereka bagi menilai tahap kesiapsiagaan perajurit-perajurit negara ini jika negara ini diserang? Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada sejarah bagaimana perisikan British mencuri maklumat pertahanan negara sewaktu tercetusnya konfrontasi Indonesia-Malaysia, yang mana rahsia tersebut terbongkar setelah berlakunya kemalangan helikopter Aloutte III yang mengorbankan seorang ejen MI6 di Semporna pada waktu itu? [2]

Wahai perajurit Muslim yang berdarah perwira, sedarlah bahawa segala bentuk kerjasama dan latihan dengan tentera kuffar adalah haram di sisi Islam, apatah lagi dengan pihak musuh yang telah memerangi saudara seakidah kita demi menjamin hegemoni mereka ke atas umat Islam. Tergamakkah kalian bersalaman dengan tangan-tangan yang berlumuran darah kaum Muslimin? Adakah kalian terlupa bahawa merekalah yang menjadi pendukung entiti haram Yahudi yang menindas serta menjajah tanah kaum Muslimin di Palestin?

Dalam Islam, al-ahlaf al-askariyyah (kerjasama/pakatan ketenteraan) sebegitu adalah batil dari segi asasnya lagi, tidak sah secara syar’ie dan tidak boleh mengikat kaum Muslimin meskipun ia dilakukan oleh Khalifah umat Islam sekalipun. Pakatan sedemikian menyalahi syarak kerana ia meletakkan orang-orang Islam berperang di bawah kepimpinan dan panji orang kafir dan juga berperang demi mempertahankan entiti orang-orang kafir, apatah lagi negara yang menjadi sekutu dalam perjanjian/pakatan tersebut adalah negara kafir harbi fi’lan seperti AS dan Britain. Hal ini dijelaskan berdasarkan dalil-dalil berikut:

“Janganlah kalian meminta penerangan (pertolongan) dengan api orang-orang musyrik” [HR Ahmad dan An-Nasaie daripada Anas ra].

Hadis daripada ad-Dhahak ra menyebut,

“Bahawa Rasulullah SAW keluar pada waktu perang Uhud, tiba-tiba baginda terlihat sebuah skuadron yang (tersusun) baik atau (kata periwayat) yang kasar. Lalu Nabi SAW bertanya, ‘Siapakah mereka?. Para sahabat menjawab, ‘Mereka Yahudi (bani) itu dan ini’. Nabi lalu bersabda, ‘Kita tidak mencari (meminta) pertolongan daripada orang-orang kafir” [HR Thabrani].

Bagi mendapatkan pembahasan lebih terperinci berkenaan isu ini, sila rujuk Sautun Nahdhah 224 – Hukum Pakatan Militer dengan Kuffar . Wallahua’lam.

Sumber
[1] Tentera AS, TDM jalani eksesais Keris Strike, Sinar Harian

[2] Jasa 50 tahun tak ternilai, Harian Metro