Kes buli: Polis akan jumpa Jabatan Pelajaran

KUALA LUMPUR 4 Mac – Polis akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pelajaran dalam tempoh terdekat bagi membincangkan masalah buli di kalangan pelajar yang banyak dilaporkan oleh media kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pertemuan tersebut akan diadakan di setiap daerah yang diharap dapat membantu menangani gejala berkenaan.

 

“Kita akan berjumpa Jabatan Pelajaran untuk bincang sejauh mana serta dalam bentuk apa polis dan sekolah dapat berkerjasama menangani masalah buli ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan persidangan PT D10 dan penyerahan Polilight serta Kit Forensik di Makmal Forensik di sini hari ini. Pada 1 Mac lalu, seorang pelajar tingkatan empat cedera akibat kepalanya dihentak ke tiang oleh pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Merchang.

Sebelum itu, media mendedahkan tindakan berani sekumpulan pelajar Sekolah Menengah di Mukah yang merakam dan memasukkan aksi buli yang mereka lakuan ke atas seorang pelajar lain ke dalam YouTube.
 

Mohd. Bakri berkata, selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan pertemuan dengan pegawai polis yang dilantik sebagai pegawai perhubungan sekolah untuk membincangkan isu-isu berkaitan. Beliau juga meminta ibu bapa supaya tidak merungut terhadap guru hanya disebabkan oleh perkara-perkara kecil yang dilaporkan oleh anak mereka.

Ulasan

Apa yang berlaku di ini boleh diibaratkan seperti merawat luka orang yang mati, sedangkan luka tersebut boleh sembuh sekiranya orang tersebut hidup, mampu bergerak dan mengambil ubat. Dia tidak memerlukan kepada yang lain untuk menyembuhkan luka tersebut kerana dia mampu merawat dirinya, sesuai dengan hukum sebab dan akibat.

Inilah yang terjadi di dalam sistem kehidupan kapitalis, mereka hanya memberi rawatan kepada beberapa anggota tubuh sahaja sedangkan pada waktu yang sama jasad tersebut terbujur kaku tanpa darah dan zat-zat yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Akibatnya, segala usaha dan pemulihan yang dicurahkan pada anggota tubuh tersebut menjadi sia-sia kerana hakikatnya ia akan terus membusuk memandangkan jasad tersebut sebenarnya telah mati. Usaha ini merupakan usaha yang amat merugikan diri sendiri kerana sudah terlalu banyak peruntukan kewangan yang disalurkan untuk sektor pendidikan dengan harapan agar ia dapat melahirkan generasi muda yang bershakhsiah namun hakikatnya, masalah demi masalah terus datang dan pergi sehingga amat membingungkan semua pihak, seolah-olah masalah disiplin di sekolah merupakan suatu yang tabii dan tidak dapat dielakkan. Buli, bergaduh, lawan guru, mencuri, pukul guru, zina, buang bayi, mengugut, melanggar disiplin sekolah dan puluhan lagi masalah yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini sudah menjadi perkara lumrah.

Apakah sebenarnya punca utama masalah ini? Apakah ia boleh diselesaikan dengan penglibatan pihak polis semata-mata? Atau apakah barah ini sudah merebak hingga ia tidak dapat lagi diperbaiki? Yang jelas, masalah ini terkait rapat dengan kehidupan masyarakat di negara ini yang telah rosak. Sistem yang tidak merujuk kepada Sang Pencipta, pemikiran dan perasaan masyarakat yang tidak Islami, keluarga yang rosak dan persekitaran yang tidak menimbulkan nuansa ketaqwaan – semua ini menjadi latar belakang bermunculan masalah disiplin di sekolah, khususnya, dan masalah masyarakat yang lainnya secara umum.

Allah telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia, yang saban hari dibaca namun ramai yang tidak mengambil pemahaman darinya untuk diamalkan dalam kehidupan kerana kepentingan duniawi yang hendak diperoleh.

Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanku maka baginya kehidupan yang sempit dan susah, dan kami akan bangkitkannya dalam keadaan buta (diakhirat dan berjalan tanpa arah dan tujuan di suatu tempat yang telalu asing baginya).(TMQ Taha: 124)