Kes Ragut, Sampai Bila Kesudahannya?
Lebih malang lagi, mangsa turut ditoreh tangannya oleh peragut menggunakan pisau sebelum melarikan beg tangannya [1]. Meskipun lazimnya mangsa yang terlibat dalam kes ini ialah wanita, tetapi kaum Adam juga turut tidak terkecuali yang mana ia bukan sahaja membuatkan mangsa mengalami kecederaan dan trauma, malah ada yang menemui ajal mereka di tangan peragut. Kita banyak mendengar mengenai pelbagai penyelesaian yang diberikan kepada jenayah ini yang rata-ratanya hanya bersifat seolah-oleh menyalahkan si mangsa dengan nasihat supaya lebih berhati-hati, tidak berjalan seorang diri, membawa beg tangan bertentangan dengan sebelah jalan dan sebagainya. Namun, ini semua tetap tidak mampu untuk menghalang para peragut daripada meneruskan aktiviti mereka. Natijahnya, menurut statistik kes ragut pada tahun 2009, di Kuala Lumpur sahaja setakat Mac tahun tersebut terdapat 1,915 kes ragut dilaporkan iaitu secara puratanya 21 kes sehari! [2]. Statistik ini membuktikan yang si peragut masih bermaharajalela mencari mangsa tanpa sebarang rasa takut mahupun bersalah.
Untuk menanggapi masalah ini, kita tidak boleh meletakkan 100% kesalahan kepada mangsa mahupun pemangsa. Ya, memang pemangsa (peragut) merupakan salah satu punca kepada masalah ini tetapi mereka ini bukanlah masalah akarnya. Akar kepada jenayah ragut ini adalah kerana tiadanya tindakan tegas yang berlandaskan hukum syarak dilaksanakan ke atas mereka. Sudah pastinya orang yang bertanggugjawab dalam penerapan hukuman-hukuman ke atas mereka ini adalah pihak penguasa (kerajaan). Mereka inilah punca utama kepada masalah kerana mereka tidak berhukum dengan hukum yang telah diturunkan oleh Allah. Dalam Islam, bagi kes ragut, jenayah ini dikategorikan sebagai qutha’i ath-thurq (pencuri atau perompak jalanan). Allah SWT telah berfirman tentang kes peragut ini dengan ayat,
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, mereka hanya akan dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangan, atau mereka akan dibuang negeri. Demikianlah kehinaan bagi mereka di dunia, dan di hari akhirat mereka mendapat azab yang besar” [TMQ Al-Maidah (5):33].
Sungguh jelas ketetapan yang telah diletakkan oleh Allah yang perlu dikenakan terhadap mereka. Malah, Imam Syafi’ie rahimahullah meriwayatkan dalam musnadnya, daripada Ibnu Abbas, menjelaskan tentang masalah qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan) dengan menyatakan bahawa:
“Jika mereka membunuh dan merampas harta benda, mereka akan dihukum bunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta, mereka akan dihukum bunuh tetapi tidak disalib. Jika mereka mengambil harta benda tanpa membunuh, mereka akan dihukum potong tangan dan kaki secara bersilangan. Dan jika mereka sekadar menakut-nakutkan orang di jalanan tanpa merampas harta benda, maka usirlah (hukuman buang negeri).”
Inilah hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada peragut yang mana ia akan bertindak sebagai zawajir (pencegah) dan juga jawabir (penebus) kepada dosa-dosa yang mereka lakukan. Adalah menjadi satu kewajiban bagi pemerintah untuk menerapkan segala hukum-hakam yang telah diturunkan oleh Allah SWT terhadap umat dan dengan itu, kita tidak akan mendengar lagi berita sedih sebegini berulang kali.
Sumber : hmetro.com.my, utusan.com.my