Kes Simbah Asid – Keselamatan Rakyat Menjadi Taruhan
POKOK SENA: Ekoran kejadian kes simbah asid yang semakin berleluasa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengemukakan cadangan menggubal undang-undang khas mengenai penggunaan, penyimpanan dan pembelian asid dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata cadangan yang akan dibawakan ke peringkat Kabinet dalam masa terdekat ini sebagai perlindungan terhadap wanita, kanak-kanak dan keluarga kerana ia menjadi satu trend untuk memalukan, melepaskan geram atau membalas dendam kepada seseorang terutama membabitkan individu yang dianggap lemah. Katanya, buat masa ini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membincangkan mengenai isu ini dan polis memberi jaminan untuk memerangi kes itu habis-habisan. “Saya sudah bertemu dengan polis untuk meminta mereka memberi keutamaan terhadap kes seperti ini. “Polis beri maklum balas yang baik dan mereka beritahu bahawa dalam kes curah asid ini mereka sedang bertungkus lumus untuk mengesan suspek dan kita harap ia segera diselesaikan. “Namun perlu ada perlindungan dengan cara memperkuatkan undang-undang sedia ada atau jika perlu mewujudkannya supaya tidak ada lagi yang menjadi mangsa.
Kita hairan mengapa begitu mudah bahan ini diperoleh dan disimpan… ia bahaya dan menyebabkan kecederaan kekal kepada sesiapapun tak kira lelaki, wanita atau kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Pokok Sena di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes serangan asid oleh seorang lelaki bermotosikal yang sehingga kini sudah membabitkan 23 mangsa. Semalam akhbar ini melaporkan, seorang wanita yang juga anak pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur menjadi mangsa ke-23 kes serangan asid berhampiran Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sumber : Berita Harian Online, 15/05/2011
Apakah pemerintah Malaysia cuma memejamkan mata dan memekakkan telinga untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas? Apakah mereka lebih berminat dalam menangkap dan menghalang aktiviti- aktiviti dakwah Islam berbanding menghentikan pusat-pusat maksiat serta kejadian jenayah yang semakin berleluasa? Sikap para pemerintah yang hanya mementingkan tindakan yang menguntungkan diri mereka serta kroni-kroni mereka merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat. Mereka selesa bergerak ke sana ke mari dengan dikawal rapi oleh berpuluh-puluh pengawal keselamatan serta konvoi polis, tetapi dalam masa yang sama rakyat sentiasa dalam ketakutan untuk bergerak bebas. Malah lebih malang lagi dengan tindakan mereka yang suka menghalang aktiviti-aktiviti dakwah yang hendak dianjurkan oleh para pendakwah yang ikhlas.
“Tidaklah seorang pemimpin yang apabila diserahkan urusan kaum Muslimin, kemudian dia mati, sedangkan dia mengabaikan/melalaikan urusan tersebut, kecuali Allah mengharamkan syurga untuknya”
[HR Bukhari & Muslim].
Oleh itu, adalah menjadi salah satu amanah utama para pemimpin untuk memastikan keselesaan dan keselamatan rakyatnya supaya berada pada tahap yang maksimum. Ini adalah merupakan bebanan tugas yang wajib dipikul dengan sebaik-baiknya oleh pemerintah kerana ia akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat nanti atas setiap nyawa rakyat yang berada di bawah pemerintahannya. Hanya dengan diterapkan hukum-hakam Islam secara menyeluruh sahajalah yang dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.