Kes Zara: Kenapa rakyat bangkit
Buletin HTM – Kes tragis Zara Qairina, telah menggoncang hati rakyat Malaysia dan mencetuskan fenomena kebangkitan yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Dengan mesej #JusticeForZara, rakyat bangkit menuntut keadilan kematian pelajar tingkatan satu itu merentasi sempadan agama, bangsa, negeri malah negara. Fenomena solidariti luar biasa ini menjadi bukti bahawa rasa cinta kepada keadilan adalah fitrah sejagat yang tidak boleh disekat.
Rancangan KUPAS minggu ini bertajuk “Kes Zara: Kenapa Rakyat Bangkit” yang disiarkan secara langsung pada malam Jumaat, 22 Ogos 2025 di Facebook dan TikTok Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, telah menyingkap faktor-faktor yang fenomena kebangkitan untuk kes Zara.
Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan pendapatnya yang didasarkan kepada pemerhatiannya di sepanjang kes Zara ini bagaimana fenomena kebangkitan boleh tercetus dan merebak dengan cepat.
Ia bermula selepas beberapa pihak berwajib tidak mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini seolah-olah ia sebuah kes remeh. Selepas kes ini menjadi viral barulah pihak berwajib dilihat mula bertindak. Itu pun bukanlah tindakan sebagaimana yang diharapkan, kerana amat ketara di mata rakyat bahawa pihak berwajib cuba menyembunyikan sesuatu, apatah lagi apabila dikatakan anak-anak VIP terlibat dalam kejadian buli hingga menyebabkan kematian Zara.
Tegas Abdul Hakim, rakyat kemudian semakin marah dengan cara dan sikap pihak-pihak berwajib menguruskan kes ini. Kemarahan ini amat wajar apabila tidak ada seorang pun yang dihadap ke mahkamah biar pun kubur telah digali semula dan post-mortem ke atas mayat telah dilakukan.
Rakyat Sabah sudah lama hidup dalam penderitaan, kemiskinan, keterpurukan sedangkan dalam masa yang sama golongan elit politik di negeri di bawah bayu itu hidup dengan penuh kemewahan. Isu penyalahgunaan kuasa, rasuah, kekayaan negeri yang hanya mengalir kepada elit politik, rasuah dan pelbagai macam ketidakadilan merupakan santapan harian rakyat Sabah. Elit politik bukan sahaja kaya raya, malah kebal hukum. Agensi-agensi kerajaan sepenuhnya berada di bawah kendali elit politik sehingga rakyat merasa betul-betul tertindas, tertekan dan terabai.
Jadi, kes Zara telah menjadi pencetus, kata Abdul Hakim, ibarat kes Bouzizi yang membakar diri di Tunisia yang menjadi pencetus kepada revolusi Arab Spring. Rakyat sebenarnya sudah lama tidak puas hati dengan pemegang kuasa dan sistem yang korup, dan kes Zara menjadi klimaks kepada semua ini. Inilah penyebab sebenar kepada kebangkitan rakyat.
Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, peguam terkenal yang mewakili OKT ternyata mempunyai hubungan rapat pula dengan elit politik, ditambah dengan perintah gag daripada mahkamah – yang melarang kes ini daripada dibincangkan secara terbuka – telah menambahkan kesakitan hati rakyat. Rakyat inginkan keadilan untuk Zara dan ingin tahu apa yang berlaku di mahkamah, namun kelihatannya setakat ini tidak kesampaian, ujar Jurucakap HTM itu lagi.
Apa yang penting sekarang ialah untuk rakyat Sabah khususnya dan rakyat Malaysia amnya memahami bahawa kita sekarang berada dalam sebuah sistem yang rosak yang dipimpin oleh elit politik yang korup. Isu ini sepatutnya menyedarkan rakyat bahawa ia bukan soal isu buli di sekolah semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu merupakan isu korupnya pemegang kekuasaan dan juga sistem demokrasi yang tidak berpihak kepada rakyat, tetapi berpihak kepada elit politik. Kedua-dua ini perlu ditukar serentak, tegas Abdul Hakim.
Tidak ada guna tukar orang atau parti yang memerintah jika sistem ini tidak ditukar. Kita telah menyaksikan semua parti politik memegang kuasa dan semuanya bermasalah. Baik kerajaan mahupun pembangkang, semuanya hanya pentingkan kekuasaan. Masing-masing tidak habis-habis berebut kuasa, dan rakyat menjadi permainan mereka sahaja. Jadi, rakyat, khususnya umat Islam wajib berjuang untuk menukar penguasa dan sistem ini sekali gus – dari sistem demokrasi sekular kepada sistem Islam (Khilafah), yang hanya dengan ini sahajalah keadilan untuk Zara akan dapat direalisasikan, simpul Jurucakap HTM.