Ketua Negara Islam Wajib Muslim
Rais seterusnya berkata, berdasarkan pendirian itu, seluruh rakyat Malaysia juga seharusnya menerima hakikat bahawa majoriti yang memegang tauliah politik di negara ini ialah orang Melayu kerana orang Melayu mempunyai kuasa politik terbesar.
Setelah kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh pemimpin Singapura, maka pemimpin Malaysia dengan beraninya pun menyatakan perkara yang sama. “Saya berani katakan bukan Melayu pun belum sampai masanya menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan ia tidak akan menjadi kenyataan sebab majoriti tenaga politik di sini ialah Melayu,” kata Rais Yatim kepada Utusan Malaysia dengan gagah beraninya. Kita tertanya-tanya apakah anak Negeri Sembilan ini berani bersuara sedemikian jika Singapura tidak terlebih dahulu memperkatakannya?
Khamis lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman. Dengan mengambil Obama sebagai contoh, Tee Keat berkata: “Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”
Isu ini perlu dirujuk kepada fundamental politik yang berlangsung di Malaysia dan Singapura. Sesebuah negara yang diasaskan kepada ‘bangsa’ pasti menjadikan agenda bangsa sebagai pengikat negara tersebut. Misalnya undang-undang yang disepakati, pastinya mengandungi unsur-unsur diskriminasi (hak istimewa) yang pastinya akan melebihkan ‘bangsa’ yang memerintah negara tersebut. Bangsa Cina yang mendominasi pemerintahan Singapura pastinya akan melebihkan orang-orang Cina. Begitu jugalah dengan bangsa Melayu yang mendominasi pemerintahan Malaysia yang pastinya akan melebihkan orang-orang Melayu di dalam apa jua bidang. Inilah sebahagian sindrom pembinasa dari wacana politik sekular yang mengundang seribu satu masalah di kalangan umat manusia yang berbilang bangsa.
Soal kepimpinan perlu dianjak ke tahap ideologis, bukan sekadar bangsa atau ruang geografi (termasuk wilayah atau benua) kerana ideologi meresap ke dalam pemikiran umat tanpa mengenal batas atau sempadan. Ideologi yang merosak seperti kapitalisme-demokrasi dan sosialisme-komunis yang diamalkan di dalam pemerintahan sesebuah negara, telah memaparkan kepada kita corak-corak kehidupan yang pincang fitrah. Ia sangat mengganggu keamanan dan kesejahteraan manusia. Buktinya, dunia tak pernah aman dari penindasan, intimidasi, huru-hara, pergolakan, diskriminasi dan kacau-bilau tatkala ideologi buatan manusia ini memerintah.
Islam sebagai sebuah ideologi yang diwahyukan kepada Muhammad SAW pernah mentadbir 2/3 daratan bumi. Sejarahnya penuh gilang gemilang tercatat dalam nota-nota sejarah yang terpercaya. Keagungan syariah mentadbir pelbagai bangsa, ras dan warna kulit meninggalkan kesan yang sangat bererti sebagai sebuah kehidupan yang aman harmoni. Ini adalah kerana setiap inci peraturannya disusun atur oleh Sang Pencipta yang Maha Perkasa, bukan manusia. Manusia tidak berhak mencipta peraturannya sendiri melainkan menjalankan peraturan Allah dengan sempurna.
Antara elemen yang menjadikan Islam sebagai ideologi yang terhebat adalah soal kepemimpinan. Islam tidak mengukur ‘bangsa’ sebagai suatu standard agar kepimpinan dikuasai oleh suatu bangsa/kaum tertentu. Bahkan Islam menyatakan siapa pun jua yang layak memerintah, tidak kira apa ‘bangsa’nya sekalipun, maka dia boleh memerintah, dengan syarat dia adalah Muslim, bukannya kafir. Dan dia wajib memerintah dengan menerapkan hukum Allah, bukannya hukum buatan sendiri. Khalifah, selaku ketua negara yang menjalankan perintah Allah SWT secara sempurna tidak disyaratkan mesti bangsa tertentu, bahkan sesiapa sahaja di kalangan kaum Muslimin layak menjawatnya. Lagi pula, jawatan itu bukan dijawat demi meraih kepentingan tertentu seperti untuk kepentingan ‘bangsa’ atau keturunannya, tetapi ia memerintah untuk kepentingan umat Islam secara khususnya dan untuk kepentingan umat manusia secara amnya.
Allah mewajibkan ke atas manusia agar memerintah negara, malah memerintah dunia dengan jalan yang telah ditetapkanNya, yakni Islam. Allah telah menetapkan bahawa hanya manusia yang beriman sahaja yang boleh menjadi kepala negara dan memegang tampuk pemerintahan. Manakala bagi manusia yang tidak beriman (kafir) mereka tidak boleh memegang apa jua jawatan pemerintahan di dalam negara Islam. Kedudukan mereka yang ‘tidak beriman’ (kafir) kepada Allah itu sendiri telah merupakan satu kesalahan, apatah lagi mereka ingin memegang tampuk pemerintahan. Bumi ini wajib diperintah mengikut peraturan Allah, bukan peraturan manusia, dan hal ini tidak akan terjadi jika yang memegang tampuk pemerintahan adalah mereka yang kufur kepada Allah. Inilah hukum Islam dan ketetapan dari Allah yang wajib ditaati oleh semua manusia, agar manusia dan bumi yang diciptakanNya ini sentiasa berada di bawah naungan rahmatNya. Jika ketetapan ini tidak ditaati, maka tidak akan amanlah dunia (sebagaimana sekarang) dan manusia yang melanggar perintah Allah itu bakal berhadapan dengan azab Allah yang amat pedih di akhirat kelak. Na’uzubillah min zalik.