Kewajipan ialah tuntutan, bukan perniagaan

Berita:

JASIN, 22 Jun (Bernama) — Kerajaan negeri Melaka menjangkakan kekurangan kutipan hasil kira-kira RM2 juta setahun selepas pelaksanaan pengecualian bayaran parkir kenderaan di negeri berkenaan pada hari Sabtu dan Ahad bermula 15 Jun lepas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Tey Kok Kiew berkata ia melibatkan 27,880 petak parkir kenderaan di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Sumber berita: http://bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1473858

Komentar:

Parkir merupakan kemudahan pelengkap bagi pengguna jalan raya. Tanpa kemudahan tersebut, orang awam akan mengalami kesulitan dalam menguruskan hal-hal keperluan harian seperti berkerja, membeli barang keperluan, belajar dan lain-lain. Apabila suatu fasiliti digunakan oleh orang awam secara kolektif dan akan menimbulkan kesulitan sekiranya tidak diwujudkan, maka ia termasuk di bawah kategori kemudahan awam yang wajib disediakan oleh negara.

Rasulullah SAW telah menjelaskan hal ehwal kemudahan awam ini dalam sebuah hadis, baginda SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ الْمَاءِ وَالْكَلَإِ وَالنَّارِ

“Kaum Muslim bersekutu (memiliki hak yang sama) dalam tiga hal:  air, padang dan api.” [HR Ahmad & Abu Daud]

Anas meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas dengan menambahkan: “wa tsamanuhu haram (dan harganya haram)”.

Hadis di atas  menunjukkan bahawa manusia memiliki tiga perkara ini iaitu air, padang dan api secara bersama dan ada hadis dengan konotasi yang sama mengatakan harganya haram, dengan maksud tidak boleh mendapatkan keuntungan daripadanya. Hadis ini mengandungi ‘illat bahawa ketiga-tiganya memiliki sifat yang sama yang menunjukkan kemudahan/kepentingan awam dan seluruh masyarakat sangat memerlukannya.

Apabila pemerintah mula berniaga dengan rakyatnya dengan objektif untuk menjana pendapatan negeri seperti mengenakan bayaran kepada parkir untuk mendapatkan keuntungan, maka sebenarnya ia telah melanggar ketentuan syarak  dan pemerintah bertanggungjawab di atas kemaksiatan ini. Negara hanya dibenarkan untuk mengenakan bayaran bagi menampung kos pengurusan dan penyelenggaraan sahaja terhadap kemudahan-kemudahan tersebut, bukan sebagai salah satu aset yang menjana pendapatan negeri. Selagi ideologi kapitalisme dijadikan asas kepada pengurusan politik ekonomi umat, maka selagi itulah umat akan ditindas dalam keadaan mereka tidak sedar hak-hak mereka sendiri yang telah dijamin oleh hukum syarak.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia