Kewujudan kilang arak tak dapat dipisah daripada sistem

  1. Baru beberapa hari sahaja surat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berlegar di internet, yang membenarkan sebuah kilang arak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah ditarik balik hari ini (06/04/20). Apa yang pasti ialah, ia ditarik balik kerana kecaman yang begitu banyak terhadapnya daripada umat Islam di media sosial.

 

  1. Lucunya, Menteri yang berkenaan memberi alasan yang dia tidak tahu-menahu tentang surat kelulusan yang ditandatangani oleh Setiausaha Kementerian itu. Manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menciap di Twitternya dengan menyatakan “(Kebenaran) sudah dibatalkan pagi ini kerana tidak selari dengan dasar kerajaan.” Maksudnya selama ini, (sebelum PKP) kewujudan dan operasi kilang arak ini adalah selari dengan dasar kerajaan!!!

 

  1. Ya begitulah dasar kerajaan dalam sebuah sistem demokrasi. Halal dan haram hanyalah sebuah permainan mengikut keputusan mereka yang memegang kekuasaan. Pembukaan dan penutupan kilang arak pun begitu. Ia bukanlah keputusan yang didasarkan kepada syarak, tetapi kepada akal mereka yang berkuasa. Walaupun syarak mengharamkannya, tetapi apabila akal ingin menghalalkannya, maka ia akan jadi halal dan begitulah sebaliknya. That is how law in democracy works..

 

  1. Isu kilang arak ini bukanlah isu yang melibatkan seorang dua menteri sahaja, ia adalah isu yang melibatkan sistem. Dalam sistem demokrasi, halal dan haram terletak di tangan manusia, yakni manusia yang memegang kuasa pemerintahan. Sistem demokrasi yang lahir daripada ideologi kufur kapitalisme ini, selain tidak mengharamkan arak, telah meletakkan cukai daripada pengeluaran arak, sebagai salah satu pendapatan negara. Jadi selama mana kilang-kilang arak beroperasi, apatah lagi apabila menjana pendapatan yang lumayan, maka ia turut menyumbang kepada pendapatan negara melalui pelbagai jenis cukai. Semakin besar keuntungan kilang arak, semakin banyaklah cukai yang dapat dipungut oleh kerajaan.

 

  1. Dalam sistem demokrasi, baik di dunia Barat mahupun Islam, biaya pilihan raya amat besar. Parti-parti yang bertanding apatah lagi parti pemerintah memerlukan dana yang besar untuk berkuasa dan untuk mempertahankan kuasa. Dengan diluluskan kilang arak, tempat-tempat perjudian dan bermacam perniagaan haram lainnya yang diberi lesen sebesar-besarnya, maka para kapitalis di belakang semua ini akan mendapat keuntungan yang lumayan. Para kapitalis inilah yang kemudiannya menyuntik modal untuk dana politik, khusus kepada parti pemerintah yang memberikan mereka lesen dan menjaga perniagaan mereka selama ini. Jadi, ini adalah win-win situation yang menggembirakan kedua-dua pihak, dan menggembirakan pihak ketiga juga iaitu syaitan, yang turut win dalam deal

 

  1. Di Malaysia yang bermasyarakat majmuk yang mana sejak dulu kerajaan sering berkompromi dengan golongan non-Muslim, malah dalam kabinet sendiri pun ramai yang non-Muslim, yang mana arak sudah menjadi minuman asasi bagi sesetengah mereka, maka kewujudan kilang arak dijustifikasi dengan cukup mudah atas alasan ini. Bahkan pesta arak besar-besaran seperti Oktoberfest disambut dengan meriah saban tahun di bumi majoriti Muslim ini, tanpa mengambil kira sensitiviti orang-orang Islam. Atas alasan masyarakat majmuk ini, pesta arak secara terbuka dan kilang arak boleh beroperasi dengan cukup gah, kerana ini dikatakan hak demokratik rakyat, khususnya yang non-Muslim.

 

  1. Justeru, kewujudan kilang arak bukanlah hanya kerana buruknya pemimpin semata-mata, tetapi memang tidak dapat dipisahkan daripada sistem demokrasi itu sendiri. Kita telah lihat wajah-wajah pemerintah yang bersilih ganti, malah kerajaan juga sudah tiga kali bertukar ganti, namun hingga kini kilang arak masih terus beroperasi seperti biasa, kerana ia tidak dapat dipisahkan daripada sistem itu sendiri. Parti yang berteraskan Islam turut ada dalam pemerintahan, tetapi ternyata kilang arak tetap beroperasi, dan kelihatannya akan terus beroperasi. Ia mungkin ditutup sementara semasa PKP, tetapi lihatlah selepas ini..

 

  1. Dengan ditutupnya banyak perniagaan semasa PKP ini, seharusnya kerajaan sudah boleh menggunakan momentum Covid-19 untuk menutup terus kilang arak daripada beroperasi, jika itu yang dimahukan. Apatah lagi sebelum bermulanya wabak di Malaysia, kes-kes pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dan kematian semakin banyak dilaporkan. Malangnya tatkala banyak perniagaan diarahkan tutup semasa PKP, alih-alih kelulusan khas diberikan kepada kilang arak untuk beroperasi, walaupun kini telah ditarik balik

 

  1. Suka atau tidak, percaya atau tidak, setuju atau tidak, lihat sahajalah selagi ada demokrasi, selagi itulah ‘kilang-kilang haram’ ini akan terus beroperasi. Bukan kilang ini sahaja, malah pusat-pusat judi dan banyak lagi keharaman lainnya akan terus berjalan seperti biasa. Ini kerana, sistem demokrasi itu sendiri lahir dari akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada pemerintahan, maka agama tidak ada tempatnya dalam sistem ini. Demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang haram di sisi Islam. Maka, mustahil sebuah sistem yang haram akan mengharamkan sesuatu yang halal di sisinya.

 

  1. Namun, apa yang sangat positif dengan desakan dan hentaman daripada umat Islam kepada kerajaan untuk menarik balik operasi kilang arak semasa PKP ini, kerajaan terpaksa akur walaupun ia bukanlah kehendak kerajaan. Apa yang setiap Muslim perlu sedar ialah, menurut Islam, kilang arak tersebut tidak boleh (haram) beroperasi bukan sahaja semasa wabak tetapi di sepanjang masa. Di sinilah muhasabah secara berterusan perlu dilakukan terhadap kerajaan agar menghilangkan perkara haram ini dari bumi ini segera, supaya azab Allah turut terangkat daripada kita semua.

 

  1. Setiap Muslim juga perlu sedar bahawa dengan muhasabah yang datangnya dari kita secara padu, kuat, bersatu hati, beramai-ramai dan konsisten inilah yang menyebabkan kerajaan menarik balik kelulusan tersebut. Maka, jika kita serius ingin kerajaan menerapkan sistem dan undang-undang Islam, hal yang sama mesti kita lakukan. Jika kita bersatu hati, Insya Allah kita sama-sama dapat merubahnya.

Wallahu a’lam.

Abu Hamzah