Wahai Pemerintah! Tutup Kilang Arak Segera Sebelum Allah Menutup Mata Kalian

Isu pemandu mabuk sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya kebelakangan ini mendapat liputan media dan menyorot perhatian umum, selain menimbulkan kemarahan orang ramai. Hampir semua lapisan masyarakat mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Di sebalik jumlah kemalangan dan kematian yang semakin menakutkan, jalan penyelesaian yang dikemukakan bagi mengatasi masalah ini amatlah mendukacitakan.

Ada pihak yang mencadangkan agar digantung lesen penjualan arak untuk sementara, ada yang mencadangkan agar akta yang sedia ada dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah. Malah ada juga cadangan dari netizen yang marah supaya dikenakan hukuman gantung ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Persoalannya, apakah masalah pemandu mabuk ini akan selesai dengan hanya memberatkan hukuman? Sedangkan dalam masa yang sama, kilang arak masih gah beroperasi di dalam negara, dan penjualannya masih berleluasa. Persoalan yang lebih penting sebenarnya, apakah semua solusi yang dicadangkan berkenaan selari dengan syariat Islam?

Arak Dan Sistem Kapitalisme Berpisah Tiada

Berkenaan dengan keharaman arak, ia termasuk dalam perkara ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (telah diketahui secara pasti, sehingga tiada sebab untuk tidak mengetahuinya). Allah (swt) berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”  [Al-Maidah (5): 90].

Sesungguhnya keharaman arak bukan sahaja pada aktiviti meminumnya, akan tetapi semua aktiviti yang menjadi wasilah kepada keharaman tersebut, termasuklah keberadaan kilang-kilang arak, premis menjual arak, serta segala aktiviti yang mempermudah jalan kepada keharamannya, semuanya haram dan berdosa. Daripada Anas bin Malik (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ r فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ»

“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamr sepuluh pihak: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya”  [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Berdasarkan hadis ini, kita dapat fahami bahawa dalam soal keharaman arak ini, Islam bukan sekadar melihat kepada permasalahan yang timbul hasil daripada perbuatan meminum arak itu semata-mata, sebaliknya Islam mengharamkan segala rantaian penghasilan arak dari memerahnya sehinggalah kepada meminumnya. Oleh yang demikian, segala rantaian keharaman tersebut wajib dibendung, dan sekiranya tetap berlaku, maka wajib dikenakan uqubat (hukuman).

Malangnya kita saksikan di Malaysia ini, sejak sekian lama, segala rantaian tersebut amat subur. Kenapa begitu subur? Kerana pemerintah yang menyuburkannya!

Walaupun sudah banyak kes kematian yang melibatkan pemandu mabuk dan sudah banyak desakan dilontarkan kepada pemerintah supaya menutup kilang arak, yang menjadi punca kepada banyak kejahatan yang terhasil akibat meminum air kencing syaitan itu, namun pemerintah hanya buat pekak dan tuli sahaja dalam isu ini.

Kilang arak masih tetap beroperasi, begitu juga dengan import benda haram tersebut dalam skala industri juga terus berlangsung seperti biasa. Hal ini bukanlah suatu yang pelik kerana negara demokrasi-kapitalis seperti Malaysia ini sememangnya tidak mempedulikan halal-haram, kerana apa yang dipedulikan hanyalah keuntungan yang akan masuk ke dalam poket pemerintah, walau seharam mana sekalipun sumbernya.

Boleh dikatakan hampir mustahil bagi sebuah negara kapitalis seperti Malaysia untuk menutup kilang arak. Selain sebagai sumber pendapatan negara melalui cukai, melihat kepada pihak-pihak yang ada di sebalik kilang arak tersebut, menutup kilang arak umpama tindakan membunuh diri kepada pemerintah.

Atas dasar itu, tidak hairanlah apabila solusi-solusi yang ditawarkan oleh para menteri atau ahli parlimen atau ahli politik, khususnya daripada parti pemerintah, adalah untuk memberatkan hukuman kepada pemandu mabuk sahaja, tanpa melihat kepada ‘punca’ kewujudan ‘pembunuh’ jalanan tersebut.

Lebih malang dan lebih mengharukan, terdapat suara-suara yang membela kilang arak dan tindakan meminum air kencing syaitan itu atas dasar Malaysia adalah negara majmuk dan itu merupakan hak orang-orang kafir yang tidak boleh dinafikan oleh negara dan umat Islam.

Hukuman Islam

Islam memandang arak sebagai suatu keharaman tanpa sebarang tawar menawar. Negara Islam (Khilafah) tidak akan membenarkan wujudnya kilang arak atau pengeluaran arak pada skala industri atau dipasarkan secara terbuka di dalam negara. Syariat Islam telah menetapkan seseorang Muslim yang didapati bersalah meminum arak, sama ada sedikit atau pun banyak, ia akan dijatuhi hukuman sebat sebanyak 40 atau 80 kali. Anas (ra) menuturkan:

«كان النبي يَضْرِبُ فِي الخَمْرِ باِلجَرِيْدِ وَالنَّعَالِ أَرْبَعِيْنَ»

“Nabi (saw) menyebat orang yang minum khamar dengan pelepah kurma dan terompah sebanyak empat puluh kali sebatan” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Abu Dawud].

Ali bin Abi Thalib (ra) menuturkan:

«جَلَّدَ رَسُوْلُ اللّهِ أَرْبَعِيْنَ، وَأبُو بَكْرٍ أَرْبَعِيْنَ، وعُمَرُ ثَمَانِيْنَ، وَكُلٌّ سُنَّةٌ، وهَذَا أحَبُّ إِليَّ»

“Rasulullah (saw) menyebat (orang minum khamr) empat puluh kali, Abu Bakar menyebat empat puluh kali, Umar menyebat lapan puluh kali. Semuanya merupakan sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Dalam Islam, orang-orang kafir dibenarkan untuk meminum arak, tetapi dalam kehidupan mereka secara peribadi sahaja seperti di rumah-rumah atau dalam komuniti mereka secara terpencil sahaja. Mereka tidak dibenarkan menjual atau meminum arak secara terbuka di tempat awam, apatah lagi untuk membuka kilang arak atau mengimport arak secara besar-besaran!

Bagi pihak yang terlibat dengan kesalahan arak, namun tidak meminumnya, seperti menjualnya di tempat-tempat umum atau secara terbuka, dan lain-lain kesalahan termasuklah kesalahan membuka, memiliki, menjalankan operasi kilang arak dan sebagainya, maka akan dijatuhi hukuman ta’zir, tanpa mengira kafir atau Muslim. Di bawah ta’zir, bentuk dan kadar hukuman itu diserahkan kepada kebijaksanaan Khalifah atau Qadhi untuk memutuskan berdasarkan ijtihadnya, dan bergantung kepada berat-ringannya sesuatu kesalahan.

Di samping pelaksanaan hukuman serta penguatkuasaan yang ketat di dalam negara Islam, ketakwaan individu merupakan elemen yang sangat penting dalam mewujudkan keadaan yang baik di dalam masyarakat dan negara. Itulah kunci kejayaan negara dalam menjamin kesejahteraan serta kesihatan akal bagi rakyatnya.

Walaupun kita tahu bahawa hampir mustahil untuk pemerintah Kapitalis pada hari ini untuk menutup kilang arak, namun ia sama sekali tidak menggugurkan kewajipan kita untuk terus memuhasabah pemerintah sekular ini untuk menutup kilang arak, yang dari sinilah menjadi punca kepada wujudnya pemandu mabuk yang telah ‘membunuh’ ramai orang.

Pemerintah ini perlu ingat bahawa dengan terus membiarkan kilang arak ini beroperasi, yang dari sinilah wujudnya rantaian keharaman dan kerosakan yang begitu banyak dalam masyarakat, maka rantaian dosa mereka terus mengalir sehingga ke padang mahsyar nanti. Pada waktu itu, tiada siapa yang akan memuhasabah mereka lagi, kerana yang ada hanyalah antara mereka dan Allah (swt), dan neraka yang sedang menanti. Justeru, alangkah baiknya jika mereka mendengar muhasabah sekarang, semasa mata mereka masih terbuka, sebelum Allah menutup mata mereka, dan membukanya semula di padang mahsyar nanti!

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Amin
Pimpinan Pusat HTM