Kezaliman kerajaan yang tidak berkesudahan

Harga daging naik mendadak

Peningkatan berlaku di bandar utama walaupun tiada perubahan ketara seluruh negara

KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan harian di pasar utama di seluruh negara tidak menunjukkan perubahan ketara, berbanding kelmarin walaupun berlaku kenaikan barang keperluan tertentu di beberapa negeri.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati antara barang mengalami kenaikan mendadak adalah daging tempatan, ikan bawal putih, kembung, cencaru, ayam, sawi, bayam, bawang merah dan tomato.

Peningkatan harga berlaku di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Kuantan, Georgetown, Alor Star, Ipoh, Putrajaya, Kota Kinabalu, Seremban, Johor Bahru dan Kangar

Di ibu negara, tinjauan di Pasar Chow Kit mendapati harga daging tempatan mendadak naik kepada RM28 sekilogram berbanding RM20, pada hari sebelumnya.

Kenaikan kecil juga dicatatkan bagi ayam proses, ikan cencaru, sawi, bayam, bawang merah dan ubi kentang.

Di GEORGETOWN, harga barang keperluan di sekitar negeri ini menunjukkan beberapa peningkatan dan penurunan khususnya ikan dan sayur-sayuran.

Harga ikan kembung, cencaru dan udang sederhana meningkat antara 50 sen hingga RM4, manakala bawal putih menurun RM10.

Cili merah, kubis, tomato, bawang merah dan bawang besar pula mencatat kenaikan harga antara 50 sen hingga RM2 manakala sawi, bayam dan ibu kentang turun 30 sen hingga RM1.50.

Di ALOR STAR, tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati harga ikan terus mencatat peningkatan yang dikatakan berpunca daripada kekurangan bekalan apabila cuaca kurang baik sejak dua hari lalu.

Ikan kembung saiz sederhana naik kepada RM5 sekilogram, berbanding RM4.60 kelmarin, manakala cencaru kepada RM4.80 daripada RM4.50 dan bawal putih pula naik RM1 kepada RM31 sekilogram.

Di KUANTAN, tinjauan di Pasar Besar Kuantan mendapati harga sayuran lain kebanyakannya tidak berubah termasuk bayam yang kekal kepada RM3.50, manakala tomato dijual RM5 sekilogram.

Di JOHOR BAHRU, harga beberapa barang keperluan seperti cencaru, cili merah, tomato, santan dan daging import terus meningkat, namun sesetengah harga barang kekal pada paras sebelumnya.

Barang keperluan di sini mengalami kenaikan harga antara 50 sen hingga RM1, antaranya harga tomato yang meningkat kepada RM5 daripada RM4.50 manakala harga daging import meningkat sebanyak RM1 berbanding kelmarin.

Di IPOH, tinjauan di pasar besar semalam mendapati ia tetap terkawal biarpun masih ada yang naik seperti kacang buncis daripada RM5 kepada RM5.50 sekilogram.

Di KANGAR, harga kebanyakan hasil laut yang dilaporkan meningkat antara RM1 hingga RM2 sejak kelmarin terus menunjukkan peningkatan dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca yang buruk serta ombak besar melanda kawasan pantai di sekitar utara semenanjung.

Tinjauan di Pasar Besar Kangar dan Arau, semalam mendapati ikan kembung yang dilaporkan meningkat RM2 kelmarin, dijual pada harga RM8.50, iaitu bertambah 50 sen.

Keadaan sama juga berlaku pada ikan cencaru yang terus menunjukkan peningkatan masing-masing RM1 pada kelmarin dan semalam iaitu daripada RM5 kepada RM6.

Di PUTRAJAYA, harga cili merah di sini turun RM2 berbanding kelmarin, manakala cencaru dan kembung masing-masing naik sebanyak 50 sen dan RM1.

Harga barang lain seperti ayam, bawal, udang, sawi, bayam, kubis, tomato, kacang buncis, kacang panjang, bawang merah, bawang besar, ubi kentang, santan, daging import dan daging tempatan masih kekal.

DI KOTA KINABALU, harga beberapa barang keperluan harian di Pasar Besar di sini, dikesan naik seperti udang sederhana (naik RM2 menjadi RM18) dan ikan cencaru (naik 50 sen menjadi RM7.50).

Di MELAKA, tinjauan di Pasar Besar Melaka di Melaka Sentral semalam, mendapati harga keseluruhan barang keperluan utama terus kekal pada harga kelmarin, kecuali ikan cencaru, sawi dan tomato yang dipercayai akibat lebihan bekalan dan kenaikan harga bahan api.

Bagi ikan cencaru, harganya turun sebanyak 50 sen, daripada RM8.50 kelmarin kepada RM8 sekilogram semalam, manakala sawi pula, daripada RM4 kepada RM3.50 sekilogram. Harga barangan tunggal naik adalah tomato daripada RM3.50 kepada RM4.50 sekilogram.

Di SHAH ALAM, kebanyakan peniaga di sebuah pasar basah yang ditemui akur arahan kerajaan supaya tidak menaikkan harga.

Di KUALA TERENGGANU, Beberapa barang keperluan basah mulai turun iaitu udang sederhana turun sebanyak RM1 dan dijual pada harga RM15 sekilogram berbanding RM16 semalam, manakala cili merah pula turun RM1 kepada RM9.

Di SEREMBAN, harga barang keperluan tidak banyak mengalami peningkatan ketara kecuali kacang buncis yang mengalami kenaikan daripada RM4 sekilogram kepada RM4.50 hingga RM5.50 sekilogram.

Di KUCHING, harga barang di bandar ini masih terkawal dan kadarnya berbeza bergantung kepada lokasi jualan.

Sumber: Berita Harian 11/06/08

Ulasan:

Sudah selogiknyalah apabila harga minyak naik, maka harga barang lain pun turut naik, khususnya apa sahaja barang yang melibatkan kos pengangkutan untuk ia sampai kepada pengguna. Jadi, jika harga ikan, sayur dan barang-barang runcit lain turut naik selaras dengan kenaikan harga minyak, ini adalah suatu yang sudah pun dijangkakan. Malah ini adalah fenomena biasa setiap kali harga petrol dan diesel dinaikkan.

Ya inilah kesan dari kezaliman pemerintah yang telah menaikkan harga bahan bakar ke tahap yang paling tinggi dalam sejarah. Bermula dari satu kezaliman, kemudian ia terus merebak kepada kezaliman lainnya yang seterusnya akan menyebabkan rakyat mengalami penderitaan demi penderitaan yang tak berkesudahan.

Dalam Islam, minyak adalah milik umat (milkiah al-ammah) dan tugas kerajaan hanyalah mengelolanya untuk kemudiannya diagih-agihkan kepada umat secara percuma. Tugas kerajaan bukannya mengambil untung dari hasil bahan bakar ini. Juga, haram bagi kerajaan menyerahkan pengelolaan minyak ini kepada syarikat asing mahupun tempatan untuk mendapat keuntungan darinya. Kerajaan hanya bertanggungjawab menguruskannya dan mengembalikan segala keuntungan dan kekayaan ini kepada umat. Inilah tugas kerajaan.

Malangnya kerajaan sekular Kapitalis yang memerintah pada hari ini telah tidak berhukum dengan hukum Islam. Mereka hanya memerintah untuk kepentingan sendiri dengan mengaut semua kekayaan negara dan hak umat untuk kepentingan mereka. Kerana itulah rakyat terus hidup dalam penderitaan, kecuali segelintir golongan Kapitalis yang menjadi kroni mereka.

Sesungguhnya segala keburukan ini tidak akan berakhir sehinggalah hukum Allah diterapkan secara kaffah dan kita semua sudah tidak yakin bahawa pemerintah yang sekular sekarang akan kembali kepada hukum Allah. Justeru, kita sudah tidak perlu tunggu lagi untuk bersegera mendirikan semula Daulah Khilafah, yang dengannya kita akan hidup sejahtera bernaungkan syariat Islam. Amin.