Khilafah dan Imamah

Istilah “Khilafah” dan “Imamah” merupakan istilah yang sinonim (sama makna). Kedua-duanya adalah merujuk kepada sistem pemerintahan Islam.

Namun, pada segelintir pihak, kedua-dua istilah tersebut dianggap berbeza. Ada pihak yang berpandangan bahawa wujud perbezaan antara Khilafah dan Imamah. Hujahnya ialah, Imam adalah penguasa dalam pengertian umum, dan dalil-dalil tentang wajibnya mengangkat seorang Imam hanya menegaskan kebiasaan masyarakat yang sudah berlaku berabad-abad lamanya. Salah satu kebiasaan tersebut ialah setiap masyarakat akan mengangkat seorang pemimpin yang akan mengatur dan menjaga kepentingannya. Pemimpin tersebut boleh sahaja ketua kampung, ketua suku, raja, sultan, Khalifah, presiden, CEO, Perdana Menteri dan lain-lain. Manakala Imamah pula bererti kepemimpinan yang bersifat umum. Khilafah adalah kepemimpinan yang lebih khusus dan berdasarkan sejarah Islam, bentuk pemerintahannya adalah kerajaan. Khilafah hanyalah suatu kebetulan sejarah (historical coincidence). Oleh itu, sistem tersebut boleh diganti sesuai dengan asas pengaplikasian doktrin Ahlu Sunnah bahawa penentuan Imam bukanlah berdasarkan dalil agama (seperti pendapat golongan Syiah), melainkan berdasarkan ijtihad dan pilihan (ikhtiyar). Inilah hujah mereka. Ada juga pihak yang menegaskan bahawa sistem demokrasi merupakan sistem paling ideal hingga saat ini.

Pengertian Khilafah dan Imamah

Atas dasar itu, amat penting untuk mengetahui pengertian sebenar istilah Khilafah dan Imamah, agar umat Islam tidak terkeliru dan yang lebih penting agar memahami apakah yang dituntut dari kedua-dua istilah tersebut.

Menurut pendapat Imam Ar-Razi mengenai istilah Imamah dan Khilafah dalam kitab Mukhtar as-Sihah hlm. 186, beliau menyatakan:

الخلافة أو الإمامة العظمى، أو إمارة المؤمنين كلها يؤدي معنى واحداً، وتدل على وظيفة واحدة و هي السلطة العيا للمسلمين

“Khilafah, Imamah al-‘Uzma, atau Imarah al-Mukminin semuanya memberikan makna yang satu (sama) dan menunjukkan tugas yang juga satu (sama), iaitu kekuasaan tertinggi bagi kaum Muslimin”  [lihat: Muslim al-Yusuf, Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah wa al-‘Alaqat ad-Dauliyah, hlm 23; Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh a-Islami wa Adillatuhu, VIII/270].

Pendapat yang sama dikemukakan oleh Imam Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah hlm. 190:

وإذ قد بيَّنَّا حقيقة هذا المنصب وأنه نيابة عن صاحب الشريعة في حفظ الدين وسياسة الدنيا به تسمى خلافة وإمامة والقائم به خليفة وإمام

“Telah kami jelaskan hakikat kedudukan ini (Khalifah) dan bahawa ia adalah wakil dari Pemilik Syariah (Rasulullah saw) dalam menjaga agama dan mengatur dunia dengan agama. (Kedudukan ini) dinamakan Khilafah dan Imamah dan orang yang melaksanakannya (dinamakan) Khalifah dan Imam [Lihat Ad-Dumaiji, al-Imamah al-‘Uzma ‘Inda Ahl as-Sunnah wa al-Jama‘ah, hlm. 34).

Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (VIII/418) menyatakan pendapat yang sama:

الخلافة (أو الإمامة أو إمارة المؤمنين) أو أي نظام شوري يجمع بين مصالح الدنيا والآخرة كلها ذات مدلول واحد

“Khilafah (atau Imamah atau Imarah al-Mukminin) atau yang bererti sistem berdasarkan musyawarah yang menghimpunkan kemaslahatan dunia dan akhirat, semuanya mempunyai pengertian yang sama”

Dhiyauddin ar-Rays dalam kitabnya, An-Nazhariyat as-Siyasiyah al-Islamiyyah hlm. 92 juga menyatakan:

يلاحظ أن الخلافة والإمامة الكبرى وإمارة المؤمنين ألفاظ مترادفة بمعنى واحد

“Perlu diperhatikan bahawa Khilafah, Imamah al-Kubra, dan Imarah al-Mukminin adalah istilah-istilah yang sinonim dengan makna yang sama” [Lihat Wahbah az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, VIII/465].

Petikan kata-kata ulama di atas menunjukkan dengan jelas bahawa istilah Imamah dan Khilafah (juga Imaratul Mukminin) maknanya sama, tidak ada perbezaan.

Terdapat banyak lagi kata-kata ulama yang menunjukkan persamaan makna Khilafah dan Imamah.

Pendapat yang sama juga diungkapkan oleh Rasyid Ridha dalam kitabnya, Al-Khilafah au al-Imamah al-‘Uzma, hlm. 101; Prof. Dr. Ali as-Salus dalam kitabnya, ‘Aqidah al-Imamah ‘Inda asy-Syi‘ah al-Itsna ‘Asyariyah (terj.) hlm. 16; Zainal Abidin Ahmad dalam bukunya, Membentuk Negara Islam, hlm. 30; dan Hasbi ash-Shiddieqy dalam bukunya, Islam dan Politik Bernegara, hlm. 42-43.

Pendapat para ulama bahasa Arab (ahli kamus) turut menyamakan erti Imamah dan Khilafah, misalnya Rawwas Qal‘ah Jie dan Hamid Sadiq Qunaibi dalam Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 64, 150, dan 151; Ibrahim Anis dkk dalam Al-Mu‘jam al-Wasith, 1/27 dan 251.

Jika Imamah dan Khilafah membawa makna yang sama, demikian juga istilah Imam dan Khalifah. Kedua-duanya bermaksud pemimpin tertinggi dalam negara Khilafah, tiada perbezaan di antara keduanya. Sebagaimana nukilan Ibnu Khaldun yang telah dikutip di atas. Imam Nawawi dalam Raudhah ath-Thalibin  (X/49) menegaskan hal yang sama:

يجوز أن يقال للإمام :الخليفة، والإمام، وأمير المؤمنين

“Boleh sahaja Imam disebut dengan Khalifah, Imam atau Amirul Mukminin” [Lihat: Ad-Dumaiji, Al-Imamah al-‘Uzma, hlm. 34].

Mengapa Imamah dan Khilafah Semakna?

Timbul persoalan seterusnya, atas dasar apa para ulama menyamakan pengertian Imamah dan Khilafah? Di sinilah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani memberikan penjelasan yang jelas dalam kitabnya, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyah Juz II. Beliau menyatakan,

“Terdapat hadis-hadis sahih dengan dua istilah ini [Khilafah dan Imamah] dengan makna yang sama. Tidak ada makna lain daripada salah satu istilah itu yang menyalahi makna istilah yang lain, dalam nas syariah mana pun, baik dalam al-Quran mahupun dalam as-Sunnah, kerana kedua perkataan itu merupakan nas-nas syariah. Tidaklah wajib berpegang dengan perkataan ini, iaitu Khilafah atau Imamah, tetapi yang wajib ialah berpegang dengan pengertiannya.” [Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/13].

Jadi, Khilafah dan Imamah memiliki makna yang sama kerana nas-nas syariah, khususnya hadis-hadis sahih, telah menggunakan dua perkataan itu, iaitu  kata “Imam” atau “Khalifah” secara bergantian namun dengan pengertian yang sama. Sebagai contoh, kadang-kadang Rasulullah (saw)  menggunakan perkataan “Khalifah” seperti sabdanya:

إِذَا بُوْيِعَ لِخَلِيْفَتَيْنِ فَاقْتُلُوْا الآخِرَ مِنْهُمَا

“Jika dibaiat dua orang Khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR al-Bazzar dan ath-Thabrani dalam Al-Awsath – lihat Majma’ az-Zawa’id, V/198]. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim – ihat: Syarh Muslim oleh Imam Nawawi, XII/242].

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah (saw) juga menggunakan perkataan “Imam” seperti:

مَنْ بَايَعَ إَمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَثَمْرَةَ قَلْبِهِ فَلْيُطِعْهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعُهُ فَاضْرِبُوْا عُنُقَ اْلآخَرِ

“Siapa saja yang membaiat seorang Imam, lalu ia memberikan genggaman tangannya dan buah hatinya, hendaklah ia mentaati Imam itu semampunya. Kemudian jika datang orang lain yang hendak merebut kekuasaan Imam itu, maka penggallah leher orang itu” [HR Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasa’i dan Ahmad).

Kata “Khalifah” dan “Imam” dalam kedua-dua hadis di atas mempunyai pengertian yang sama, iaitu pemimpin tertinggi dalam Negara Islam (Khilafah) – (lihat: Rawwas Qal’ah Jie dan Hamid Shadiq Qunaibi, Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 64 dan 151).

Jika “Khalifah” dan “Imam” memiliki pengertian yang sama, maka sistem pemerintahan yang dipimpinnya, iaitu “Khilafah” dan “Imamah”, juga sama maknanya, tiada perbezaan.

Antara Khilafah dan Imarah

Dalam banyak hadis sahih, ada pembahasan mengenai kepemimpinan dalam pengertian umum. Kepemimpinan dalam pengertian umum ini disebut dengan istilah Imarah, Qiyadah, atau Ri’asah. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menerangkan,

“Imarah (kepemimpinan) itu lebih umum, sedangkan Khilafah itu lebih khusus, dan keduanya adalah kepemimpinan (ri’asah). Terma Khilafah digunakan khusus untuk suatu kedudukan yang sudah dikenali, sedangkan terma Imarah digunakan secara umum untuk tiap-tiap pemimpin (amir)” [Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/125].

Hadis tentang Imarah, misalnya, sabda Nabi (saw):

إِذَا خَرَجَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

“Jika keluar tiga orang dalam sebuah perjalanan, hendaklah seorang dari mereka menjadi pemimpinnya” [HR Abu Daud].

Dengan demikian, jelas bahawa kepemimpinan dalam pengertian yang umum, juga diterangkan dalam Islam. Namun istilahnya bukannya Khilafah atau Imamah, melainkan Imarah. Imarah inilah lafaz yang bersifat umum yang boleh mencakupi ketua kampung, ketua suku, raja, sultan, Khalifah, presiden, CEO, perdana menteri dan sebagainya. [KH. M. Shiddiq al-Jawi]

Daftar Pustaka

  • Ad-Dumaiji, Abdullah bin Umar bin Sulaiman, Al-Imamah al-‘Uzma ‘Inda Ahl as-Sunnah wa Al-Jama‘ah, (saaid.net), 1987.
  • Ahmad, Zainal Abidin, Membentuk Negara Islam, (Jakarta : Penerbit Widjaya), 1956.
  • Al-Yusuf, Muslim, Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah wa al-‘Alaqat ad-Dauliyah, (www.saaid.net).
  • An-Nabhani, Taqiyuddin, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah,Juz 2, (Beirut: Darul Ummah), 2002.
  • Anis,  Ibrahim dkk,  Al-Mu’jam al-Wasith, (Kairo: Tanpa Penerbit), 1972.
  • As-Salus, Ali, Imamah dan Khilafah dalam Tinjauan Syar’i (Aqidah Al-Imamah ‘Inda Asy-Syi’ah Al-Itsna ‘Asyariyah), Penerjemah Asmi Salihan Zamakhsyari, (Jakarta: Gema Insani Press), 1997.
  • Ash-Shiddieqy, Teungku Muhammad Hasbi, Islam dan Politik Bernegara, (Semarang: PT. Pustaka Rizki Putra), 2002
  • Az-Zuhaili,Wahbah, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Juz 8, (Maktabah Syamilah).
  • Qal’ah Jie, Rawwas, & Qunaibi, Hamid Shadiq, Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ (Beirut: Dar an-Nafa’is), 1988.

[Disunting daripada sumber asal: http://hizb-indonesia.info/2008/03/04/khilafah-dan-imamah-2/]