KL Headline Season 2026: Kerajaan Madani Terus Undang Azab Allah – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kerajaan Madani ditempelak keras berikutan tindakan meluluskan penganjuran “KL Headline Season 2026” yang bakal menghimpunkan 25 persembahan artis antarabangsa secara besar-besaran di ibu negara sepanjang tahun ini.

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman berkata, kelulusan penganjuran konsert berskala mega tersebut secara terang-terangan menunjukkan yang kerajaan hari ini sudah hilang sensitiviti, tidak mempedulikan halal dan haram, serta berani mengundang murka Allah (swt).

Beliau turut memuhasabah para Mufti dan pihak berkuasa agama yang sehingga kini berdiam diri dengan keharaman secara terang-terangan yang dilakukan oleh kerajaan. “Di mana para Mufti dan pihak berkuasa agama di saat kerajaan meluluskan konsert maksiat mega secara terbuka dan besar-besaran?” soal beliau.

Dalam program siaran langsung Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM malam tadi (05/06/2026), beliau turut mengingatkan umat Islam agar terus menyuarakan bantahan terhadap konsert maksiat mega itu, yang dengan jelas hanya mengundang murka Allah.

Dengan memetik Surah Ar-Rum ayat 41 dan An-Nisa’ ayat 14, beliau mengingatkan pemerintah yang sudah begitu banyak meluluskan konsert-konsert maksiat bahawa tindakan seperti itu hanya akan membawa kerosakan dan azab di dunia, dan azab di akhirat lebih berat lagi menanti mereka.

Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa segala konsert yang dibawa masuk oleh kerajaan ke negara ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, tetapi merupakan kemasukan gaya hidup hedonisme yang merupakan sebahagian agenda Barat ke atas umat Islam.

“Kita perlu faham bahawa konsert-konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi merupakan satu dakyah dan cara hidup Barat yang hedonistik bertujuan menjauhkan umat Islam daripada agamanya. Apa faedahnya ‘KL Headline Season’ ini untuk Islam? Tidak ada satu pun kemaslahatan, melainkan ia hanya mengundang keburukan, kemungkaran dan bala daripada Allah (swt),” tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai alasan rangsangan ekonomi dan pelancongan yang sering dijadikan perisai oleh pihak kementerian untuk menghalalkan penganjuran konsert, beliau membidas justifikasi tersebut sebagai dangkal dan menormalisasikan hasil pendapatan negara yang haram.

“Kalau kerajaan menyatakan ini bagus untuk ekonomi negara, persoalannya di mana bagusnya sekiranya pendapatan yang masuk ke dalam kantung negara itu adalah daripada sumber yang haram? Apa beza konsert ini dengan pelacuran, judi, dan riba apabila semuanya sama-sama haram untuk dijadikan sumber ekonomi?” soalnya sinis.

Ustaz Abdul Hakim mengingatkan seluruh umat Islam agar tidak terlibat dalam konsert-konsert ini. “Jangan sekali-kali membeli tiket atau hadir ke acara maksiat ini, dan ingatkan saudara-mara serta kawan-kawan kita agar menjauhi konsert ini,” pesan beliau. Beliau juga mengingatkan umat Islam untuk terus membantah KL Headline Season dengan apa jua cara sebagai sebahagian daripada kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar yang dituntut oleh Islam.

Jurucakap HTM itu merumuskan bahawa konsert-konsert maksiat ini hanyalah sebahagian kecil daripada kerosakan berterusan dalam negara ini yang merupakan buah busuk yang terbit daripada pohon beracun demokrasi. Pemerintah pula adalah pihak yang sentiasa menyiram dan menjaga pohon beracun ini. Maka, selagi ada pohon beracun dan penjaganya ini, ia akan terus melahirkan buah-buah yang memudaratkan siapa sahaja yang memakannya, kata beliau.

Oleh itu, tambah beliau, satu-satunya penyelesaian tuntas untuk masalah ini ialah dengan mencabut pohon beracun ini dari akar-akarnya, dan penjaganya juga mesti dibuang. Sistem demokrasi sudah terbukti rosak dan merosakkan dan wajib dicampakkan oleh umat Islam serta diganti dengan sistem Islam di bawah Negara Khilafah, dan inilah yang sedang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir dan diseru oleh Hizbut Tahrir kepada seluruh umat Islam agar sama-sama berganding bahu merealisasikannya. Demikian tegas Jurucakap HTM itu di akhir program.