Koc merah jambu: Peraturan tanpa hukuman

Berita:

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi isu pencerobohan di dalam gerabak koc wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata operasi penguatkuasaan dan kempen kesedaran koc wanita dengan kerjasama Polis Bantuan KTMB dan SPAD dijalankan sejak semalam bagi membanteras isu pencerobohan koc wanita.

“KTMB dengan kerjasama SPAD kini sedang meneliti semua tatacara pengoperasian koc wanita bagi menjamin dan memastikan koc ini digunakan khas untuk wanita saja. “Saya menyeru orang ramai untuk membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain berhubung kepentingan dan sensitiviti koc khas berkenaan untuk keselesaan bersama,” katanya.

Berita penuh: bharian.com.my


Komentar:

Setelah 8 tahun beroperasi, KOC Merah Jambu yang diperkenalkan perkhidmatan tren KTM Komuter sejak tahun 2010 masih belum bebas daripada penceroboh. Aduan demi aduan telah dibuat tentang kebiadapan kaum lelaki yang enggan mematuhi peraturan bahawa KOC Merah Jambu hanya untuk kaum wanita sahaja. Lebih buruk lagi apabila terdapat aduan para wanita diraba dan diganggu di KOC yang sepatutnya selamat dan selesa untuk para wanita. Terdapat juga para wanita hamil yang terpaksa berdiri kerana terpaksa mengalah dengan ‘sang penceroboh’.

Tujuan KOC Merah Jambu ini gagal berfungsi dengan baik kerana kelemahan dalam penguatkuasaan peraturan yang telah ditetapkan. Peraturan yang ditetapkan oleh KTM ini dengan mudahnya dicabar oleh sang penceroboh kerana peraturan yang termaktub sejak 2010 ini dilaksanakan tanpa hukuman. Sejak 2010 lagi pencerobohan telah berlaku dan berlanjutan sehingga kini tanpa apa-apa hukuman dikenakan terhadap penceroboh. Walaupun ada usaha yang ingin dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini tetapi hanyalah sekadar kempen kesedaran dan operasi penguatkuasaan. Usaha ini tetap bertemu jalan buntu kerana risiko pencerobohan berulang adalah sangat tinggi kerana tiada hukuman dikenakan kepada sang penceroboh. Sudah menjadi adat manusia, undang-undang tanpa hukuman tidak mengundang rasa takut dalam diri manusia.

Realitinya kini, apabila sang penceroboh masuk ke dalam gerabak KTM yang sarat dengan lautan manusia, sukar para wanita untuk mengelakkan diri daripada diraba dan diganggu oleh lelaki ‘gila seks’. Maruah dan harga diri wanita terus diinjak-injak tanpa pembelaan. Masalah ini terus berulang memandangkan kelemahan penguatkuasaan dan tiada tindakan tegas terhadap sang penceroboh. Walaupun pelbagai kes telah dilaporkan dan disiarkan dalam akhbar tempatan, namun masalah ini sekadar menjadi masalah peribadi wanita yang menggunakan perkhidmatan KTM dan menjadi beban besar kepada KTM Komuter untuk memenuhi tuntutan pelanggan.

Oleh itu, timbul persoalan besar iaitu bagaimana sebenarnya untuk menyelesaikan masalah koc merah jambu dengan tuntas?

Tiada pihak yang paling bertanggungjawab dalam hal ini kecuali barisan pemerintahan negara. Negara wajar melindungi para wanita dan menyediakan pengangkutan awam yang selamat untuk setiap penumpang sama ada lelaki atau wanita. Negara tidak boleh memandang ringan terhadap isu yang terkait dengan maruah dan harga diri terutamanya harga diri seorang wanita. Kesalahan mencerobohi koc merah jambu haruslah dipandang serius oleh negara kerana para wanita tidak selamat dan terancam. Tindakan tegas harus diambil oleh negara terhadap kesalahan menceroboh dan kesalahan-kesalahan lain seperti meraba.

 

Abu Athiyah
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia