Kompas Najib usang berbanding Kompas Islam yang sebenar

Jadikan al-Quran sebagai kompas dalam kehidupan

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam di seluruh negara menyambut Nuzul Quran dengan satu tekad dan satu cita-cita iaitu untuk cemerlang sebagai satu ummah dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Perdana Menteri berkata, umat Islam di negara ini perlu merujuk kepada al-Quran sebagai kompas dalam kehidupan untuk meningkatkan takwa dan sebagai panduan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
“Kitab suci al-Quran merupakan sumber terhebat ilmu dan pembangunan bangsa untuk meningkatkan ummah sebagai Khaira’ Ummah iaitu manusia paling cemerlang dalam sebuah kehidupan harmoni dan mampu menerajui negara di bawah gagasan 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian dalam perutusan sempena Nuzul Quran yang disiarkan dalam laman web www.1malaysia.com.my hari ini.

Tambah Perdana Menteri, kepentingan budaya ilmu dan pendidikan melalui al-Quran menunjukkan Islam mengutamakan pembangunan dan menghargai pengetahuan.

“Ia telah mewujudkan semua tamadun yang hebat dan mencipta kesan tidak ternilai dalam pendidikan dan pembangunan dunia dalam semua aspek kemanusiaan.

“Sumbangan Islam dalam bidang intelektualisme menyerlah dengan hebat sekali melalui kemunculan cendekiawan Islam dan ramai pakar-pakar yang diiktiraf dunia,” jelasnya.

Tambah Perdana Menteri, masyarakat Islam perlu terus berusaha dengan sebaik mungkin untuk membudayakan ajaran al-Quran, berilmu dan mengkajinya secara inovatif supaya dapat memahami keseluruhan kitab suci berkenaan dan mengamalkan ajarannya secara holistik.

“Para ulama, ahli akademik dan saintis perlu memulakan usaha ini demi kebaikan masyarakat Islam.
“Umat Islam kini berdepan pelbagai cabaran baru dan isu yang memberi kesan kepada Islam, syariah, perundangan, perubatan, ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya.

Jelas Najib, budaya berteraskan ilmu merupakan salah satu aspirasi gagasan 1Malaysia dan ia merupakan satu nilai yang penting dalam kehidupan manusia.

“Seperti mana ayat terawal diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang dirujuk sebagai sumber dan pendekatan dalam menuntut ilmu iaitu firman Allah dalam ayat pertama Surah Al-Alaq yang berbunyi: Bacalah,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kitab suci al-Quran juga merupakan panduan kepada manusia untuk berbaik-baik sesama sendiri, mengutamakan semangat kebersamaan dan menjalin silaturahim.

“Turunnya al-Quran bukan hanya untuk mendidik manusia mengenai ibadah tertentu seperti solat dan puasa sahaja.

“Oleh itu dalam konteks masyarakat pelbagai etnik dan agama di Malaysia, saya percaya majoriti masyarakatnya mengutamakan perpaduan, keamanan dan keharmonian selain menerima keunikan setiap komuniti,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, sambutan Nuzul Quran akan memberi kesan positif ke atas kemakmuran rakyat dan mengukuhkan perpaduan sesama masyarakat.

Sumber: Utusan Malaysia 7/9/2009

Ulasan:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu lakukan” (TMQ al-Baqarah [2] : 85)

Seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak agar menjadikan al-Quran sebagai kompas dalam kehidupan merupakan suatu yang wajar diamalkan oleh setiap umat Islam. Namun, sejauh manakah beliau benar-benar komited dan mengamalkan seruan beliau sendiri? Sejauh manakah beliau benar-benar menjadikan al-Quran sebagai kompas kehidupan, khasnya dalam menjalankan amanah yang terbeban di bahu beliau? Benarkah beliau beramal sepenuhnya serta menjadikan al-Quran sebagai kompas dalam kehidupannya, khasnya sebagai seorang pemimpin? Tatkala peminum arak ingin dihukum, pihak pemerintah pula menangguhkannya. Kononnya kerana negara “tidak mempunyai kepakaran” dalam menjalankan hukuman tersebut… Inikah ‘negara Islam contoh’ yang selama ini dicanangkan di seluruh pelusuk dunia?

Tidakkah Najib dan barisan kabinetnya faham ayat-ayat ancaman bagi mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah? Adakah beliau terlupa dengan firman Allah:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (TMQ al-Maidah [5]: 44)

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. (TMQ al-Maidah [5]: 45)


وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (TMQ al-Maidah [5]: 47)

Di mana hudud Allah? Di mana jizyah? Di mana takzir? Ke mana perginya majlis syura? Mengapa pula hukum manusia yang diambil dan hukum Allah diketepikan? Apakah Islam membenarkan wujudnya mahkamah sivil dan mahkamah syariah? Benarkah demokrasi itu sejajar dengan tuntutan syarak yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah? Syariah Islam diketepikan, buah tangan Lord Reid dijulang tinggi. Benarkah al-Quran dijadikan kompas dalam kehidupan??

Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk mengatur ibadah tertentu semata-mata. Bahkan al-Quran, beserta dengan as-Sunnah, diturunkan bagi mengatur segenap aspek kehidupan manusia baik dari sudut ibadah, peradilan, muamalah dan juga pemerintahan. Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh penguasa yang memikul amanah dalam kepimpinan. Takutlah kepada azab yang menanti mereka yang enggan menerapkan serta beramal dengan apa yang diperintahkan Allah, khasnya kepada pemimpin kaum Muslimin kerana kalian akan dibangkitkan di mahkamah Allah kelak dan kalian akan ditanya tentang amanah yang terbeban di bahu kalian. Sedarlah…

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan”. (TMQ as-Saff [61]: 2-3)