Kompromi prinsip asas bukan ajaran Islam
Berita:
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau terpaksa menyesuaikan pemikirannya dengan aliran sosialisme dan liberalisme dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, dalam keadaan tertentu, kerajaan berdepan kesukaran untuk membuat keputusan kerana perlu mengambil kira pandangan keempat-empat parti dalam PH.
Sumber berita: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/489150/saya-perlu-sesuaikan-dengan-aliran-sosialisme-liberalisme-dr-mahathir
Komentar:
Kewujudan pelbagai aliran pemikiran merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan. Keragaman sikap manusia manusia amat bergantung kepada pemikiran yang ada pada diri mereka. Selagi manusia memanfaatkan potensi akal mereka, selagi itulah pelbagai bentuk aliran pemikiran wujud. Di Malaysia, pemikiran sosialisme dan liberalisme bukanlah sesuatu yang asing malah telah bertapak lama dalam kalangan para pemikir mahupun ahli politik. Memang menjadi satu cabaran besar bagi seorang pemerintah untuk menghadapi kepelbagaian pemikiran yang wujud dalam sebuah negara yang dipimpinnya. Kegagalan dalam mengendalikan kepelbagaian ini mampu membawa kepada kehancuran terhadap pakatan yang dibina. Justeru bagi memastikan kelangsungan pakatan politiknya, Tun Dr. Mahathir mengakui beliau terpaksa akur dengan aliran pemikiran sosialisme dan liberalisme yang wujud dalam Pakatan Harapan (PH).
Berbekalkan pengalaman yang luas dalam selok-belok pemerintahan, apatah lagi sebagai pemimpin yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya, Tun Dr Mahathir sepatutnya menyesuaikan situasi yang ada dengan pemikiran Islam. Apa jua bentuk pemikiran yang bersandarkan akal manusia semata-mata seperti aliran pemikiran sosialisme dan liberalisme perlulah ditundukkan dengan pemikiran daripada bimbingan wahyu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah Rasul-Nya. Malangnya Tun Dr Mahathir memilih jalan kompromi dengan aliran pemikiran yang asasnya memang sudah bertentangan dengan akidah Islam. Kesempatan yang ada sepatutnya digunakan sebaiknya untuk meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dan dihormati bukannya ditundukkan sehingga terpaksa akur seolah-olah menampakkan ketidaksempurnaan Islam itu sendiri.
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
“Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri” [TMQ an Nahl (16): 89]
Islam sebagai sebuah Deen (cara hidup) yang lengkap bagi manusia sudah cukup untuk dijadikan sebagai pedoman dalam kehidupan tanpa memerlukan bantuan daripada aliran pemikiran manusia yang sememangnya bersifat lemah dan terbatas. Islam ialah agama wahyu yang menawarkan penyelesaian terhadap setiap permasalahan yang dihadapi manusia daripada urusan individu, pengaturan masyarakat sehinggalah bernegara. Allah SWT sebagai zat yang menciptakan manusia sudah pasti Maha Tahu mana yang lebih sesuai untuk makhluk ciptaanNya. Kuasa pemerintahan yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada Tun pada ketika ini sudah cukup kuat untuk membuatkan beliau menawarkan rakan-rakan pakatannya dengan tegas agar kembali kepada kehidupan Islam yang sempurna. Justeru sosialisme dan liberalismelah yang perlu ditundukkan dengan Islam, bahkan wajib dibanteras dan dihapuskan pengaruhnya dalam kehidupan di negara ini.
Sesungguhnya pemikiran sosialisme mahupun liberalisme yang lahir daripada pemikiran manusia ini tidak akan mampu memberi penyelesaian sebenar dalam kehidupan dan terbukti telah mendatangkan pelbagai kerosakan di atas muka bumi. Setiap perkara yang diperselisihkan wajib dikembalikan kepada neraca syarak. Inilah penyelesaian sebenar yang akan membawa kebaikan buat sekalian ‘alam.
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
“Kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” [TMQ an-Nisa (4): 59]
Khamis Satiman
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia