‘Konferens Kebangkitan Khilafah 2011’ Dapat Sambutan Luar Jangkaan

BANGI 26 Jun – Konferens Kebangkitan Khilafah 2011 anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan Khilafah Centre (KC) hari ini telah berjaya menarik lebih kurang 800 orang peserta. Auditorium Abu Zarim, Integrated Learning Solution (ILSAS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang hanya dapat menampung tidak lebih dari 600 tempat duduk, penuh sesak dengan orang ramai sehingga ada yang terpaksa berdiri di belakang dan juga ditangga-tangga. Setelah tidak ada ruang kosong di dalam auditorium, pihak penganjur menyediakan layar di luar dewan bagi membolehkan lebih seratus hadhirin yang terpaksa berada di luar, menyaksikan perjalanan konferens.
Peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional, pemimpin politik, badan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik, pelajar-pelajar, imam dan AJK masjid/surau, pemimpin masyarakat serta ulama hadhir pada konferens yang dianjurkan oleh HTM sempena Rajab ini, yang merupakan bulan di mana Daulah Khilafah dihancurkan lebih kurang 90 tahun yang lalu, tepatnya pada 28 Rajab 1342H.

Konferens yang sepatutnya diadakan di Dewan Bakawali, Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini terpaksa dipindahkan di saat-saat akhir ke ILSAS setelah pihak UKM membatalkan tempahan secara tidak profesional dikatakan kerana tekanan dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga pihak polis dari cawangan khas.

Namun Alhamdulillah, walaupun terpaksa bertungkus lumus mendapatkan tempat baru, dengan izin Allah SWT, konferens ini berjaya diadakan dan berjalan dengan lancar di ILSAS. Sebahagian besar dari peserta yang telah hadir ke Puri Pujangga pada sebelah paginya menyuarakan rasa tidak puas hati dan bantahan mereka kepada UKM kerana sikap tidak bertanggungjawab UKM membatalkan program keislaman seperti ini di saat-saat akhir. Kebanyakan mereka bertindak demikian kerana ingin meluahkan kekecewaan kerana datang dari jauh seperti Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah dan Perlis semata-mata untuk menyaksikan konferens tersebut. Apa yang mengharukan ialah, walaupun mengalami kesulitan disebabkan perubahan tempat,kesemua peserta tetap tidak mahu melepaskan peluang dan terus bergegas menaiki kenderaan masing-masing ke tempat baru setelah diberi notis oleh para petugas HTM yang berada di Puri Pujangga.

Konferens kali ini telah diselang-seli dengan ucapan dari anggota HTM dan juga penceramah jemputan dari dalam dan luar negara. Antara penceramah jemputan dari dalam negara ialah Ir. Mohd Jawahir Sulaiman (seorang aktivis Islam dan ahli perniagaan profesional dari Shah Alam), Ust Mohd Kasim Mohd Tahir (Pengerusi Lembaga Penyelaras Kuliah Pengajian Islam Seremban yang juga merupakan bekas ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan), Sdr Jabaruddeen (pimpinan Gabungan Siswa Siswi Intelektual Muslim, GASIM), Ust Umar Saad (Imam dan penceramah bebas di sekitar Selangor) dan Ust Mohd Zaki Aziz (Imam Surau Jalan San Peng, Kuala Lumpur, seorang yang cacat penglihatan).

Manakala penceramah jemputan dari luar negara ialah Sdr Rasyid Ansari, seorang aktivis Islam dari Bangladesh, Sdr Vigan, seorang pemuda dan aktivis Islam dari Albania, Sdr Usamah Abdullah dan Lutfi Abdullah yang kedua-duanya dari Timur Tengah.

Kesemua penceramah jemputan menyuarakan sokongan mereka kepada perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk menegakkan Khilafah dan menyeru umat Islam agar bersama-sama di dalam perjuangan mulia ini demi menyatukan kaum Muslimin dan menerapkan hukum Allah secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah.

Ahli panel dari HTM pada konferens kali ini ialah Ust Ridhuan Hakim (AJK Pusat HTM), Ust Umar Hussein (Timbalan Presiden HTM), Nek Ngah, Ustzh Aisyah Rahmat (ketua Muslimah HTM) dan Ust Abdul Hakim Othman (Presiden HTM). Ramai yang menitiskan air mata semasa Nek Ngah, seorang nenek kepada 19 orang cucu, berucap di mana beliau menerangkan bahawa umat Islam selama ini sudah lama hidup menderita dan tertindas di bawah sistem demokrasi ciptaan Barat dan beliau menyeru kepada para hadhirin agar bersama-sama menggantikan sistem demokrasi kufur ini kepada sistem Islam di bawah Negara Khilafah.

Para pemidato dalam Konferens ini telah berjaya menaikkan semangat peserta yang berulang kali melaungkan takbir sepanjang berlangsungnya konferens. Menariknya, konferens ini juga turut dihadiri oleh non-Muslim yang ingin mendapatkan gambaran lebih dekat tentang perjuangan Hizbut Tahrir menegakkan semula Khilafah.

Konferens yang bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 2 petang ini turut diselangi dengan rakaman video daripada jurucakap Hizbut Tahrir dari beberapa buah negara iaitu Ust Ismail Yusanto dari HT Indonesia, Uthman Badar dari HT Australia, Chadi Freigeh dari HT Scandinavia, Abu Khalil dari HT Sudan, Ahmad Al-Qasas dari HT Lebanon, Taji Mustafa dari HT United Kingdom dan terkahir, Syeikh Issam Ameera dari HT Palestin.

Dalam ucapan ringkas mereka yang ditujukan khas kepada umat Islam di Malaysia, mereka menyentuh mengenai kebangkitan umat Islam di seluruh dunia menentang pelaksanaan hukum taghut ciptaan manusia, penyelewengan dan kejahatan pemerintah kaum Muslimin serta persekongkolan mereka dengan kuffar Barat. Kesemua jurucakap Hizbut Tahrir ini menyeru dan amat mengharapkan agar umat Islam di Malaysia turut sama bergabung dalam usaha Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk mendirikan Khilafah.

HTM mengharapkan agar Konferens Kebangkitan Khilafah 2011 ini dapat menjadi momentum dan benar-benar akan dapat membangkitkan umat Islam dengan usaha-usaha untuk menegakkan Khilafah bagi menggantikan sistem Kapitalisme sekular yang mencengkam umat Islam sekarang. HTM dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khairan kepada semua petugas, penceramah jemputan dan hadhirin-hadhirat yang telah menjayakan konferens ini.