Konflik Penyelesaian Kes Penghina Nabi

Penghinaan terhadap Rasulullah ﷺ merupakan isu yang dapat dikatakan terjadi secara berulang-ulang. Sejak akhir-akhir ini, isu penghinaan ini kembali timbul apabila ia dilakukan oleh segelintir rakyat Malaysia sendiri. Penghinaan ke atas Rasulullah ﷺ sedemikian rupa sengaja dipertontonkan di media sosial, yang akhirnya menuai kemarahan umat Islam. Antara isu yang menjadi pilihan si penghina tersebut ialah berkenaan dengan pernikahan Baginda ﷺ dengan Aisyah r.a. Penghinaan ke atas Nabi ﷺ seperti ini, sekiranya diatur kronologi kejadianya yang dilakukan oleh orang kafir seluruh dunia, maka tentu tidak akan terkira banyaknya. Era media sosial memudahkan capaian maklumat dan penyebaran sebarang bentuk berita. Oleh itu, penanganan masalah ini perlu di atasi dan diambil tindakan dengan cepat, sebagaimana cepatnya penghinaan yang ditimbulkan.

Terdapat dua perkara yang perlu dilihat dalam kes penghinaan Nabi ﷺ di Malaysia ini. Pertama, ia terjadi dalam sebuah negara yang dinilai sebagai “negara Islam” dan yang keduanya, tertuduh yang didapati bersalah akan dihukum di bawah peruntukan Kanun Keseksaan yang “tidak berdasarkan Islam”. Walaupun dikatakan bahawa Malaysia sebuah “negara Islam”, tetapi peruntukan undang-undang yang dijalankan terhadap warganegaranya seolah menafikan hal tersebut. Salah satunya berkenaan Kanun Keseksaan yang wujud sekarang. Seksyen 298A cuma memperuntukkan hukuman minimum dua tahun penjara dan maksimum lima tahun (lihat Laws of Malaysia, Act 574 Penal Code). Walhal, sebagai sebuah negara yang diakui “negara Islam” sepatutnya memperuntukkan undang-undang berdasarkan syariat Islam, bukan yang selainnya. Persoalannya, bagaimana peruntukan dalam syariat Islam bagi kesalahan menghina Nabi ﷺ?

Secara faktanya, kes ini dilakukan warganegara yang bukan beragama Islam. Jika di dalam Daulah Islam, warganegara kafir terikat perjanjian dengan Daulah serta akan dilindungi darah dan hartanya. Mereka mempunyai akad zimmah dan digelar sebagai kafir zimmi. Sekiranya penghinaan terhadap Rasulullah ﷺ sengaja dilakukan, perjanjian mereka dengan Daulah automatik akan terbatal dan pelakunya dihukum mati kecuali menurut sebahagian fuqaha sekiranya mereka memeluk Islam. Namun, keputusan tetap tersebut berada di tangan Khalifah, sesuai penilaiannya (Al-Waie, Januari 2013). Bandingkan dengan Seksyen 298A (1) (a) sebagai contoh yang diguna pakai ketika ini, sememangnya jauh daripada apa yang diharapkan menurut hukum Islam.

Dalam sejarah, antara kisah yang terkenal ialah operasi menghukum pemimpin Yahudi bernama Ka’ab al-Asyraf. Ka’ab telah menghina Allah dan RasulNya. Ketika berita kekalahan kaum musyrikin Quraisy kepada pasukan Islam dalam perang Badar sampai ke telinganya, maka Ka’ab berkata: “Jika khabar ini benar, maka berada di perut bumi lebih baik bagi kami daripada di atas permukaannya”. Apa yang dia maksudkan ialah lebih baik dirinya mati daripada hidup setelah kekalahan kaum Quraisy. Kemudian, Ka’ab bin Al-Asyraf membuat syair-syair ratapan atas kekalahan kaum musyrikin tersebut, dan dipersembahkan kepada para musyrikin Quraisy. Dalam syair-syairnya terdapat penghinaan terhadap Nabi ﷺ dan kaum Muslimin. Sebahagian syairnya juga merendahkan para Muslimah sepulangnya ke Madinah (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, 2/13). Perkara itu sampai ke pengetahuan Rasulullah ﷺ lalu Baginda ﷺ  segera bertindak sepertimana tercantum dalam mafhum hadis di bawah;

Diriwayatkan daripada Jabir r.a, ia berkata: Rasulullah bertanya kepada para Sahabatnya: “Siapakah yang bersedia untuk membunuh Ka’ab bin Al Asyraf? Kerana dia telah menyakiti/menghina Allah dan Rasul-Nya.” Maka Muhammad bin Maslamah menjawab: “Wahai Rasulullah, adakah kamu setuju jika aku yang membunuhnya?” Baginda menjawab: “Ya.” Kemudian dia (Muhammad bin Maslamah) berkata: “Izinkanlah aku terlebih dahulu untuk memberitahu sesuatu kepadamu.” Baginda pun menjawab: “Katakanlah!” Maka dia pun mendekati Baginda dan membincangkan sesuatu. Kemudian Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya Ka’ab pernah berhasrat mengeluarkan sedekah, akan tetapi dia menyusahkan kami.” Setelah mendengar kata-kata Baginda , dia (Muhammad bin Maslamah) begitu marah sekali. Lalu dia berjanji akan membalas perbuatan (Ka’ab bin Al Asyraf) itu. Kebetulan pada ketika itu dia begitu akrab dengan Ka’ab. Suatu hari dia menemui Ka’ab dan berkata: “Aku ingin kamu memberikan kepadaku suatu bentuk pinjaman.” Lalu Ka’ab bertanya: “Jadi apa yang akan kamu gadaikan kepadaku?” Dia menjawab: “Apa yang kamu inginkan?” Ka’ab menjawab: “Aku ingin kamu gadaikan kepadaku perempuan-perempuanmu itu.” Kemudian dia (Muhammad bin Maslamah) menjawab: “Kamu adalah bangsawan Arab, jadi adakah patut aku menggadaikan perempuan-perempuanku kepada kamu?” Lalu Ka’ab berkata kepadanya: “Kalau begitu, kamu gadaikanlah anak-anakmu kepadaku.” Maka dia berkata: “Aku tidak mungkin menggadaikannya kepadamu, sekiranya aku menggadaikannya kepadamu kami pula akan dicela kerana seolah-olah menggadai dua wasak tamar sahaja (satu wasak sama dengan enam puluh gantang). Oleh sebab itu aku gadaikan senjataku kepadamu.” Lalu Ka’ab berkata: “Baiklah, aku setuju.” Lalu dia berjanji kepada Ka’ab bahwa dia akan datang menemuinya dengan ditemani oleh al-Haris, Abu Abas bin Jabir dan Abbad bin Bisyri. Setelah itu mereka berempat pergi menemui Ka’ab pada waktu malam, lalu Ka’ab turun menemui mereka. Menurut kata Sufian, pada pendapat lain menurut kata Amru bahwa isteri Ka’ab telah berkata kepada suaminya itu: “Sesungguhnya aku seperti mendengar suara orang yang ingin menumpahkan darah.” Setelah mendengar kata-kata isterinya itu, lalu Ka’ab berkata: “Tidak. Mereka hanyalah Muhammad bin Maslamah bersama saudara susuannya dan ditemani Abu Nailah. Sebagai memuliakan tetamu, aku harus menemani mereka walaupun pada waktu malam begini.” Ketika Ka’ab masih di rumahnya itulah Muhammad (bin Maslamah) menggunakan kesempatan tersebut untuk mengatur rancangan seterusnya. Sesaat kemudian Ka’ab pun keluar, setelah dia ditanya oleh mereka: “Aku seperti mencium bau harum pada dirimu.” Ka’ab menjawab: “Memang, kerana isteriku seorang perempuan Arab yang suka bersolek.” Setelah itu Muhammad bin Maslamah berkata kepada Ka’ab: “Izinkan aku mencium bau harum pada dirimu.” Ka’ab berkata: “Silakan.” Maka dia pun menciumnya, kemudian dia meminta untuk menciumnya sekali lagi dengan berkata: “Kalau boleh, aku ingin menciumnya sekali lagi.” Lalu Ka’ab menghulurkan kepalanya, dan ketika itulah dia mengarahkan kawan-kawannya agar membunuh Ka’ab, maka mereka pun membunuhnya (Muttafaq ‘alaih).

Begitulah pengakhiran nasib Ka’ab yang menjadi orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Ka’ab al-Asyraf termasuk orang yang mempunyai perjanjian dengan Rasulullah . Perjanjiannya terbatal dan nasibnya sebagai penghina Rasulullah berakhir dengan hukuman mati mandatori yang diperintahkan sendiri oleh Baginda .

Cacamarba Undang-Undang “Negara Islam” Malaysia

Perkara awal yang perlu ditekankan dalam sebuah negara Islam, warganegara bukan Islam diikat dengan kontrak sehingga layak dipanggil kafir zimmi. Akad zimmah menjadi sempurna dengan dua perkara iaitu pembayaran jizyah dan penerapan undang-undang yang sama ke atas mereka sepertimana kaum Muslimin, iaitu undang-undang Islam (Al-Jihad wa al-Qital fi Siyasah al-Syariyyah,1/208). Dalam konteks negara kita hari ini, pembayaran jizyah tidak dikutip daripada orang bukan Islam apatah lagi penerapan undang-undang Islam terhadap mereka. Kedudukan mereka dan warganegara Muslim yang lain ialah kewarganegaraan dalam negara-bangsa, sehingga konsep kewarganegaraaan yang berteraskan Islam tidak wujud. Sudahnya, non-Muslim terpaksa dilabel sebagai kafir muwathin yang tidak pernah wujud dalam khazanah keilmuan Islam. Kesan istilah ini dari sudut kehakiman Islam sendiri tidak jelas memandangkan dasar kemunculannya ialah konsep negara-bangsa, tidak ada kena mengena dengan konsep negara Islam. Ini sahaja akan menyukarkan keadilan hukum dalam membela Rasulullah ﷺ yang kita cintai.

Selain itu, dilema pemerintah dan sistem yang diterapkan di negara ini. Tidak dinafikan, tanah yang dipanggil Malaysia ini ialah biladul Muslimin iaitu tanah umat Islam. Kuasa pemerintahannya berada pada tangan orang-orang Islam, setidaknya secara majoriti. Kedudukan sedemikian menjadikan taklif (tanggungjawab hukum) kepada mereka sebagai penguasa atau pemerintah untuk menegakkan hukum Islam. Mereka merupakan Muslim dan berada pada posisi pemerintah. Masalahnya, status sahnya hukum Islam untuk mereka laksanakan akan menjadi bermasalah kerana sistem yang diterapkan oleh negara tidak selari dengan keIslaman para pemerintah ini, bahkan saling bertentangan. Sistemnya jika dinilai secara ideologi ialah sekular-kapitalis, sehingga agama tidak mendapat tempat dalam peraturan hidup bernegara secara total. Sistem uqubat (kehakiman) yang berjalan ialah kehakiman sivil berdasarkan akta yang diluluskan di Parlimen oleh akal-akal manusia, berpandukan perlembagaan yang telah di‘berikan’ oleh Lord Reid dan kelompoknya. Kemudian, diwujudkan pula sistem kehakiman syariah dengan kuasa lebih kecil untuk jenayah tertentu bahkan bukan itu sahaja, peruntukan hukuman yang diberikan juga bermasalah dari sudut syariah. Kesudahannya, walaupun mahu menegakkan agama secara undang-undang, tetapi undang-undangnya sendiri tidak patuh agama.

Di samping itu, kesungguhan untuk menegakkan agama dalam bentuk negara itu sendiri jika tidak dinilai kosong, namun amat sedikit dalam kalangan politikus atau pemegang tampuk kekuasaan ketika ini. Pemerintah bahkan cenderung berpuas hati pada perkara yang bersifat nilai tambah berbanding nilai utama dan perkara tersebut pula dijadikan indikasi keIslaman negara. Contohnya tentang tumpuan kepada kewangan Islam berbanding dengan sistem ekonomi Islam itu sendiri. Begitu juga isu maqasid yang banyak mengaburi tindakan-tindakan tidak bijak dan sebenarnya menyalahi syariat. Keinginannya untuk memenuhi konsep keadilan, kebajikan, integrity tetapi tatacaranya bersimpang siur dan bercampur dengan konsep-konsep Barat dan asing, sehingga yang kelihatan ialah keutamaan agama diketepikan semata untuk menggenggam konsep yang dianggap lebih universal dengan label kemanusiaan. Pihak yang ingin berpegang teguh dengan Islam secara keseluruhan ajaran yang terkandung dalamnya akan dilihat radikal, tidak progresif, fundamentalis sedangkan mereka memilih konsep moderat yang kononnya lebih mengikuti zaman.

Hak Asasi, Kebebasan Dan Orientalisme

Dalam sebuah negara Islam, secara umumnya tidak ada halangan untuk memberikan pendapat namun ia wajib terikat dengan syariat. Hak untuk berpendapat dan bersuara, meliputi Muslim dan bukan Muslim mestilah di bawah peruntukan undang-undang Islam bukannya mengikut idea kebebasan atau hak asasi. Disebabkan trend ideologi semasa ketika ini lahir daripada idea sekular-liberal, hak bersuara dan kebebasan dibudayakan dan perlu dilindungi undang-undang. Maka tidak menghairankan apabila golongan kafir mempercayai bahawa kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang perlu dialu-alukan supaya tidak membantutkan perkembangan, kemajuan dan sikap kritis. Mereka melihat agama sebagai salah satu juzuk dalam hidup sesuai dengan prinsip sekularisme yang perlu ditempatkan pada sudut peribadi semata-mata. Kebebasan bersuara juga akhirnya membenarkan kebebasan pada suara kebencian. Berdasarkan hal itu, mencela, mengejek dan menghina Allah, Islam, para Nabi, dan lain-lain dikira tidak bermasalah, selagi ruang tindakannya pada lisan atau tulisan, bukan tindakan fizikal dan kekerasan. Perkara sedemikian menyebabkan bencana dalam kehidupan umat Islam.

Memang perlu dibezakan antara ucapan benci dan ketidaksukaan orang kafir dengan ucapan provokasi, hinaan dan ejekan. Orang-orang kafir sudah pasti tidak suka dengan Islam, tidak beriman pada wahyu, tidak beriman pada kebenaran Rasulullah ﷺ sebagai utusan terakhir dan lain-lain tentang Islam. Mereka boleh sahaja berhujah tentang kepercayaan mereka, sebagaimana ucapan-ucapan golongan Yahudi dan Kristian Najran di Madinah. Walau bagaimanapun, kejadian terkini dan kejadian-kejadian sebelumnya yang mencetuskan ketegangan sangat jelas kelihatan unsur penghinaan dan provokasi terhadap Islam. Mereka telah menjadikan kajian-kajian para orientalis sebagai modal satira dan ejekan. Agama ibarat barang mainan. Ideologi sekular-liberal menjadi justifikasinya dengan titik kebebasan.

Di sisi lain, modal yang mereka ambil daripada kritikan para orientalis terhadap Islam perlu dilawan dengan hujah. Gerakan missionaris dan orientalis sangat terkait rapat dalam kejatuhan tamadun Islam dan kekuasaannya. Mereka bergerak dengan cara ghazwul fikr (perang pemikiran) sehingga berkembangnya pemikiran-pemikiran ini seiring penerapan ideologi sekular-liberal merupakan kesempatan yang baik buat mereka. Antara serangan yang berleluasa ialah isu pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Saidatina Aisyah r.a. Dr Jonathan Brown menyebutkan bahawa persoalan umur pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Aisyah r.a tidak pernah menjadi permasalahan para pengkritik dan pembenci Islam sejak zaman Baginda ﷺ hinggalah abad ke-20. David Samuel Margoliouth antara yang mengetengahkan isu umur tersebut (lihat petikan kuliah Dr Jonathan Brown di https://www.youtube.com/watch?v=Lsh4VVTz7OY). Di dalam bukunya Mohammed and The Rise of Islam, Morgoliouth menunjukkan pernikahan tersebut sebagai “ill-assorted” memandangkan had dan jarak umur yang sangat ketara (D.S. Margoliouth, Mohammed and The Rise of Islam, 234). Margoliouth sendiri seorang orientalis dan pendeta Church of England. Cerita-cerita begini akan terus diulang-ulang sama ada untuk perbahasan ilmiah, dakyah, tulisan atau komik-komik satira yang menghina.

Menarik untuk diketengahkan tentang isu had umur dalam perkahwinan, tatkala kita berusaha menjawab secara ilmiah hujah dan tundingan jahat para orientalis ini, cendekiawan di Malaysia pula turut terlibat menggagas sesuatu yang kontra produktif dalam membela Rasulullah ﷺ. Had umur pernikahan cuba digazetkan di bawah undang-undang tanpa melalui pengkajian yang lurus terhadap ketetapan syariat. Hasilnya, apa yang cuba dipinda ialah nilai umur, sehingga sekiranya ia di bawah nilai tertentu maka dikira bawah umur, tidak layak bernikah, menyalahi hak kehidupan fizikal dan kemanusiaan bagi gadis atau remaja. Semua ini sekaligus menafikan pembahasan tentang syarat sebenar kelayakan biologi pihak yang mahu bernikah. Setidaknya, hal ini juga modal pertuduhan terhadap kekasih kita Rasulullah ﷺ.

Kekuasaan Islam

Tidak ada jalan yang lebih berkesan kecuali kembalinya kekuasaan Islam dalam tampuk pemerintahan. Bukan sekadar menempatkan orang Islam pada jawatan penguasa atau pemerintah. Bukan juga sekadar dakwaan kerana pemilikan tanah air. Islam itu semestinya bersifat dominan secara ideologi dan autoriti. Inilah contoh kekuasaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ sebagai ketua negara yang menerapkan syariat secara menyeluruh. Lalu setelah Baginda ﷺ wafat, ia diteruskan oleh Khalifah untuk mengatur umat manusia mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dengan demikian, barulah label negara Islam benar-benar terzahir dan absah.

          Khalifah akan bertindak sebagai perisai bagi umat Islam, baik dari sudut fizikal mahupun intelektual. Sabda Rasulullah ﷺ:

إنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ، وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ

“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu (laksana) perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya. Jika seorang imam (Khalifah) memerintahkan supaya takwa kepada Allah ’azza wajalla dan berlaku adil, maka dia (khalifah) mendapatkan pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka ia akan mendapatkan seksa” [HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad].

Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebutkan, “(Imam itu perisai) yakni seperti as-sitr (pelindung), kerana imam (khalifah) menghalang/mencegah musuh dari menyerang kaum Muslimin, mencegah dari berlakunya pertelingkahan antara manusia, memelihara kemurnian ajaran Islam dan manusia berlindung di belakangnya dan mereka tunduk di bawah kekuasaannya.”

          Dengan kewajipan tersebut, ketua negara wajib bertindak mengikuti apa yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Sebarang bentuk penghinaan baik daripada kafir zimmi atau daripada kafir harbi sekalipun akan diambil tindakan. Pendek kata, negara benar-benar melakukan aksi nyata sebagai sebuah negara Islam, mencegah dan mengambil tindakan terhadap anasir yang membahayakan Islam dan umatnya. Tidak akan berlaku konflik apakah perlu dihukum dengan hukuman sivil atau undang-undang syariah kerana semua sistemnya berdasarkan Islam. Begitu juga masalah hukuman berdasarkan sifat kewarganegaraan lebih jelas. Hukuman pemerintah terhadap para penghina Islam insyaallah akan menjadi balasan dan sekaligus amaran keras. Semua atas matlamat meraih redha Allah. Wallahu A’lam.

Budiman Abu Miqdad
Lajnah Tsaqafiyah HTM