Konsep 1Malaysia bertunjang kepada Perlembagaan Negara – Ibrahim Ali
Sumber: Bernama 12/06/09
Ada Apa Pada Ibrahim Ali?
Ibrahim Ali nampaknya sekali lagi ingin terus menjagi hero dalam percaturan politik negara pada hari ini. Setelah beliau mendapat ehsan dari PAS dalam pilihanraya ke-12 yang lepas nampaknya tindak-tanduknya kini lebih condong mengarah kepada UMNO. Mungkin kini UMNO lebih dapat memberi manfaat kepada dirinya berbanding dengan PAS. Inilah namanya ahli politik yang pragmatik. Kanan pun sapu kiri pun kebas tetapi yang utamanya aku akan puas dan bebas. Mungkin teguran dan muhasabah ini diharap akan menjadikan beliau lebih berprinsip di dalam perjuangan politik selepas daripada ini.
Masyarakat akan menilai seseorang ahli politik berdasarkan amalan dan sikap serta prinsip perjuangannya bukan sekadar pidato yang berapi-rapi. Renungilah prinsip yang dipegang oleh Rasulullah SAW di dalam perjuangannya untuk menegakkan dan meng”izhar”kan Deen Allah SWT. Baginda telah menunjukkan kepada umatnya keteguhannya dalam berpegang kepada prinsip Islam yang agung. Di antaranya adalah seperti yang boleh dilihat dalam sebuah peristiwa:
“Melihat pengaruh Nabi Muhammad SAW yang semakin hebat, baginda ditawarkan 3 perkara yang menjadi idaman semua manusia (dari dulu hingga sekarang) iaitu harta, kuasa dan wanita. Tawaran tersebut diajukan oleh pembesar Quraisy melalui bapa saudaranya Abu Thalib. Namun baginda menolak semua itu dan dengan tegas berkata “Wahai bapa saudaraku! Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku menghentikan tugas ini, aku tidak akan berhenti sehingga perjuangan ini selesai dengan kemenangan atau aku gugur sebagai syahid” – akhirnya baginda menanggung seribu satu macam penderitaan dalam perjuangannya sebelum Allah memberi kemenangan.
Inilah prinsip perjuangan yang sepatutnya dijadikan landasan oleh setiap dari kita sebagai umat nabi Muhammad SAW yang telah diingatkan oleh Allah SWT dengan firmanNya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)“. [TMQ Al Ahzab (33) :21].
Untuk itu, jika Konsep 1Malaysia bertunjang kepada Perlembagaan Negara sebagaimana yang diperkatakan oleh Ibrahim Ali, maka apa yang lebih besar lagi, yang seharusnya diperhatikan, adalah apakah 1Malaysia ini selari dengan al-Quran dan As-Sunnah? Hanya mereka yang benar-benar mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya sahaja akan menjawab persoalan ini dengan sempurna..