Positif Kepada Kroni Tetapi Negatif Kepada Rakyat?

altPakej ransangan ekonomi nampakkan kesan positif
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pakej ransangan ekonomi kerajaan mula menampakkan kesan positif ke atas ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata.  Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 2.8 peratus dalam suku kedua berbanding 1.1 peratus peratus dalam suku pertama; 83,939 projek ditawarkan setakat kini di bawah pakej ransangan ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam kenyataan.— BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 21/9/09

Positif Kepada Kroni Tetapi Negatif Kepada Rakyat?

Nampaknya apa yang diperkatakan oleh Najib di atas menggambarkan seolah-olah apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menerapkan sistem ekonomi kapitalisme yang  ada pada hari ini adalah suatu langkah yang betul. Angka tersebut sudah tentu bertambah selepas kerajaan menyuntik pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM6.07 bilion pada November 2008 lalu dan seterusnya pakej kedua bernilai RM60.93 bilion pada Mac 2009 tahun ini.

Ya, Najib mungkin boleh berbangga dengan angka yang dipaparkan di atas. Inilah sistem ekonomi Kapitalisme yang sering melihat angka dan nombor sebagai ukuran kejayaan polisi ekonomi sesebuah negara. Apalah ertinya bilangan projek yang mencapai puluhan ribu yang sudah pasti menjadi rebutan di kalangan kroni para politikus kapitalis sedangkan dalam masa yang sama “basic needs” rakyat terus tidak dipenuhi. Ternyata masih ramai lagi rakyat yang tidak memiliki makanan, rumah dan pakaian yang sewajarnya. Begitu juga dengan kemudahan pendidikan, kesihatan dan keamanan yang kesemuanya merupakan keperluan asas kehidupan seorang manusia yang wajib dijamin untuk dipenuhi oleh negara.

Bagi Islam, kejayaan ekonomi bagi sesebuah negara itu diukur dari sejauh mana negara itu berjaya dalam memenuhi “basic needs” di atas. Dan yang lebih penting, memenuhi keperluan asas ini haruslah ditegakkan dengan sistem yang berteraskan Islam. Yang pastinya saat ini sistem ekonomi yang dijalankan oleh Najib masih terus kukuh berasaskan riba yang merupakan tunjang kehidupan kepada sistem ekonomi Kapitalisme. Bukankah Allah SWT mengistiharkan perang ke atas pengamal-pengamal riba?

Wahai Najib! Kamu berkewajiban menerapkan seluruh sistem Islam termasuklah sistem ekonominya yang dijamin oleh Allah SWT akan kesempurnaannya dalam menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh alam. Apa yang diperlukan oleh kamu saat ini adalah taqwa. Bukankah ibadah puasa yang baru sahaja kamu lalui itu sewajarnya menjadikan diri kamu sebagai hamba-hamba Allah SWT yang bertaqwa? Firman Allah SWT:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.  [TMQ Al-A’raaf (7) : 96].