Konvoi bermotosikal sempena kempen Rasulullah Negarawan Terulung

KUALA LUMPUR 24 Oktober – Kempen Rasulullah Negarawan Terulung oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) terus dirancakkan dengan penganjuran konvoi bermotosikal oleh para syabab (pemuda) di beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu kota.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan di setiap lokasi persinggahan konvoi termasuklah flashmob dan edaran risalah Sautun Nahdhah keluaran khas bersempena kempen ini.

Dalam masa yang sama, peserta konvoi turut berinteraksi dengan orang ramai yang berada di lokasi bagi menjelaskan tujuan kempen.

Orang ramai rata-ratanya memberi respons positif terhadap kempen yang mengandungi seruan agar umat Islam meneladani politik Rasulullah (saw) selaku seorang negarawan terulung.

Di samping itu, peserta turut mengibarkan al-liwa’ dan ar-ayah, iaitu bendera dan panji yang tertera kalimah tauhid yang menjadi simbol penyatuan ummah.

Hal ini sejajar dengan perjuangan HTM dalam menyatukan umat Islam seluruh dunia di bawah naungan Khilafah yang akan menerapkan syariah serta menyebarluaskan Islam ke segenap penjuru dunia.

Selain Kuala Lumpur, aktiviti kempen turut berjalan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sabah.

Kempen Rasulullah Negarawan Terulung berlangsung selama dua minggu bermula 12 Oktober dan akan berakhir pada 26 Oktober ini.

Semoga usaha yang kecil ini dapat meningkatkan kesedaran umat terhadap usaha memanifestasi kecintaan kita terhadap Rasulullah (saw) serta meneguhkan lagi iltizam kita ke arah meneladani baginda dalam segenap aspek kehidupan, khususnya politik. Aamiin ya Rabb al-Alamiin.