KPM hanya teruskan dasar lama, tidak ada kaitan dengan Islam pun

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memansuhkan aliran sains dan sastera di tingkatan 4 pada tahun 2020 telah mengundang pelbagai reaksi. Menariknya, terdapat segelintir pihak yang menyifatkan perubahan ini sebagai perubahan yang Islami kerana pemansuhan aliran dikatakan satu langkah ke arah membuang pengaruh sekular yang memisahkan sastera (aliran agama) dan sains. Mereka berhujah bahawa perkembangan ini mampu menghindari dasar sekularisme yang memisahkan agama dalam kehidupan daripada ditanamkan dalam diri para pelajar.

Jika dilihat melalui pemerhatian kasar, hujah di atas seolah-olah ada kebenarannya. Namun jika dicermati, sebenarnya segala pelan pendidikan negara telah diikat dengan dasar “60:40” iaitu 60% Sains dan 40% sastera. Dasar 60:40 mula diperkenalkan oleh kerajaan dalam Laporan Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi pada tahun 1967. Dasar ini dirangka bagi memenuhi keperluan negara berasaskan prinsip kapitalisme yang memerlukan tenaga kerja bagi memenuhi matlamat pencapaian ekonomi negara. Hal ini termaktub dalam pembentangan dasar pendidikan PPPM 2013 – 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM):

“Dasar ini bagi menjayakan matlamat dasar sains dan teknologi iaitu memastikan pembangunan saintifik bagi menyokong dan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, mempercepat pembangunan perindustrian secara menyeluruh dan menyediakan asas bagi mewujudkan masyarakat yang maju dari segi sains dan teknologi menjelang tahun 2020 untuk melahirkan lebih banyak para saintis, jurutera, doktor dan juruteknik yang berkepakaran tinggi bagi pembangunan pelbagai sektor ekonomi dan sosial, sejajar dengan pertambahan penduduk dan kualiti hidup masyarakat.”

Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sejak itu, namun dasar ini ternyata masih gagal mencapai sasarannya. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengesahkan bahawa jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) merosot saban tahun. Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Asia Bett dan Ekspo 2019 baru-baru ini. Hal ini turut dikongsi oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dengan menyifatkan sasaran untuk memenuhi nisbah 60:40 aliran sains dan sastera di sekolah masih jauh dari sasaran.

Realitinya, kewujudan 68 sekolah sains di seluruh negara belum mencukupi untuk menyediakan jumlah pelajar STEM bagi mencapai sasaran 60 peratus, berbanding pelajar aliran sastera dan sains sosial. Bagi membuka peluang yang lebih besar, pendekatan baharu telah dilaksanakan dengan mengutamakan pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) di sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Selain itu, antara pendekatan yang dicadangkan untuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM ialah mengintegrasikan aliran itu dengan pendidikan sastera atau ‘arts’ (STEAM), iaitu dengan menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar secara kreatif.

Atas dasar inilah sebenarnya pemansuhan aliran-aliran bagi tingkatan 4 diperkenalkan untuk dilaksanakan bermula tahun 2020. Dengan kata lain, pemansuhan aliran sains dan sastera hanyalah untuk meneruskan dasar lama yang dinilai oleh kerajaan kini belum mencapai tahap 60:40. Pemansuhan ini sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan hujah bahawa kerajaan ingin menghindari sekularisme dalam pendidikan negara seperti yang ditanggapi oleh segelintir pihak.

Mereka yang berpandangan sedemikian sebenarnya cuba meletakkan nilai-nilai Islam pada dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan, barangkali bertujuan untuk memperbaik imej kerajaan yang seringkali dilihat cenderung kepada kelompok liberal dan pihak yang membenci Islam. Namun ternyata jauh panggang dari api.

Apa yang kita perlu sedar ialah orientasi pendidikan sesebuah negara sesungguhnya tidak akan dapat dipisahkan dengan sistem pemerintahan yang diterapkan oleh negara tersebut. Sebuah negara komunis sudah pasti akan mengarahkan pelan atau orientasi pendidikannya ke arah komunisme. Mustahil bagi sebuah negara komunis untuk merancang silibus pendidikannya untuk selari dengan Islam.

Begitu juga dengan sebuah negara kapitalis yang sudah pasti tidak akan mengarahkan polisi pendidikannya ke arah Islam mahupun ke arah komunisme.

Jadi, begitulah dengan sebuah negara sekular seperti Malaysia yang sudah pasti orientasi pendidikannya juga bersifat sekular (memisahkan agama daripada kehidupan). Sistem pemerintahan yang berteraskan sekularisme akan membentuk polisi pendidikan ke arah usaha menitikberatkan penghasilan sumber tenaga kerja bagi bagi memenuhi aspirasi negara, iaitu dengan meletakkan pertumbuhan ekonomi bukannya pembentukan syakhsiyyah pelajar, sebagai matlamat utama pendidikan.

Polisi pendidikan dalam sebuah Negara Islam (Khilafah) ialah untuk melahirkan pelajar yang bersyaksiyyah Islam iaitu memiliki pola fikir dan pola sikap Islami. Pelajar yang terhasil daripada sistem pendidikan Islam bukan sahaja akan mempunyai kemahiran dalam bidang yang dipelajari, baik sains mahupun sastera, namun mereka juga akan keluar dari institusi pendidikan sebagai seorang ulama dan umara yang dipenuhi dengan tsaqafah Islam, yang akan memandu kejayaan mereka dunia dan akhirat.

 

Wan Hisham Wan Salleh
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia