Memadaikah Dengan Hanya Merotan?

BATU PAHAT 9 MEI – Hukuman rotan akan diperkenalkan semula ke atas pelajar yang didapati melanggar disiplin, terlibat dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah.Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Peguam Negara. Katanya, hukuman rotan itu juga jika diluluskan kelak, tidak
boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. Guru-guru yang hendak merotan pelajar, tegas beliau, perlu mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Peguam Negara. Langkah berhati-hati itu, katanya, untuk mengelak pihak sekolah atau guru disaman oleh ibu bapa. ‘‘Kita berharap cadangan yang telah dikemukakan kepada Peguam Negara itu mendapat maklum balas sebelum akhir tahun ini. Beliau berkata, walaupun sebelum ini majoriti ibu bapa menyokong agar hukuman merotan dikuatkuasakan semula namun ada beberapa pihak termasuk golongan peguam yang membantahnya. Ia adalah antara penyelesaian yang telah dicadangkan berhubung kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera Tongkang Pechah Batu Pahat cedera di lutut kiri selepas diserang dan dibelasah sekumpulan 12 pelajar ketika di dalam kelas, baru-baru ini.
[Mingguan Malaysia 10/05/09].
Kehidupan masyarakat yang berasaskan kepada prinsip kebebasan seolah-olah memberikan lesen kepada para remaja yang masih bersekolah untuk melakukan  apa sahaja yang mereka ingini. Disebabkan masih mentah di dalam kehidupan, kebanyakan mereka akan mencuba-cuba dan akhirnya ramai dari kalangan mereka yang terlibat dengan kegiatan yang bertentangan dengan Islam seperti kaki buli, samseng, pergaulan bebas, melepak, merempit dan sebagainya.

Sistem kufur yang melingkungi kehidupan kita pada hari ini telah menyebabkan budaya sedemikian terus subur kerana tidak ada undang-undang di dalam sistem sekular ini yang menghalang para remaja melepak dan bergaul-bebas antara lelaki dan perempuan. Jadi, bolehkah hukuman rotan ini menyelesaikan masalah sosial para pelajar sekiranya persekitaran di luar sekolah sentiasa merangsang dan mempengaruhi minda para pelajar setiap kali mereka melangkah ke sekolah?  Pihak sekolah mungkin boleh menutup segala ruang kejahatan yang ada di dalam kawasan sekolah, tetapi apabila para pelajar ini berada di luar sekolah, di dalam ruang lingkup masyarakat yang sekular, ruang kejahatan terbuka dengan seluas-luasnya. Hanya apabila Syariat Islam diterapkan, barulah ruang kejahatan yang luas ini akan dapat ditutup serapat-rapatnya.