KUNCI PERPADUAN ADALAH DENGAN ISLAM BUKAN MANFAAT

altTema perpaduan sentiasa menjadi tajuk utama apabila tiba sesuatu musim perayaan di Malaysia. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Hal ini merujuk kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin  semasa beliau menghadiri sambutan Rumah Terbuka Krismas 2011 yang lalu. Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu mengajak seluruh rakyat Malaysia mengukuh dan mempertahankan perpaduan antara kaum sebagai asas untuk kestabilan politik ke arah pembinaan negara maju pada masa depan.  Tambahnya lagi, tidak banyak negara di dunia yang terbina daripada kepelbagaian kaum, keturunan dan agama yang mencapai kejayaan luar biasa seperti yang dikecapi oleh Malaysia.

Menurut Muhyiddin lagi, kerajaan dalam memastikan perpaduan di kalangan rakyat terus berkekalan akan meneruskan dasar-dasar yang memberikan keuntungan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Beliau mengambil contoh Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini seperti bantuan RM500 kepada keluarga di bawah pendapatan RM3,000 serta bantuan permulaan sekolah yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa semua rakyat tanpa mengira kaum menerima bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan. Tetapi, ia tidak semestinya menjamin perpaduan kaum di dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Pemberian tersebut adalah wajar memandangkan itu  adalah tanggungjawab kerajaan tanpa mengira parti yang memerintah di dalam memastikan keperluan asas dan hak rakyat dipenuhi. Perpaduan yang sebenar tidak boleh disandarkan kepada manfaat semata-mata kerana apabila manfaat itu hilang, sudah tentu perpaduan itu akan hilang atau menjadi rapuh.

Perpaduan yang sebenar seharusnya berlandaskan kepada mabda(ideologi). Ikatan kalangan individu yang berpaksikan kepada sesuatu mabda akan menghasilkan penyatuan masyarakat yang berasaskan kepada pemikiran dan perasaan terhadap sistem yang dilaksanakan ke atas setiap individu rakyat. Ini dapat dibuktikan semasa zaman kegemilangan Islam di mana pelbagai kaum dan agama dengan pelbagai budaya dan bahasa hidup dengan aman dan sejahtera.

Isu perkauman dan perpaduan langsung tidak menjadi persoalan kerana setiap individu dapat memenuhi hak dan keperluan mereka samada keperluan asas atau sekunder menerusi sistem atau syariat Islam yang diterapkan secara kaffah. Ini sudah tentu akan melahirkan suatu perasaan yang utuh terhadap sistem atau hukum-hakam yang dilaksanakan ke atas mereka dan mereka memahami  pemikiran-pemikiran dan asas disebalik perlaksanaan hukum-hakam tersebut yang mereka harus patuhi sebagai anggota masyarakat. 

Justeru, selagi setiap individu tidak  bersatu dan berkongsi di dalam aspek pemikiran dan perasaan di bawah suatu sistem (merujuk kepada syariat Islam) yang dapat memenuhi kehendak, keperluan dan hak mereka, maka selagi itulah perpaduan yang sebenar yang utuh tidak akan dapat dicapai.

Rujukan:

1.    Rujukan berita:  Utusan Malaysia 27/12/2011.
2.    Taqiyuddin an Nabhani. Kitab Nidhamul Islam(Peraturan Hidup dalam Islam).