KWSP – Antara hak pencarum dan tanggungjawab negara

Setakat suku keempat 2019, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan memperoleh RM870.02 bilion dari caruman yang diperoleh daripada 14,587,811 pencarum. Kerana jumlah yang teramat besar inilah Akta 452 digubal, agar kekayaan tersebut tidak statik, sebaliknya boleh dimanfaatkan oleh kerajaan untuk dilaburkan dan ada juga yang digunakan bagi menampung keperluan belanjawan negara.

Kini, akibat pandemik COVID-19 yang melanda, para pencarum berdepan dengan masalah kewangan akibat ketidakstabilan ekonomi. Tidak kurang juga yang hilang terus punca kewangan akibat kehilangan pekerjaan, perniagaan yang terpaksa ditutup dan sebagainya. Dengan kata lain, ramai yang telah kehilangan sumber pendapatan, dan terpaksa bertungkus-lumus mencari jalan bagi memenuhi keperluan hidup dan nafkah tanggungan masing-masing akibat pandemik yang melanda.

Maka timbul usul agar membenarkan pengeluaran KWSP dari Akaun 1 dengan jumlah maksimum RM10,000. Namun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya memutuskan untuk tidak membenarkannya. Antara alasan yang diberikan rata-rata berdasarkan dua perspektif. Pertama, masa depan pencarum tidak cerah kerana simpanan mereka untuk hari tua akan terjejas. Kedua, kerajaan memerlukan suntikan modal daripada institusi-institusi fiskal seperti KWSP untuk memenuhi keperluan pelaburan negara.

Dari sini jelas dapat dilihat bahawa kerajaan yang sepatutnya menjaga urusan rakyat ternyata tidak mampu berdiri sendiri. Malah dalam menjalankan peranannya juga perlu bergantung kepada rakyat, bahkan wang rakyat itulah juga yang menjadi salah satu sumber utama pendapatan negara untuk dilaburkan!

Berbeza dengan Islam, yang menetapkan bahawa hukum asal pemanfaatan wang simpanan adalah terserah kepada pemiliknya. Negara tidak boleh memaksa warganya menyimpan dengan menggunakan undang-undang atau akta seperti Akta 452.

Di samping itu, negara tidak boleh menggunakan wang simpanan rakyat sebagai sumber pendapatan tetap negara. Hanya dalam keadaan darurat yang menyebabkan kekurangan dana negara, negara boleh mengenakan kutipan dharibah sehingga negara mempunyai peruntukan secukupnya bagi menjamin kelancaran pentadbiran dan memenuhi keperluan warganya. Dharibah pula hanya dikutip daripada lebihan simpanan yang ada pada warganegara setelah memenuhi keperluan diri dan tanggungan dan bukannya kutipan tetap yang dipotong secara berkala.

Manakala masa depan warganegara, termasuk ketika hari tua kelak sudah ditetapkan oleh Islam akan penjagaannya, dan bukannya dengan cara negara mengambil wang mereka di masa muda. Islam menetapkan bahawa ahli keluarga dan waris bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan seseorang. Sekiranya seseorang itu hidup sebatang kara atau keluarganya tidak berkemampuan untuk menyediakannya, maka menjadi tanggungjawab negara untuk menampungnya.

Justeru, keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal rakyat terjamin dalam sistem Islam. Di samping itu, rakyat juga dijamin menikmati perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan keamanan dengan baik oleh negara. Selain itu, mereka turut diberi ruang untuk mengembangkan kekayaan agar dengannya keperluan sekunder dapat dipenuhi.

Inilah gambaran ringkas bagaimana syariat menangani masalah di hari tua mahupun hari muda, tidak sebagaimana sistem demokrasi-kapitalisme yang mengambil duit dari poket orang muda secara paksa atas alasan memberikan semula kepadanya di masa tua! Sesungguhnya negara tidak boleh (haram) mengambil satu sen pun duit warganya, kecuali jika diizinkan oleh syariah seperti dalam kes dharibah. Malangnya, masih ramai yang terperangkap dalam pesona sistem ini, sehingga dalam mencari penyelesaian sekalipun masih merujuk kepada kerangka sistem tersebut meskipun saban hari telah jelas kelihatan kepincangannya.

Wallahua’lam.

Ridhuan Hakim
Pimpinan Pusat HTM