Kesempitan : Along atau Negara?

KUALA LUMPUR 28 Mei – Budaya meminjam wang melalui saluran tidak betul di kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Beliau memberitahu, kebimbangan itu tercetus berikutan rakyat Malaysia didapati semakin cenderung meminjam melalui saluran yang salah. Katanya, budaya itu bukan sekadar berlaku di kalangan penduduk bandar malah turut menular ke luar bandar. Jelasnya, budaya berkenaan boleh mengundang masalah sehingga boleh mengancam kehidupan peminjam sekiranya tidak dapat melunaskan hutang masing-masing.

”Perlu ada tindakan tegas terhadap golongan yang memberi pinjaman dan mengambil kesempatan kepada golongan yang kesempitan wang.

”Seluruh rakyat tidak perlu terlalu mudah untuk meminjam wang dari saluran yang tidak betul sebaliknya memilih institusi perbankan tempatan yang dijamin,” katanya.

Seperti isu-isu lain, kali ini kita dapat lihat dengan jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh para penguasa dan pemerintah, bahawa ‘golongan yang mengambil kesempatan kepada golongan yang kesempitan wang’ hanya akan dikenakan tindakan tegas, bukan penghapusan! Golongan yang kesempitan wang juga turut dipersalahkan kerana meminjam wang dari saluran yang tidak betul, oleh kerana itu tiada jaminan dari negara kepada golongan ini. Maksudnya, seolah-olah, jika meminjam dari saluran yang betul seperti institusi perbankan yang dijamin, apakah nasib rakyat juga terjamin? Bukankahkah ini kata-kata dusta?!

Isu sebenarnya yang seharusnya diperhatikan adalah kesempitan yang dihadapi majoriti rakyat. Mereka mencari-cari alternatif untuk meneruskan survival, sedangkan negara tidak memperdulikan itu semua. Bahkan pada hakikatnya, institusi perbankan hanyalah saluran yang menjamin keuntungan bagi pihak bank (dan negara) itu sendiri, sedangkan Along (yang tidak berlesen) tidak memberi keuntungan besar kepada negara. Pun begitu, Along tetap wujud di serata negara dan tak dibenteras sepenuhnya. Hakikatnya, negara, dengan cara berfikir sekularnya tidak pernah serius dalam memastikan mereka yang tertekan ini mendapatkan jaminan sewajarnya dalam kehidupan.

Sebaliknya, Islam menjamin keperluan hidup manusia. Begitu banyak mekanisme perekonomian dalam sistem ekonomi Islam yang mampu menyelesaikan masalah umat manusia yang berlaku hari ini. Setidak-tidaknya, institusi zakat, yang merupakan sebahagian dari perekonomian Islam, mampu sedikit sebanyak membantu golongan miskin yang dalam kesempitan hidup, bukan membiarkan mereka mencari-cari penyelesaian sendiri seperti meminjam dari Along atau dari institusi kewangan berasaskan riba. Islam juga mengharamkan serta mencegah berlakunya institusi pinjaman berasaskan riba.

Kemelut kehidupan dalam dunia yang didominasi sistem kapitalis ini semakin meruncing dan umat perlu sedar bahawa tiada alternatif lain yang dapat memberikan penyelesaian kepada permasalahan hidup ini kecuali syariat Allah. Kita perlu kembali kepada Islam dan ajaran-ajarannya yang bila diterapkan PASTI akan menyelesaikan segenap masalah dan memancarkan kesejahteraan kepada manusia dan yang lebih penting, kita mendapat keredhaan-Nya. Masihkah ada keraguan di hati kita terhadap Islam?