Memulih Syakhsiyah Pelajar Adalah Tanggungjawab Besar Negara

altMemulih sahsiah pelajar
 
SABAN hari kita disajikan dengan laporan-laporan kes jenayah yang kebanyakan dilakukan oleh golongan remaja seperti meragut, merogol, membunuh dan lain-lain.

Kisah-kisah yang menjadi tumpuan media cetak mahupun elektronik itu hanya sekadar menjadi bahan bacaan harian yang telah dianggap sebagai insiden biasa dalam masyarakat kita pada masa kini.

Siapakah yang wajar dipersalahkan? Tidakkah kita prihatin melihat anak bangsa yang bakal menjadi generasi negara diserang penyakit mental atau stres?

Dalam menangani isu membimbangkan ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menggesa kerajaan mengambil serius dan telus dalam menangani masalah remaja terutama golongan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan berharap kerajaan menyelaraskan intipati pendidikan mengikut transformasi persekitaran.

Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibubapa-Guru) 1998 yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 perlu dilihat semula dan diberi nafas baru.

“Kini pelbagai masalah melibatkan remaja seperti bunuh, dadah, merompak lebih banyak melibatkan golongan remaja yang bersekolah. Oleh itu kita kena lihat dengan lebih menyeluruh untuk memberi pendidikan secara holistik kepada anak-anak masa kini bermula dari akar umbi,” katanya ketika di temui Kosmo! selepas mempengerusikan mesyuarat bersama NGO yang terlibat di Memorial Tun Hussien Onn baru-baru ini.
Kekurangan dana

Antara barisan panel yang membincangkan isu tersebut ialah Yang Dipertua Mubarak, Aziz Yassin, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, Setiausaha Mubarak, Prof. Datuk Seri Ibrahim Saad dan Panel Pemikir GPMS, Datuk Mohd. Ali Baharom.

Merujuk kepada akta tersebut di bawah fasal 5 (1), dinyatakan tujuan-tujuan persatuan ialah untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah.

Untuk tujuan itu kata Mohamad Ali lagi, PIBG perlu meminta sumbangan daripada ibu bapa pelajar yang kadangkala diiringi dengan rungutan yang tidak enak didengar.

“PIBG berusaha untuk anjurkan aktiviti dan program untuk melibatkan ibu bapa, guru serta pelajar untuk mewujudkan suasana yang sihat dan secara tidak langsung para pelajar khususnya golongan belia dapat menghabiskan masa dengan aktiviti yang berfaedah.

“Tetapi PIBG kesal kerana sumbangan dana yang tidak mencukupi menjadi kekangan kepada kami untuk terus melaksanakan tujuan asal pertubuhan ini diwujudkan,” katanya.

Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut, turut disentuh ialah Bahagian IV, fasal 13 akta tersebut iaitu persatuan tidak boleh bergabung dengan mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau lain-lain pertubuhan yang didaftarkan atau diperbadankan di bawah undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubung dengannya.

“Kita bukan mahu berpolitik di sekolah, kita perlukan permuafakatan daripada semua pihak tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, dengan kekangan di bawah dasar berkenaan, PIBG umpama ‘terhalang’ untuk bermuafakat dengan pertubuhan luar.

“Diharap kerajaan dapat meneliti balik perkara ini kerana ia umpama kerajaan sendiri ‘menghalang’ PIBG untuk membantu memulihkan sahsiah pelajar sekolah,” katanya.

Mohamad Ali turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Jawatankuasa untuk mewujudkan Majlis Penasihat Pendidikan.

“Apa yang kita lihat selalunya hanya ada penasihat dan pemerhati dalam bidang ekonomi sahaja, kenapa tidak wujudkan untuk bidang pendidikan pula?

“Sekarang ini, kita perlu lihat aspek pendidikan secara keseluruhan iaitu bermula daripada prapendidikan sehingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mencari satu pendekatan baru untuk membentuk remaja melalui pendidikan yang berkesan,” ujarnya.

Kaji dasar pendidikan

Tambah Mohamad Ali, dasar dan peraturan yang telah diwujudkan untuk pendidikan negara perlu diteliti serta dikaji dengan lebih telus. Bukannya hanya melontarkan idea secara ad-hoc.

“Kita bukan mahu wujudkan agenda politik dalam pendidikan, tetapi mereka yang membuat peraturan perlu memikirkan bagaimana orang bawahan mahu melaksanakan dasar berkenaan.

“Kita ambil contoh Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pelaksanaan dasar itu tidak menyeluruh, implikasinya ia menjadi beban kepada kita semua,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mustafa Latif berkata, kerajaan sepatutnya memberi sokongan terhadap PIBG sekolah dalam membentuk sahsiah remaja dan bukannya hanya tertumpu kepada akademik sahaja.

“Kita lihat dengan pengiktirafan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), ia dilihat seperti memberi pengiktirafan terhadap guru besar dan pengetua sahaja dan ia hanya melibatkan sekolah-sekolah yang pelajarnya memang daripada kategori bijak.

“Bagi sekolah-sekolah panas yang sentiasa bermasalah, hanya PIBG yang bertungkus-lumus menyediakan pelbagai aktiviti kokurikulum untuk mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat diluar,” katanya.

Tambah Mohammad Ali, kerajaan sepatutnya melihat bidang pendidikan sebagai satu bidang yang menyeluruh bukan sahaja melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi tetapi kesemua kementerian secara amnya.

Panel Pemikir GPMS, Datuk Mohd. Ali Baharom yang juga Pegawai Khas Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan Malaysia berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang melibatkan golongan belia.

“Bagi pemimpin-pemimpin parti politik tidak kira parti pemerintah ataupun parti pembangkang, keprihatinan dan respon yang positif amat di perlukan. Janganlah hanya berpolitik sahaja.

“Sebagai masyarakat majmuk, remaja dan belia-belia kita perlukan keprihatinan daripada kita untuk menghindarkan mereka daripada terjebak ke kancah yang tidak sihat ini,” katanya.

Sumber: Kosmo 22/02/10

Memulih Syakhsiyah Pelajar Adalah Tanggungjawab Besar Negara

Perbahasan mengenai kebejatan dan kerosakan akhlak yang terjadi di kalangan muda mudi masyarakat di Malaysia bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, di dalam kurikulum sekolah Rendah dan Menengah juga, ada diselitkan perbahasan mengenainya. Perbahasan yang membincangkan tentang kebejatan akhlak dan sosial masyarakat kebanyakannya hanya berkisar tentang perkara-perkara yang sama. Dalam hal ini, sememangnya Keimanan dan Ketaqwaan seseorang individu amat memainkan peranan agar setiap perilakunya senantiasa terikat dengan syariat Islam. Walaubagaimanapun, seperti mana hukum-hakam lain, pelaksanaan syariat sepenuhnya tidak sekadar bergantung kepada ketaqwaan individu, tetapi juga bergantung kepada kawalan masyarakat yang mana apabila berlaku sesuatu aktiviti maksiat, setiap ahli masyarakat wajib melakukan tindakan pencegahan, iaitu nahi munkar seperti mana hadis – Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, dengan hatinya (di dalam hati). Itulah selemah-lemah iman.

Sungguhpun begitu, ketaqwaan individu dan campur tangan masyarakat untuk mengatasi masalah sosial tidak akan mencegah dan menyelesaikan kemaksiatan yang bermaharajalela dalam masyarakat tanpa adanya penguatkuasaan dan hukuman oleh negara ke atas yang para pelaku maksiat. Hukuman hudud ke atas penzina adalah satu contoh hukuman kepada pelaku maksiat, selain dari penguatkuasaan tentang penampilan dan pakaian muslimat dan non-muslimat di tempat awam yang bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat. Di sisi lain, negara juga wajib menerapkan sistem pendidikan, ekonomi, polisi luar negeri dan negara, peradilan dan sosial yang semuanya daripada Islam (al-Quran dan as-Sunnah).

Jadi,  tanggungjawab untuk mengatasi masalah syakhsiyah (keperibadian) masyarakat khususnya pelajar, bukanlah hanya disandang pada bahu badan-badan NGO seperti PIBGN, GPMS dan Mubarak sahaja, namun ia perlu diatasi oleh semua pihak dalam segala aspek khususnya oleh pemerintah. Pemerintah harus segera menerapkan Sistem Islam yang akan menjamin terbinanya Keimanan dan Ketakwaan di dalam setiap individu.  Sesungguhnya, ketiadaan sistem pemerintahan yang menerapkan Islam secara kaffah menyebabkan tidak adanya hukum-hakam bersepadu yang ujud seiring jalan antara ketiga-tiga faktor – ketaqwaan individu, kawalan masyarakat dan kewujudan negara yang menerapkan hukum-hakam Islam secara kaffah.

Maka, sebagai seorang Muslim yang berfikiran jernih, adalah sangat perlu kita melihat sesuatu isu atau permasalahan dengan mengkaji akar umbinya (roots of the problem) dan bukan sekadar melihat gejala (symptoms) yang lahir disebabkan ketiadaan Negara Islam, yang dengannya penerapan hukum-hakam Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Justeru, penyelesaian paling tuntas dalam apa jua permasahan yang dihadapi umat manusia, tidak ada cara lain selain dari melanjutkan kehidupan Islam yang bererti mengajak kaum Muslimin kembali hidup secara Islami dalam Darul Islam. Seluruh kegiatan kehidupannya diatur sesuai dengan hukum-hukum syara’ dan pandangan hidup yang menjadi pedoman adalah halal dan haram, di bawah naungan Daulah Islamiyah, yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang menjalankan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Wallahu’alam.