Laksamana Keumalahayati: Laksamana Wanita Pertama dan Bukti Nyata Hubungan Khilafah dengan Nusantara

Apabila disebut ‘Khilafah Islamiyah’ mungkin ramai yang masih tidak mengetahui hakikatnya. Khilafah Islamiyah merupakan sebuah sistem pemerintahan yang menerapkan hukum-hukum Syariah terhadap masyarakat dan menyebarluaskan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. Definisi inilah yang lebih tepat untuk menjelaskan pengertian Khilafah Islamiyah yang kini menjadi sebuah ancaman global kepada kuasa-kuasa besar yang sedang berkuasa menjajah dunia melalui sistem kapitalis.[i]

Khilafah Islamiyah inilah yang suatu ketika dahulu pernah mentadbir dua pertiga dunia, mampu mengurus dan memelihara seluruh wilayah kekuasaannya dengan sangat baik.  Hakikat ini tidak dapat dinafikan oleh pelbagai rejim Barat.  Perkara ini terbukti melalui kenyataan daripada Thomas Arnold dalam The Preaching of Islam yang menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara bukan sebagai penakluk seperti yang dilakukan oleh bangsa Portugis dan Sepanyol, tetapi kedatangan Islam ke Nusantara adalah melalui jalan damai. Islam muncul di Nusantara bukan dengan mata pedang, juga bukan melalui perebutan kuasa politik tetapi melalui jalan dakwah sehingga masyarakat menikmati Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.  Hal ini menyebabkan Islam mudah diterima oleh masyarakat.[ii]

Hubungan  Khilafah Turki Uthmaniyah dengan Nusantara nampak lebih jelas apabila baginda Sultan Sulaiman II menghantar Ekspedisi Armada Laut Sumatera yang dipimpin oleh Laksamana Kortuglu Hizir Reis ke Aceh untuk memberikan bantuan ketenteraan seperti yang diminta oleh Sultan Alauddin al-Qahhar dari Aceh sekitar tahun 1565M. Ekspedisi Ketenteraan ini merupakan bantuan teknikal dan budaya yang kali pertama dilakukan dalam sejarah hubungan Khilafah Turki Uthmaniyah dengan Nusantara. Semasa kedatangannya, mereka disambut dengan upacara yang meriah dan gelaran Gabenor (wali) diberikan kepada Kurtoglu Hizir Reis. Setelah pasukan dari Ekspedisi Ketenteraan dan warga Aceh berjaya mengalahkan Portugis, Kortuglu Hizir Reis bersama 17 daripada 19 kapal yang dihantar untuk ekspedisi tersebut kembali ke wilayah Khilafah Utsmaniyah. Mereka (tentera Turki Uthmaniyah) yang tinggal telah membuat keputusan untuk menetap, berkahwin, bahkan bersama-sama dalam pengembangan teknologi ketenteraan di Nusantara ketika itu, sehingga Akademi Ketenteraan yang kemudian dinamakan Ma’had Baitul Maqdis menjadi akademi yang berpengaruh secara signifikan dalam pengembangan budaya dan kekuatan ketenteraan di Aceh.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. A. Hasjmy dari Aceh, pusat pendidikan ketenteraan inilah yang telah melahirkan sejumlah pahlawan dalam sejarah Aceh dan Nusantara. Yang paling terkenal ialah Laksamana Keumala Hayati (Malahayati), satu-satunya laksamana wanita dalam sejarah dunia masa kini.[iii] Berdasarkan sebuah manuskrip yang tersimpan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Keumala Hayati berasal dari bangsawan Aceh iaitu dalam kalangan sultan-sultan Aceh terdahulu. Keumala Hayati atau lebih popular disebut Malahayati, adalah puteri Laksamana Mahmud Syah iaitu cucu kepada Laksamana Muhammad Said Syah, putera Sultan Salahuddin Syah yang menjadi Wali (gabenor) Kesultanan Aceh Darussalam dari tahun 1530-1539 M. Setelah tamat pengajianya di Pesantren (sekolah pondok), Malahayati melanjutkan pengajiannya di sekolah Akademi Ketenteraan Ma’had Baitul Maqdis (Aceh Royal Military Academy). Di akademi tersebut, Malahayati muncul sebagai figura yang sangat bijak. Di situlah, beliau bertemu suaminya Tunku Mahmuddin Said Al-Latief. Setelah lulus dari akademi, Malahayati dilantik menjadi Komandan Protokol Istana Darud-Dunia Kesultanan Aceh Darussalam, manakala suaminya pula menjadi Laksamana.

Setelah suaminya syahid di Selat Malaka ketika melawan Portugis, Malahayati memohon kepada Sultan Saidil al-Mukammil Alauddin Riayat Syah, Wali Aceh yang memegang tampuk kekuasaan dari 1588-1604M, untuk membentuk armada perang. Perajuritnya terdiri daripada para janda pejuang Aceh yang gugur dalam pertempuran di Selat Melaka itu. Setelah cadangan membentuk armada dipersetujui, Malahayati dilantik menjadi Panglima Armada Inong Balee yang bermaksud Armada Janda untuk membantu mempertahankan tanahairnya.

Pasukan itu bermarkas di Teluk Lamreh Kraung Raya, Benteng Kuto Inong Balee yang dibina dengan ketinggian lebih kurang tiga meter serta dilengkapi dengan meriam dan seratus lebih kapal perang. Pada awalnya pasukan Inong Balee hanya mempunyai 1000 orang sahaja. Namun, jumlahnya bertambah kepada 2000 orang apabila kemudiannya disertai oleh gadis-gadis muda.

Armada asing yang melintas di Selat Malaka menjadi gentar. Antara mereka yang tewas di tangan pasukan Inong Balee pimpinan Laksamana Malahayati ini adalah Cornelis de Houtman pada 11 September 1599, Laksamana Jacob van Neck ditangkap di perairan Aceh pada Jun 1601, dan banyak lagi kisah ekspedisi sang Laksamana. Akhirnya Laksamana Malahayati dikhabarkan gugur syahid dalam perjuangan melawan Portugis di Teluk Krueng Raya sehingga dimakamkan di lereng Bukit Kota Dalam, 34km dari Bandar Aceh.

Tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia. Itulah peribahasa yang tepat bagi menjelaskan realiti di atas. Kehadiran Islam di Nusantara ternyata memupuk semangat dalam masyarakat di Nusantara agar bebas dari penghambaan selain kepada Allah.  Di sudut yang lain pula, hubungan antara Khilafah dan Nusantara juga mampu membangkitkan semangat masyarakat untuk melawan penjajahan Asing (Portugis dan Belanda) sekaligus membuktikan Islam sebagai sebuah sistem hidup yang syumul (sempurna) yang pernah diterapkan secara nyata dan tercatat dalam sejarah. Umat Islam di Nusantara tidak boleh dipisahkan dengan umat Islam di belahan dunia lain kerana mereka disatukan oleh satu institusi yang mampu menaungi umat Islam di seluruh penjuru dunia iaitu Khilafah Islamiyah.

Namun sayangnya, sistem yang menjadi institusi pelaksana Syariah Islam (Kiyan Tanfizi) itu kini tidak ada lagi sejak runtuhnya Khilafah Islamiyah pada tanggal 3 Mac 1924. Kemudian jadilah kaum Muslimin sebagai negeri-negeri yang terpecah belah tanpa pembelaan, kesatuan yang pernah wujud itu hilang bahkan memperlihatkan kemunduran yang amat dahsyat dari sudut pemikiran, perbuatan dan perjuangan. Persoalannya, sampai bilakah keadaan ini akan berlanjutan?

Wallahu a’lam bissawab

 

Rujukan

[i] Nizhâm al-Hukm fî al-Islâm, Qadhi an-Nabhani

[ii] The Preaching of Islam, T.W Arnold M.A CIF

[iii] http://hizb-indonesia.info/2017/06/23/khilafah-dan-nusantara/