Laporan Ketua Audit Negara 2013: Amanah Yang Dikhianati

Peruntukan kerajaan untuk memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan telah disalahgunakan oleh beberapa pejabat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan. Antaranya ia digunakan untuk membeli nasi goreng dan nasi lemak untuk aktiviti-aktiviti dalaman mereka.1
Dilaporkan sebanyak RM87,851 daripada peruntukan bakul makanan sejumlah RM923,000 telah digunakan oleh pejabat kesihatan Jerantut, Gua Musang dan Kota Kinabalu untuk tujuan lain selain daripada memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan. Pendedahan tersebut merupakan sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang diumumkan baru-baru ini. Sehubungan dengan pendedahan itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat perkara tersebut.

Perbuatan ini merupakan suatu perkara yang bertentangan dengan tuntutan syarak kerana berlaku pengkhianatan terhadap amanah yang dipikul. Peruntukan yang sepatutnya disalurkan bagi mengatasi masalah kanak-kanak kurang zat makanan telah disalahgunakan oleh pihak terbabit untuk aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan program tersebut.

Perbuatan pecah amanah daripada sekecil-kecil peranan sehinggalah sebesar-besar tanggungan adalah merupakan perkara yang sangat dilarang dalam Islam. Allah SWT telah memberikan peringatan yang sangat jelas lagi tegas dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diberikan kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui”. [TMQ Al-Anfal 8:27]

Perbuatan pecah amanah juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang munafik, sebagaimana yang termaktub dalam sabda Rasulullah SAW berikut;
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu berdusta apabila berbicara, memungkiri apabila berjanji dan berkhianat apabila diberi amanah”.
[Mutafaq ‘alaih]

Pendedahan sebegini wajar diambil serius dan ditangani segera secara berkesan agar tidak berulang kembali pada masa akan datang. Pihak penguasa sewajarnya mengambil sikap yang telus dalam menangani sebarang bentuk perlanggaran dalam urus tadbir, pecah amanah dan juga ketirisan demi menjamin hak-hak rakyat daripada dikhianati. Dalam pada itu, pihak berwajib juga tidak sewajarnya mengambil sikap memilih-milih dalam menjalankan penyiasatan dengan hanya menyiasat “ikan bilis” tetapi membiarkan “jerung-jerung” terus berleluasa.

Daripada Aishah ra, Rasulullah SAW bersabda;

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu adalah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.” [HR Muslim]

Sumber:

1) Laporan Audit: Pejabat Kesihatan Guna Peruntukan Kanak-kanak Malnutrisi untuk Beli Nasi Lemak – Astro Awani 9 April 2014.