Laporan Seminar Kecantikan Wanita Oleh MHTM Di Kelantan
Seminar ini dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran dari surah al-Anfaal ayat 27 hingga ayat 40 oleh Puan Nabila. Seterusnya Ustazah Aisyah selaku mewakili MHTM menyampaikan ucapan sebagai pembuka majlis, beliau menyatakan bahawa setelah kejatuhan Daulah Islam pada 3 mac 1924, tiada sebuah negara pun di dunia ini yang menerapkan Islam secara kaffah. Umat Islam hidup dalam keadaan ditindas dan dizalimi oleh kufar Barat, tidak ketinggalan juga ianya dialami oleh kaum wanita. Hakikatnya sistem kapitalis sekular hanya menghantarkan wanita kepada penderitaan. Dari pelbagai aspek wanita diekploitasi samada dari segi kecantikan dan sebagainya. Sebahagian wanita telah gagal untuk menampakkan jati dirinya sebagai muslimah sejati, bahkan ada yang sanggup mengadaikan kecantikan dan kelembutan fitrahnya untuk diperdagangkan. Seterusnya beliau menjelaskan usaha-usaha MHTM dalam melakukan dakwah untuk melangsungkan kembali kehidupan Islam kepada masyarakat. Kemudian selepas itu menyusul tayangan video yang terkait dengan tajuk seminar yang dipertontonkan kepada para peserta.
Puan Zulaikha selaku ahli panel pertama membawa tajuk ‘Apa Itu Mitos Kecantikan Wanita’. Beliau menerangkan semua wanita mempunyai perasaan ingin cantik yang lahir daripada naluri mempertahankan diri (gharizatul baqa’) dan juga naluri melestarikan keturunan (gharizatun nau’) iaitu sesuatu yang fitrah bagi manusia. Beliau juga membongkar bukti-bukti dan realiti yang memaparkan penderitaan, bebanan dan penyakit yang dialami oleh wanita yang ta’shub dengan mitos-mitos kecantikan. Beliau turut membawa peserta menyoroti amalan kecantikan yang diamalkan oleh masyarakat Barat di seluruh dunia.
Majlis kemudiannya berhenti rehat dan satu tayangan video dipertontonkan kepada para peserta sambil mereka menikmati juadah yang disediakan.
Ummu Hajar, selaku ahli panel kedua pula telah menyampaikan pembentangan beliau yang bertajuk “Hakikat Kecantikan Wanita dalam Islam”. Beliau menjelaskan pihak kuffar berjaya membawa muslimah jauh daripada ajaran Islam dalam kewajipan menutup aurat, berjilbab dan berkhimar apabila akhirnya ramai dikalangan para muslimah hari ini yang sanggup mendedahkan aurat dan bertabarruj demi menampilkan kecantikan mereka di depan mata manusia lain. Para Muslimah wajib menilai dirinya berdasarkan tingkat ketaqwaan dan bukannya kecantikan yang diinginkan Barat kerana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang maksudnya, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kami.” Seterusnya beliau menjelaskan panduan untuk menjadi Muslimah yang bertaqwa ialah dengan mengenal Islam, mempelajari ajaran Islam dan seterusnya berubah kerana Islam serta mendakwahkan Islam kepada seluruh manusia yang lain. Muslimah yang sebegini tidak akan terbelenggu dengan rasa rendah diri akibat dari penampilan fizikalnya dan perihal kehidupan peribadi.
Kemudian, sesi soal jawab berjalan dengan aktif apabila ramai peserta tampil bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat masing-masing. Sebagai penghargaan, mereka diberikan cenderahati daripada pihak penganjur.
Di kesempatan ini, pihak MHTM cawangan Kelantan selaku penganjur program ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada muslimah yang hadir ke seminar ini dengan harapan ia dapat memberi pengetahuan tentang ajaran Islam dan menyuntik kesedaran kepada mereka untuk konsisten mengamalkannya serta memperjuangkannya. Diharapkan agar seminar seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. InsyaAllah.