LAPORAN SEMINAR NEGARA ISLAM: KEWAJIPAN YANG DILALAIKAN
Pembentang kedua Ustaz Ahmad Zakaria Hamidon membincang tajuk Kewajipan Mendirikan Negara Islam. Beliau antara lain mengupas nas-nas tentang kewajipan umat Islam untuk menegak semula Khilafah Islam yang bersumber dari Al Quran, Hadis, Ijma Sahabat, Qias, dan pandangan para ulamak muktabar serta kaedah-kaedah syara’. Beliau menekankan bahawa ini merupakan kewajipan terbesar yang mesti diutamakan oleh umat Islam dan tidak boleh ada kelalaian terhadapnya. Seterusnya beliau menjelaskan usaha menegakkan Negara Islam atau Khilafah Islam ini tidak boleh tidak mestilah mengikut jalan yang dibenarkan oleh syara’ sepertimana dilakukan oleh Rasulullah ketika menempuh jalan untuk mendirikan Negara di Madinah.
Beliau juga memperjelaskan kekeliruan umat Islam tentang Negara Islam dari segi takrifan, bentuk sistem pemerintahannya dan metod yang ditempuh oleh Rasulullah sehingga berjaya mendirikan sebuah negara. Ustaz Ahmad Zakaria juga memperingatkan bahawa metod inilah yang mesti ditempuh oleh setiap gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tempat yang paling tinggi sesuai dengan hakikat agama ini yang menjadi pengatur kepada semua masalah kehidupan manusia. Beliau mengakhiri pembentangan dengan menyatakan bahawa Islam itu telah lengkap dan telah terbukti berjaya memimpin dunia dalam satu tempoh masa yang sangat panjang dengan satu sistem yang unik berbanding sistem lain seperti Sosialisme dan Kapitalisme yang sedang menuju ke penghujungnya dan sudah tiba saatnya umat ini kembali kepada sistem yang diwahyukan oleh Allah dan membuang semua sistem ciptaan manusia.
Seminar yang hadiri oleh hampir 100 peserta ini berakhir pada jam 1 tengahari dan pihak penganjur berjanji akan mengadakan siri-siri seminar seperti ini di masa akan datang.
Johari Othman (Penyelaras Seminar/Ketua HTM Cawangan Kedah)