Larangan ceramah di Johor, apa yang peliknya?
Kecoh sekarang ini perbincangan di media apabila keluarnya senarai 16 orang penceramah yang dilarang untuk memberi ceramah agama di Johor. Antara nama yang tersenarai yang menggamatkan suasana ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Menurut undang-undang Malaysia, hak memberi tauliah untuk mana-mana individu menyampaikan ceramah adalah terletak dalam bidang kuasa Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Negeri, dengan kelulusan daripada Sultan secara umumnya. Ringkasnya, setiap negeri berhak membenarkan atau menghalang siapa sahaja dari berceramah. Namun, secara logiknya, mana mungkin dua nama tersohor lulusan agama itu, apatah lagi kedua-duanya sangat rapat dengan kerajaan, boleh termasuk dalam senarai larangan ceramah tersebut?
Umum mengetahui bahawa merupakan satu kesalahan jika memberi ceramah agama tanpa tauliah di mana-mana negeri pun di Malaysia. Umum juga mengetahui bahawa kelulusan hanya diberi kepada individu-individu tertentu yang melepasi syarat yang diletakkan oleh kerajaan negeri. Kita sudah sering mendengar banyak permohonan yang ditolak dan berapa ramai penceramah yang sebelum ini telah dihalang ceramah mereka hanya semata-mata kerana tiada tauliah. Dengan kata lain, adalah perkara biasa bila kita mendengar penceramah-penceramah yang dihalang atau ditahan kerana mengajar agama tanpa tauliah.
Jadi, tidak ada yang peliknya dan tidak ada apa yang perlu dikecohkan jika Jabatan Agama negeri mengeluarkan senarai nama orang yang tidak dibenarkan berceramah di negeri masing-masing. Cuma, isu 16 orang ini menjadi viral apabila individu-individu tertentu yang sudah ada nama, pangkat dan kedudukan, apatah lagi rapat dengan kerajaan, tiba-tiba ‘disenarai hitamkan’ daripada menjadi penceramah.
Isu dan kekecohan ini telah menimbulkan suatu persoalan sama ada wujud agenda atau permainan ‘politik’ tertentu di sebalik semua ini?
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, apa yang menjadi masalah ialah apabila ‘sebab-sebab’ yang diberikan terhadap larangan ceramah didakwa sebagai fitnah belaka. Dikatakan ‘fitnah’ kerana apa yang disebut merupakan suatu perkara yang tidak benar dan hanya rekaan semata-mata. Inilah apa yang cuba dijawab oleh mereka yang difitnah dalam rangka membersihkan nama mereka dan hal ini (jawapan kepada fitnah) wajar sahaja dilakukan oleh mereka yang difitnah.
Kerana itulah, sebagai Muslim, kita semua wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini:-
- Fitnah itu memang satu dosa besar dan tidak sepatutnya dilontarkan oleh seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Jadi, pemfitnah itu wajib dimuhasabah agar menarik balik fitnahnya, ia wajib memohon maaf kepada mereka yang difitnahnya dan pemfitnah itu wajib bertaubat daripada dosa-dosa mereka.
- Mereka yang difitnah juga wajar melakukan muhasabah diri. Muhasabah diri dari segi sama ada mereka sendiri pernah atau tidak memfitnah orang lain, pernah atau tidak menuduh orang lain sebagai itu dan ini, begitu dan begini, tanpa usul periksa. Jika pernah, maka ingatlah bahawa, jika kita tidak mahu difitnah dan terasa betapa ‘sakit’ dan kecewanya apabila difitnah, maka janganlah kita pula memfitnah orang lain, seterusnya memohon maaf kepada orang yang pernah kita fitnah.
- Kewajipan menyampaikan Islam bukanlah bergantung kepada tauliah daripada mana-mana manusia, kerana perintah menyampaikan (dakwah) itu datangnya dari Allah SWT dan setiap Muslim wajib melakukannya. Cuma, dalam menyampaikan Islam, setiap Muslim itu bertanggungjawab di atas setiap patah perkataannya atau penulisannya dan setiap Muslim itu wajib menyampaikan perkara yang benar sahaja. Jika dia menyampaikan perkara yang menyalahi Islam dengan sengaja, maka dia telah berdosa dan wajib bertaubat.
Semoga kita sama-sama menjadi penyampai agama Allah yang amanah dan menjauhi sikap fitnah-memfitnah sesama Muslim.