Lawatan Wakil AS ke Malaysia: Strategi Meluaskan Hegemoni AS ke Dunia Islam

Kunjungan rasmi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, ke Malaysia pada Julai 2025 mencerminkan kesungguhan Washington untuk terus memperkukuh kehadiran geopolitiknya di rantau Asia Tenggara. Dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Malaysia mengenai kerjasama tenaga nuklear awam, serta menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, kehadiran Rubio membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar diplomasi dua hala. Di sebalik jabat tangan rasmi dan tawaran kerjasama teknologi, tersirat strategi hegemoni Amerika Syarikat yang masih aktif mencari ruang dan pengaruh di negara-negara Muslim seperti Malaysia. Dalam konteks inilah, kita harus memahami peranan sebenar AS dalam landskap dunia hari ini.

Malaysia bukan sekadar lokasi penting dalam geopolitik Indo‑Pasifik, tetapi juga dianggap contoh ‘Islam moderat’ yang ingin dibentuk mengikut acuan liberal global. Sejak era Presiden Obama, Malaysia telah dikenal pasti sebagai medan lembut untuk penanaman nilai dan pengaruh Amerika Syarikat. Pada tahun 2014, Barack Obama secara terbuka bertemu dengan NGO–NGO liberal seperti Sisters in Islam (SIS), BERSIH, COMANGO dan G25 ketika kunjungannya ke Malaysia — satu isyarat jelas bahawa AS tidak hanya berminat dengan urusan rasmi kerajaan, tetapi juga memperkukuh elemen-elemen sivil yang mendukung agenda liberal, hak asasi dan pluralisme ala Barat di negara Islam (Astro AWANI, 2014). Ada antara NGO tersebut atau ahli-ahli yang kemudian lantang mengkritik institusi agama, menafsir Islam menurut cara mereka atau dengan kata lain memperjuangkan Islam secara liberal dan dilihat sangat anti dengan undang-undang syariah. Pertemuan Obama bukan sekadar diplomasi – ia strategi menyokong ‘proksi pemikiran’ dalam negara.

Amerika Syarikat (AS) hari ini telah menjelma menjadi kekuatan global yang bukan sahaja memiliki kuasa ketenteraan dan juga pengaruh terbesar di dunia, malah memanfaatkan kekuatan itu untuk mencengkam dunia, khususnya dunia Islam, melalui pendekatan neo-liberalisme dan penjajahan alaf baru yang sistematik. Pengaruh AS bukan sekadar terbatas kepada konflik-konflik yang berlaku atau dasar luarnya, tetapi bawaan ideologi kapitalismenya yang cuba diterapkannya ke dalam setiap aspek kehidupan umat manusia, khususnya umat Islam. Dengan bertopengkan ‘perang melawan keganasan’ dan retorik kebebasan, demokrasi serta hak asasi manusia, AS mencipta krisis, menyemai kekacauan, lalu menawarkan penyelesaian yang sekali gus mengekalkan dominasi mereka ke atas negara-negara yang lemah.

AS sering dilihat sebagai kuasa yang terlibat dalam hampir setiap krisis geopolitik yang berlaku di dunia. Ia mencipta krisis, mencetuskan ketegangan, kemudian memposisikan dirinya sebagai hero atau ‘penyelamat’ yang menguruskan penyelesaian konflik tersebut. Bahkan, dalam usaha menjustifikasikan intervensinya, AS membahagikan negara-negara dunia kepada klasifikasi arbitrari seperti ‘Poros Kejahatan’ (Axis of Evil), ‘Negara Pendukung Terorisme’, atau ‘Ancaman terhadap Demokrasi’. Kategori-kategori ini bukan sahaja bersifat sewenang-wenangnya, malah telah menjadi alat untuk menghalalkan campur tangan ketenteraan, tekanan diplomatik, dan sekatan ekonomi terhadap mana-mana pihak yang tidak tunduk kepada kehendaknya. Negara-negara sekutu sekalipun tidak selamat daripada potensi dimusuhi apabila tidak lagi selari dengan naratif Washington.

AS menuntut dunia untuk berpihak sepenuhnya kepadanya, atau akan dianggap sebagai pendukung keganasan jika enggan berbuat demikian. Pilihan untuk berkecuali tidak dibenarkan oleh AS. Negara yang enggan mengikuti naratif AS akan dituduh sebagai ‘wilayah subversif’ dan menjadi sasaran tekanan secara berterusan. Namun, semua ini hanyalah sebahagian daripada strategi penjajahan atau usaha mencipta hegemoni yang lebih besar oleh AS. AS mencipta masalah, mengawal naratifnya, dan kemudian mendominasi proses penyelesaiannya agar kekuasaan dan campur tangannya di dunia sentiasa relevan dan terpelihara.

Agenda AS mencelakakan umat Islam

Apa yang membezakan AS daripada negara kapitalis lainnya ialah cara ia menggunakan kekuatan ekonomi dan militernya sebagai alat untuk mempengaruhi bukan sahaja dasar negara lain, tetapi juga gaya hidup dan pemikiran masyarakat dunia. Pengaruh AS telah lama menembusi bidang sosiobudaya, tsaqafah, pendidikan, media, bahkan sehingga ke jantung sistem keselamatan negeri-negeri umat Islam.

Dalam bidang pendidikan, campur tangan AS amat ketara di banyak negara Arab yang sejak sekian lama berlumba-lumba menyesuaikan kurikulum mereka agar sejalan dengan kehendak AS. Atas nama ‘reformasi pendidikan’ dan ‘kesesuaian zaman’, subjek-subjek penting dalam ajaran Islam seperti al-wala’ wal bara’, jihad, serta penentangan terhadap kezaliman kaum kafir telah dipadamkan atau digantikan dengan naratif pasif dan pluralistik. Arab Saudi, Mesir, Jordan, Kuwait dan negara Arab lainnya telah menggugurkan atau melemahkan kandungan-kandungan yang dahulu tegas terhadap musuh Islam seperti Yahudi dan Nasrani yang menyerang umat ini.

Dalam bidang media, sejarah berbicara bahawa AS menghabiskan ratusan juta dolar untuk mempengaruhi naratif media massa di dunia Islam. Dengan menubuhkan Radio VOA, saluran al-Hurra dan pelbagai stesen satelit lain, AS memastikan bahawa agenda mereka dipancarkan ke setiap rumah kaum Muslimin, khususnya di negara Arab. Media dijadikan alat untuk menyuntik nilai-nilai liberal, menyebarkan budaya Barat dan meremehkan syariat Islam. Racun pemikiran ini disebarkan dalam bentuk program hiburan, dokumentari, berita dan juga ‘kempen kesedaran’.

Dalam bidang sosial, AS menjadikan isu wanita sebagai medan utama untuk menyebarkan ideologi liberal. Atas nama ‘hak wanita’ dan ‘persamaan gender’, kerajaan-kerajaan di negara kaum Muslimin ditekan agar melaksanakan polisi yang membenarkan wanita melanggar batasan syariah dalam peranan sosial dan politik. Program-program feminisme ditaja, konferensi antarabangsa dianjurkan, dan dasar kerajaan diubah agar memasukkan elemen ‘kesaksamaan’ yang didefinisikan oleh ideologi Barat. Perempuan Islam dijauhkan daripada peranan mereka sebagai penjaga keluarga dan pendidik umat, lalu dijadikan alat kempen untuk merombak dan memusnahkan tatanan sosial Islam.

Di medan pemikiran dan ideologi, AS menggunakan pusat-pusat pemikiran, kajian demokrasi, fahaman pluralisme, dan organisasi hak asasi manusia untuk menyebarkan fahaman sekular liberal secara agresif. Konsep kebebasan mutlak, pemisahan agama dari kehidupan dan pemujaan demokrasi Barat dijadikan dogma moden yang mesti diterima setiap bangsa yang mahu dianggap ‘bertamadun’. Dalam masa yang sama, filem-filem Hollywood, teknologi digital dan pengaruh budaya pop digunakan sebagai alat untuk menyampaikan propaganda dengan lebih halus dan berkesan. Saluran televisyen Arab dan bukan Arab tidak dapat lari daripada dominasi kandungan yang bersumber dari produksi budaya AS.

Dalam bidang keselamatan pula, AS menjalin hubungan strategik dan sering mengadakan operasi bersama agensi risikan negara-negara Arab dan bukan Arab. CIA dan FBI mempunyai jaringan aktif di negara-negara seperti Sudan, Pakistan, Libya, Yaman, Kenya, Tanzania dan banyak lagi. Mereka bebas bergerak atas nama ‘kerjasama anti-terorisme’, dengan restu kerajaan-kerajaan yang tunduk kepada Washington. Penangkapan, penahanan, ekstradisi dan malah pembunuhan ke atas individu atau gerakan Islam yang tidak sehaluan dengan AS dilakukan atas nama keselamatan global.

Di Malaysia pula, kerjasama keselamatan semakin diperkukuh melalui pelbagai latihan dan program pertahanan bersama. Banyak latihan bersama dijalankan sejak dulu, dan boleh dilihat seperti yang terbaru Exercise CARAT Malaysia 2024 melibatkan kerjasama antara US Navy, US Marine Corps dan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam operasi laut, penyelamatan dan bantuan perubatan komando, bagi memantapkan interoperabiliti dua hala (U.S. Navy, 2024). Malaysia juga turut menyertai RIMPAC 2024, latihan maritim antarabangsa terbesar di dunia yang dianjurkan di Hawaii, disertai lebih 25,000 anggota tentera dari 29 negara termasuk negara-negara NATO (DVIDS, 2024). Selain itu, menerusi program IMET (International Military Education and Training), pegawai tentera Malaysia diberikan latihan profesional di AS sebagai usaha memperluas kerjasama strategik dan diplomasi ketenteraan (U.S. Embassy Malaysia, n.d.).

Kesan daripada pengaruh ini, tangan-tangan AS telah menyusup masuk ke dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Islam, bukan sahaja dalam pemerintahan, tetapi juga dalam budaya harian dan pemikiran rakyat. Di Timur Tengah, Asia Selatan, Afrika hingga ke Amerika Latin, AS tidak pernah berhenti mencipta ketidakstabilan politik dan menjatuhkan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya. Presiden Haiti, Jean-Bertrand Aristide, digulingkan dan dibuang ke luar negara. Di Venezuela, usaha berterusan dilakukan untuk menjatuhkan Hugo Chavez atas alasan ‘anti-demokrasi’. Semua ini berlaku kerana pemimpin-pemimpin tersebut tidak mahu tunduk kepada agenda AS.

AS akan jatuh

Namun begitu, hegemoni AS ini tidak akan berlangsung selama-lamanya. Hegemoni ini sedang menuju kepada jurang kehancuran. Walaupun pengaruh dan eksistensi AS dapat dilihat di hampir setiap pelosok dunia, dan para penguasa Muslim terus bekerjasama dengannya, namun kebencian rakyat semakin memuncak. Umat Islam khususnya semakin membenci AS, bukan hanya kerana penaklukan dan campur tangan negara Uncle Sam itu, tetapi juga kerana sikap angkuh dan kurang ajar mereka yang terlalu jelas menyebelahi Yahudi dalam isu Palestin. Sokongan membuta tuli kepada Zionis, serta tindakan menjajah, menekan, dan memperhamba negara-negara lain atas nama ‘keamanan’ telah membangkitkan gelombang kesedaran dan penolakan terhadap AS di serata dunia.

AS mungkin memiliki kekuatan fizikal yang besar, tetapi ia semakin kehilangan kekuatan moral dan legitimasi. Umat manusia, dan umat Islam khususnya, semakin sedar bahawa ‘kepimpinan global’ yang dicanang oleh Amerika hanyalah topeng kepada penjajahan bentuk baru (neo-kolonialisme). Maka, biar pun di saat kekuatan fizikalnya masih digeruni, namun kekuatan pengaruhnya kini sudah mula merosot dan semakin ditolak. Ini adalah petanda awal keruntuhan sebuah empayar moden — runtuh bukan kerana kekalahannya di medan perang, tetapi kerana kebangkitan kesedaran umat terhadap kerosakan yang telah dilakukannya.

Seperti yang ditegaskan dalam kitab Mafahim Siyasiyah li Hizb ut-Tahrir, ideologi kapitalisme yang dipelopori oleh negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat bukan sahaja gagal memberikan keadilan sejagat, malah menjadikan kekuatan negara mereka sebagai alat untuk menguasai dan menindas negara lain. Hegemoni AS adalah manifestasi nyata dari kerosakan sistem antarabangsa pada hari ini — satu sistem yang memerlukan penggantian menyeluruh dengan sistem yang berasaskan wahyu, bukan kepentingan elit kapitalis. Kembalinya kekuasaan Islam melalui penegakan Khilafah Rasyidah adalah satu-satunya jalan yang dapat menghentikan kerosakan yang ditinggalkan oleh tangan-tangan penjajah.

Penutup

Atas dasar itulah, lawatan Setiausaha Negara AS ke Malaysia tidak boleh dipandang remeh dan mesti diwaspadai oleh umat Islam. Pemerintah memang khianat apabila menerima lawatan ini, apatah lagi di saat tangan AS masih berlumuran dengan darah penduduk Gaza hasil bom-bom mereka. Pemerintah ini bukan sahaja sudah tidak tahu malu dan tidak ada maruah, malah merasa bangga dan merasa dirinya hebat apabila dikunjungi oleh si kafir penjajah ini. Justeru, kita bukan sahaja wajib menolak AS dengan segala agendanya, tetapi juga wajib menolak pemerintah yang berkiblatkan AS atau bersahabat dengan AS. Kita wajib menolak para pemerintah yang khianat ini, dan wajib berusaha menggantikannya dengan satu-satunya pengganti yang selayaknya untuk umat Islam, yang sekali gus akan menghancurkan hegemoni AS iaitu Khalifah dengan sistem pemerintahannya, Khilafah.

Rujukan dan pautan:

  1. Astro AWANI. (2014, April 26). NGO leaders to meet Obama on Sunday. Astro AWANI International. https://international.astroawani.com/malaysia-news/ngo-leaders-meet-obama-sunday-34734
  2. U.S. Navy. (2024, October 29). U.S. Navy, Marine Corps and Royal Malaysian Navy commence Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) Malaysia 2024.
    https://www.navy.mil/Press-Office/News-Stories/Article/3948697/us-navy-marine-corps-and-royal-malaysian-navy-commence-cooperation-afloat-readi
  3. DVIDS. (2024, July 3). Royal Malaysian Navy hosts RIMPAC 2024 partner nations.
    https://www.dvidshub.net/image/8514695/royal-malaysian-navy-hosts-rimpac-2024-partner-nations
  4. U.S. Embassy Malaysia. (n.d.). Office of Defense Cooperation – IMET programme.
    https://my.usembassy.gov/office-of-defense-cooperation/
  5. Mafahim Siyasiyah li Hizb ut Tahrir

https://mykhilafah.com/wp-content/uploads/hizb_ebook/konsepsi-politik-ht-edisi-3.pdf