LPG Bersubsidi: Penstrukturan atau Perampasan Hak Rakyat?
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini menjelaskan bahawa larangan penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi 14kg kepada premis perniagaan bukanlah dasar baharu. Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, garis panduan tersebut telah berkuat kuasa sejak 2021 dan larangan itu hanya melibatkan peniaga yang menggunakan LPG subsidi secara tidak sah, bukan pengguna domestik yang layak.
Terkait dengan LPG, Peraturan 2021 itu menggariskan bahawa penyimpanan dan penggunaan tong LPG melebihi 42 kilogram iaitu melebihi 3 tong 14 kilogram pada satu-satu masa memerlukan kepada permit barang kawalan. Pihak kementerian menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak menggunakan silinder LPG melebihi 3 tong 14 kilogram iaitu melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tidak perlu khuatir kerana mereka tidak tertakluk kepada peraturan untuk memohon permit barangan kawalan berjadual.
Apa pun penjelasan yang diberikan oleh Kementerian, dalam realiti yang dirasai oleh peniaga restoran khususnya dan masyarakat umumnya, dasar ini menambah beban dan menzahirkan wajah sebenar dasar kerajaan yang menindas rakyat atas nama “penstrukturan subsidi”.
Pihak Kementerian melancarkan Ops Gasak bertujuan membanteras ketirisan subsidi LPG di mana dua fokus utama operasi ini adalah pertama, mengekang penggunaan tong/silinder LPG bersubsidi oleh sektor industri dan komersial. Kedua, membanteras penyelewengan melalui aktiviti decanting.
Penjelasan Menteri bahawa subsidi hanya diberi untuk kegunaan isi rumah adalah pengasingan teknikal yang mengabaikan realiti sosio-ekonomi, di mana kerajaan gagal memahami atau pura-pura tidak memahami bahawa peniaga-peniaga restoran juga merupakan sebahagian daripada rakyat yang sepatutnya dibela dilayan sama rata, bukan ditekan.
Bukankah mereka juga rakyat yang menyumbang kepada ekonomi setempat? Dasar kerajaan seperti ini hanya menguntungkan para kapitalis pembekal gas, dan memberi ruang kepada syarikat pengeluar untuk terus mengaut keuntungan dengan perlindungan dasar kerajaan.
Kerajaan cuba mempertahankan tindakan ini dengan alasan ketirisan dan penyasaran semula subsidi. Namun, “penyasaran” ini seringkali menjadi kata lunak kepada penarikan subsidi secara berperingkat, yang akhirnya menjadikan keperluan asas sebagai beban kewangan tambahan kepada sesetengah golongan rakyat.
Apabila terpaksa membayar harga LPG yang melambung, pengusaha restoran tentunya berhadapan dengan dilema, samada untuk menaikkan harga jualan dan berisiko kehilangan pelanggan, atau mengekalkan harga jualan dan menanggung kerugian serta berkemungkinan untuk gulung tikar. Manakala di pihak pengguna pula, akan turut menanggung kesannya apabila harga makanan dinaikkan.
Sebagai Muslim, kita seterusnya harus melihat isu LPG ini dari sudut pandang Islam, dan perbezaannya dengan sistem kapitalisme. Dalam kapitalisme, LPG dijadikan komoditi untuk mengaut keuntungan, yang boleh diperjual-belikan, disubsidi secara terhad, atau diserahkan kepada mekanisme pasaran. Dalam Islam, LPG yang merupakan sebahagian daripada sumber alam, adalah termasuk dalam al-milkiyyah al-ammah (hak milik umum) yang tidak boleh dimiliki, dimonopoli atau dijadikan alat mengaut keuntungan oleh kerajaan, syarikat atau mana-mana individu. Sabda Rasulullah (saw):
الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِى ثَلاَثٍ فِى الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ
“Kaum Muslimin bersekutu dalam tiga perkara (iaitu air, padang ragut dan api, dan (mengambil) harganya adalah haram” [HR Ibnu Majah].
“Api” dalam konteks hari ini meliputi sumber tenaga seperti elektrik, minyak dan gas. Bagi al-milkiyyah al-ammah, adalah menjadi tanggungjawab negara untuk memastikan kesemua sumbernya diagih secara adil dan mampu diakses oleh rakyat, tanpa mengira bangsa, jantina, status sosial, pekerjaan dan sebagainya. Dengan kata lain, baik pelajar, penganggur, peniaga kecil, peniaga besar dan lain-lain, al-mlikiyyah al-ammah mesti diagihkan oleh pemerintah secara adil tanpa diskriminasi.
Sebagai al-milkiyyah al-ammah, kerajaan bukan sekadar tidak boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan, tetapi tidak boleh menjualnya dengan harga yang berbeza dalam kalangan rakyat. Al-milkiyyah al-ammah merupakan harta milik rakyat yang wajib diagihkan oleh kerajaan secara adil dan saksama kepada semua rakyat, bukannya mendiskriminasi rakyat atas nama penstrukturan atau penyasaran subsidi, membanteras ketirisan dan sebagainya.
Dalam Islam, tanpa mengira miskin atau kaya, pengusaha restoran atau pengguna, setiap rakyat wajib diberikan hak ke atas al-milkiyyah al-ammah secara adil dan saksama. Peranan negara adalah menjaga rakyat dan memulangkan kesemua keuntungan daripada al-milkiyyah al-ammah kepada rakyat. Negara bukannya sebuah entiti korporat yang menjual semula harta rakyat kepada rakyat sendiri, tetapi sebagai penjaga amanah yang mengurus kekayaan umum untuk manfaat rakyat.
Jika ada jurang kemiskinan antara miskin dan kaya yang ketara dalam negara, maka menjadi tanggungjawab negara untuk memastikan jurang ini diperbaiki atau dihapuskan, tetapi bukan dengan cara mendiskriminasi rakyat dengan ketidakadilan dalam pengagihan al-milkiyyah al-ammah. Manakala jika ada rakyat yang melakukan apa-apa kesalahan terhadap al-mlikiyyah al-ammah, yang bersalah itu sahajalah yang wajib dihukum, tetapi bukannya dengan mengenakan “hukuman” secara purata ke atas semua orang atas nama penstrukturan atau penyelarasan subsidi, yang hakikatnya telah merampas hak rakyat.
Negara Islam (Khilafah) akan memastikan bahawa sektor tenaga dan sumber asli diuruskan untuk kesejahteraan umat, bukan keuntungan segolongan elit pemerintah atau kroni mereka. Sumber kekayaan negara wajib dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi sebenar, perkhidmatan asas, dan pembangunan menyeluruh, bukan melalui mekanisme pasaran yang menyamar sebagai “penstrukturan subsidi”.
Apa yang digambarkan sebagai reformasi ekonomi atau penyasaran subsidi oleh pemerintah pada hari ini, hakikatnya adalah usaha mengaut hak rakyat sedikit demi sedikit. Isu LPG ini bukanlah kes terpencil, tetapi satu lagi bukti betapa sistem kapitalis telah menjadikan pemerintah sebagai entiti korporat penghisap darah, dan bukannya pemelihara rakyat.
Maka, penyelesaian sebenar bukanlah dengan menampal kebocoran atau ketirisan dalam sistem ini, tetapi membuang sistem yang rosak dan bertentangan dengan Islam ini, lalu menggantikannya dengan sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan sebenar – sistem Islam yang berlandaskan wahyu dan dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa.
Wallahu a’lam.