Mahathir kecewa, rakyat lagi kecewa

Gambar UL 010515“Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya “menyerang” Dato’ Sri Najib. Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli UMNO tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan UMNO, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU,” jelas Tun Mahathir dalam blognya chedet.cc. Ini merupakan tulisan terbaru mantan Perdana Menteri itu dalam siri “peperangan”nya dengan Najib.

Boleh dikatakan dalam setiap ceramahnya kini, Mahathir akan mengambil peluang menghentam Najib dan meluahkan kekecewaannya di atas kegagalan demi kegagalan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia itu. Mahathir bolehlah disifatkan sebagai “bapa” kepada ahli-ahli UMNO, termasuk Najib, tetapi kekecewaan yang ditunjukkan oleh Mahathir lebih dari kekecewaan seorang bapa. Kalau boleh, mungkin Mahathir tidak mahu mengaku Najib sebagai anak, kerana Najib telah merosakkan keluarga UMNO yang dibinanya sejak sekian lama.

“Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli UMNO biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion Ringgit oleh Dato’ Sri Najib. Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap “serangan” saya. Apakah saya sedang merosakan parti atau mencuba menyelamatkanya,” tulis Mahathir.

Mahathir mengakui bahawa semasa beliau menaikkan Najib dulu, ia adalah bertujuan membalas jasa Tun Abdul Razak yang telah menaikkan beliau sebagai Perdana Menteri. Sejak akhir era pemerintahannya hingga kini, Mahathir memang kelihatan agak emosi. Mungkin kerana sayangnya pada UMNO melebihi segala-galanya, maka emosi tidak dapat dipisahkan darinya. Ramai ahli sayang pada UMNO hanya kerana pangkat dan projek, tetapi Mahathir mungkin lebih dari itu sehingga beliau tidak rela melihat UMNO berkubur. Tetapi ramai seterunya mendoakan agar UMNO berkubur tatkala Mahathir masih hidup agar bekas Perdana Menteri yang paling lama memerintah itu dapat menyaksikan sendiri kehancuran yang dibinanya.

Antara “ukuran” kerosakan UMNO pada pandangan Mahathir ialah prestasi yang buruk semasa pilihan raya dan pelbagai penyelewengan, skandal dan salah tadbir yang dilakukan oleh pemimpin parti perkauman Melayu terbesar itu. Itu semua menyebabkan rakyat menolak UMNO. Persoalannya, apakah UMNO dulu tidak rosak di era Mahathir, tidak ada skandal, penyelewengan mahupun salah tadbir? Jika dulu teknologi maklumat tidak sehebat sekarang, maka banyak perkara yang tidak tersebar kepada rakyat. Kini dunia semuanya di hujung jari sehingga apa jua yang dikatakan atau dilakukan oleh pemimpin UMNO, kanak-kanak sekolah pun akan mengetahuinya. Lihat sahaja Ahmad Maslan dan GST-nya, yang menjadi bahan kemarahan, di samping bahan ketawa hingga ke sekolah rendah!

Sesungguhnya rosaknya UMNO bukan semata-mata kerana penyelewengan, skandal dan seumpamanya, tetapi kerana parti ini memperjuangkan assabiyyah (perkauman) yang diharamkan oleh Islam. Rosaknya UMNO ialah kerana ia tidak berhukum dengan hukum Allah dalam pemerintahan. Selain dipupuk dengan perkauman Melayu yang haram, ahli-ahli UMNO tidak dididik dengan asas Islam, tetapi dididik dengan asas manfaat. Kerana itu, tidak ada seorang pun yang masuk UMNO kecuali kerana ingin mendapatkan manfaat. Lagi besar jawatan dalam parti, maka lagi besarlah manfaat yang bakal diperolehi, Inilah didikan UMNO sejak dulu, kini dan mungkin selamanya. Kerana itulah, parti Melayu ini semakin tidak diterima, apatah lagi apabila ada dalam kalangan ahli-ahlinya yang sudah sedar dan bertaubat dan ingin kembali kepada Islam.

Apa yang wajib dijadikan kayu ukur dalam menilai kerosakan UMNO adalah “hukum syarak.” Kesemua tindakan Najib atau Mahathir mahupun kesemua pemimpin dan ahli UMNO, ia akan dinilai rosak dan merosakkan apabila bertentangan dengan syarak. Kekecewaan Tun Dr. Mahathir Mohamed terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya bersifat emosi kerana sayangkan UMNO, tetapi hendaklah kerana sayangkan Islam. Setiap kritikan atau muhasabah wajib dilakukan atas dasar Islam, bukan atas dasar sayangkan UMNO.

Sebenarnya kekecewaan umat Islam terhadap Najib dan UMNO jauh lebih hebat dari kekecewaan Mahathir terhadap Najib dan UMNO. Kita selaku umat Islam sungguh kecewa dengan Najib, Mahathir dan UMNO kerana tidak menerapkan Islam dalam pemerintahan. Jika rakyat menderita di Malaysia, ia adalah kerana UMNO tidak menerapkan Islam. Jika pemimpin UMNO kaya raya sedangkan rakyat papa kedana, ia adalah kerana UMNO tidak menerapkan Islam. Jika banyaknya kes jenayah dan maksiat di Malaysia, ia adalah kerana UMNO tidak menerapkan Islam. Pendek kata, segala kerosakan dan kemaksiatan yang berlaku, ia tidak boleh dipisahkan dari UMNO yang menerapkan hukum kufur dan mencampakkan hukum Islam dari pemerintahan! Sungguh, rakyat sungguh kecewa dengan Najib, Mahathir dan UMNO yang selama ini tidak menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan negara.

Yakin dan percayalah bahawa pemimpin dan negara akan terus rosak apabila Islam tidak diterapkan. Buktinya di depan mata!!!