Mahathir Terus Takutkan Bangsa Melayu
KUALA LUMPUR – Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.
“Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.
“Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita,” katanya ketika berucap pada wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di Memorial Tun Hussein Onn di sini, semalam. Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.
Dr Mahathir berkata, kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya Pas, sebagai parti serpihan UMNO. “Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada UMNO) menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR.
“Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang berpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita,” katanya.
Menurutnya, ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.
“Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu ‘identify’ diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang ‘tongkat’, hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang,” katanya.
Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.
“Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah. “Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku,” kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.
Sumber: Sinar Harian 02/02/11
Mahathir Terus Takutkan Bangsa Melayu
Sampai bila agaknya umat Islam di Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu akan terus ditakut-takutkan dan digertak dengan isu perpecahan, penguasaan bangsa asing dan pelbagai lagi mitos yang cuba digunakan oleh tokoh politik sekular Malaysia, Mahathir. Tujuan beliau itu tidak lain hanya untuk memastikan orang Melayu terus bersatu di bawah UMNO dan menyokong serta memastikan parti sekular itu tetap berkuasa untuk kesekian kalinya. Bagi yang dapat melihat dengan mata hati, pasti akan merasa bahawa umat Islam kini semakin lama semakin jauh dari Islam yang akhirnya mengakibatkan perpecahan hasil dari penerapan sistem kufur sekular demokrasi yang diketuai oleh UMNO. Apakah Mahathir lupa dan lengah dengan tuntutan untuk bersatu dalam ajaran Islam yang sepatutnya difahami dan dipraktikkan oleh umat Islam iaitu kewajiban bersatu di bawah kuasa politik Islam dan berpegang teguh kepada Islam sebagaimana firman Allah SWT: “dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 103].
Ayat di atas secara jelas menyentuh persoalan penyatuan dengan tuntutan agar berpegang teguh kepada Islam dan al-Quran serta ancaman azab neraka bagi mereka yang tidak melakukannya. Sedarkah Mahathir bahawa sistem demokrasi yang pernah dianggap oleh beliau sebagai sistem yang terbaik, yang kini diamalkan di kebanyakan negeri umat Islam termasuklah Malaysia dan pernah dipakai oleh beliau sendiri kini telah menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam sendiri. Perpecahan ini nampaknya semakin lama semakin parah dan membarah sedangkan sirah Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bahawa baginda sebagai seorang ahli politik yang hebat, dengan jayanya telah menyatukan Aus dan Khazraj dan seterusnya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar hanya dengan satu kalimah tauhid dan dengan sebuah negara Islam yang didirikan di Madinah. Negara ini terus berkembang sehingga Islam berjaya menyatukan manusia yang ketika itu terdiri dari pelbagai warna kulit, bahasa dan geografi sehingga dapat menguasai dua pertiga dunia. Inilah suatu fakta yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.
Wahai seluruh umat Islam! Yakinlah bahawa umat Islam hari ini tidak akan dapat bersatu jika mereka masih tegar tidak mahu mengikuti kejayaan sebagaimana kejayaan generasi yang terdahulu. Untuk itu bagi menyatukan umat Islam termasuklah orang Melayu yang beragama Islam, bukanlah dengan perjuangan ashobiyyah. Tidak juga dengan sistem demokrasi. Satu-satunya jalan dan formula bagi menyatukan kembali seluruh umat Islam di dunia saat ini adalah dengan mengembalikan semula Khilafah sebagai institusi yang akan berperanan dan berfungsi untuk mempersatukan ummah. Kejayaan dan kegemilangan Khilafah yang pernah memayungi dunia selama lebih 1330 tahun telah cukup membuktikan kemampuan dan keupayaan Islam sebagai satu sistem kehidupan yang sempurna untuk manusia. Ini jauh berbeza dengan demokrasi kapitalisme yang telah membawa perpecahan kepada dunia amnya dan umat Islam khususnya sedangkan usianya belumpun mencapai 100 tahun. Untuk itu wahai umat Islam, janganlah kita mudah tertipu dengan permainan politik sekular yang cuba menimbulkan “kegusaran” sedangkan hakikatnya bukan itu yang seharusnya menjadi fokus kaum Muslimin di Malaysia dan di seluruh dunia Islam.