Mahkamah Khas Dan ISA Tetap Zalim

 
altMahkamah khas ganti ISA

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar hari ini mencadangkan penubuhan mahkamah khusus yang berfungsi seperti Mahkamah Khas untuk raja-raja bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani ancaman keselamatan.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang baru yang lebih adil, tegas dan menjamin hak asasi manusia perlu digubal bagi mengambil alih peranan ISA termasuk memansuhkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang tanpa melalui proses mahkamah.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Tampal Sulam Negara Sekular Adalah Biasa

Aktiviti tampal sulam dalam sebuah negara sekular adalah satu perkara yang biasa terjadi. Jika hari ini ramai yang menganggap ISA sudah tidak lagi relevan, maka Mahkamah Khas akan dijadikan sebagai alternatif untuk menggantikannya dengan sedikit modifikasi. Di masa hadapan, Mahkamah Khas ini pula akan dianggap sebagai tidak relevan seperti mana yang terjadi dengan ISA pada saat ini. Hakikatnya, perundangan apa pun yang ‘dicetak’ dalam perlembagaan sekular, ia tetap lemah dan rapuh kerana dicipta oleh akal-akal manusia yang terbatas. Ini bukan hanya terbatas pada ISA sahaja, malah terhadap kanun-kanun lain yang sudah tidak lagi relevan ketika zaman beredar dan tampuk pemerintahan pula silih berganti wataknya. Bukankah begitu?

Di dalam Islam, manusia akan dihukum dengan keadilan yang sama, berdasarkan ketentuan yang telah ditetapkan oleh As-Syaari’ (Pembuat Hukum). Mahkamah di dalam Islam terdiri dari tiga jenis iaitu, (1) Qadhi Khusumat, (2) Qadhi Muhtasib/Hisbah dan (3) Qadhi Mazhalim (baca selengkapnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/264-sn066-ombudsman-vs-sistem-mahkamah-daulah-islam) – tidak ada jenis mahkamah yang lain. Walau apa pun mahkamah yang dibentuk, direka dan dicipta di luar dari ketentuan syara’ maka ia tetap suatu kebatilan.

Adapun apa yang disebutkan oleh Dr. Chandra, “… dalam Islam sendiri pesalah atau suspek diberi ruang membela diri atau dibicarakan”, perlulah diperjelaskan bahawa Mahkamah Khas yang ingin dibentuk ini, meskipun memikul elemen ‘bela diri’ dan ‘pembicaraan’, ia adalah tetap berpandukan hawa nafsu manusia yang terus terikat dengan perlembagaan sekular. Sebaliknya, Mahkamah Islam berjalan atas asas wahyu Ilahi yang tiada cacat celanya. Dan ini adalah keadilan yang hakiki!

Wahai Manusia Yang Berakal!

Walau apa pun tindakan yang kalian lakukan, selagi mana ia tidak disandarkan pada nas Al-Quran dan As-Sunnah, maka tindakan tersebut adalah zalim dan pelakunya bermaksiat kepada Allah SWT. Allah berfirman:

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45]