Majlis Iftar Bersama Syabab Hizbut Tahrir Johor Baharu

Pontian, 06 Sept 2009 – Hizbut Tahrir Malaysia (Kawasan JB) dengan kerjasama AJK Surau Haiya Usolah, Parit Tengah Benut, Pontian telah mengadakan Tazkirah Ramadhan dan pemberian sumbangan di surau tersebut sempena sambutan Ramadhan 1430H kali ini. Majlis tazkirah ini dimulai dengan Solat Asar secara berjemaah di antara syabab Hizbut Tahrir dan penduduk kampung setempat, seterusnya disusuli dengan pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Abdul Rashid Muhammad. Beliau menyampaikan tazkirah yang bertajuk “Ramadhan Penentu Perubahan Hakiki”.
 
Dalam kesempatan ini, sebelum beliau membicarakan tajuk yang hendak dibentangkan, beliau telah memperkenalkan dengan jemaah surau  perihal gerakan Hizbut Tahrir. Alhamdulillah, kebanyakan penduduk kampung yang sebelum ini tidak mengetahui gerakan politik ini mula mengenalinya. Setelah itu, beliau meneruskan tazkirahnya dengan menjelaskan tujuan Allah SWT menyediakan Bulan Ramadhan kepada kaum Muslimin. Penekanan yang beliau sampaikan berdasarkan ayat Al-quran di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, Ramadhan sebenarnya melahirkan individu Muslim yang bertaqwa di samping membentuk keperibadian Muslim selari dengan keperibadian yang ditunjukkan oleh Rasullullah saw dan para sahabat.
 
Beliau juga menegaskan bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan yang menghalangi umat Islam itu daripada melakukan sebarang aktiviti dakwah, sebaliknya pada bulan inilah aktiviti dakwah itu mekar dan berkembang melalui jihad sepertimana yang ditunjukkan di dalam Sirah Rasullullah saw dan para sahabat. Selain daripada itu, beliau juga menerangkan bahawa Al-quran itu diturunkan di bulan yang penuh berkah ini sebagai petunjuk dan pembeza antara yang haq dan batil. Oleh yang demikian, sekali lagi beliau menyatakan dan memberi penekanan bahawa Al-quran itu diturunkan bukan untuk perhiasan semata-mata tetapi seharusnya difahami dan diterapkan di dalam kehidupan seharian kaum Muslimin.
 
Namun, hakikatnya dewasa ini umat Islam sudah tidak lagi mengaplikasikan ayat-ayat Al-quran tersebut sebaliknya menggunakan hukum-hukum yang berasal dari ideologi selain Islam. Natijahnya, sepertimana yang dibahaskan penceramah umat Islam berada di dalam kehinaan dan kemunduran. Di penghujung tazkirah ini, Saudara Abdul Rashid menyeru kepada kaum Muslimin seluruhnya dan jemaah surau khususnya supaya sedar dan bangkit untuk meletakkan semula umat Islam itu pada kedudukan sesuai dengan ayat Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110. Caranya adalah dengan menyeru kepada Islam, memerintah yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar yang dalam erti kata yang mudah, umat Islam hendaklah “berdakwah”.
 
Selesai penyampaian tazkirah, majlis menjemput Saudara Norazman sebagai wakil pimpinan pusat Hizbut Tahrir Malaysia untuk memberikan ucapan. Sekali lagi beliau memperkenalkan Hizbut Tahrir kepada penduduk kampung dan menyeru kepada jemaah surau bersama menyokong perjuangan Khilafah yang dibawa oleh Hizbut Tahrir agar syariah dapat ditegakkan secara kaffah. Majlis kemudian disambung dengan penyampaian sumbangan kepada 10 keluarga fakir miskin dari kampung tersebut dan kampung sekitarnya. Sumbangan daripada syabab Hizbut Tahrir Malaysia (JB) disampaikan melalui wakilnya Saudara Norazman dan Hj. Tarmizi. Sebelum Majlis berbuka beramai-ramai dengan penduduk kampung, tayangan “Sejarah Islam di Nusantara” dipertontonkan kepada masyarakat setempat.

 

alt

alt

alt