Majlis Iftar – HTM Bersama Umat Di Khilafah Centre

Ahad 30 Ogos – Majlis iftar bersama umat dianjurkan oleh Syabab HTM bertempat di Khlifah Centre, Bandar Baru Bangi, mendapat sambutan sehingga memenuhi ruang utama dengan juadah yang disediakan .

Bermula dari jam 6 petang Khilafah Centre menerima kunjungan dari hadirin dan sebelum iftar, syabab HTM beramah mesra serta berkenal-kenalam bersama tetamu-tetamu yang hadir, dari sekitar kawasan Bangi, dan ada juga dari Johor dan Perak. Seorang Muslim dari Nepal dan muallaf juga turut serta.

Setelah jam menunjukkan tepat masanya, doa dimulakan untuk sesi berbuka. Alhamdullilah suasana ukhwah begitu terasa. Setelah selesai iftar, semua yang hadir menunaikan Maghrib berjemaah dan diikuti dengan sedikit tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Umar Husein bertajuk Ramadhan untuk Pendakwah.

Ustaz Umar menjelaskan, untuk merebut pahala yang ada di bulan Ramadhan, bukan hanya sekadar melakukan aktiviti spritual sahaja tetapi aktiviti politik termasuk memuhasabah pemimpin perlu dilakukan demi menegakkan agama Allah. Bulan Ramadhan memahat bukti akan sejarah yang telah melakarkan banyak pembukaan Kota serta peperangan –peperangan yang dilakukan oleh Umat Islam dalam meninggikan syiar Islam.

Di bulan-bulan Ramadhan dahulu, bendera Islam berkibar di medan jihad di seluruh pelusuk dunia. Namun, kita amat berdukacita semenjak Ramadhan setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah di mana Ramadhan yang berlangsung tidak lagi diamalkan sebagaimana dahulu. Islam masih tetap terkebelakang dan hukumnya sering diperlekeh oleh golongan pemerintah. Contoh terbaru di dalam kes Kartika yang mana hukuman sebat 6 rotan dijatuhkan ke atasnya kerana meminum arak, dan hukuman ini dikatakan ‘syariah’. Inilah perlecehan hukum oleh pemerintah yang bergelar Muslim. Walhal di dalam Islam, hukuman bagi peminum arak adalah 40 atau pun 80 sebatan, tegas Ustaz Umar lagi.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa kekuasaan Islam yakni Daulah Khilafah akan kembali, yang akan menerapkan hukum syarak ke atas seluruh warganya dan Ramadhan kala itu barulah benar-benar bermakna untuk kita semua dan saat itu bergembiralah orang-orang yang berjuang serta berusaha menegakkannya..

Melihat kepada para hadirin yang begitu kusyuk mendengar tazkirah, terpancar kesungguhan serta motivasi yang akan dijadikan sandaran. Setelah  selesai, para hadirin terus  solat Isyak berjemaah dan seterusnya solat tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Sulaiman Hasan.

Majlis disudahi ucapan terimakasih dari pengelola Majlis Ustaz Abu Syahid serta beliau mengalu-alukan kedatangan tetamu dalam mengimarahkan pusat dakwah  tersebut di lain masa. Majlis tamat pada jam 10.45 malam.

alt

alt

alt