Majlis Iftar Ramadhan syabab HTM bersama ahli qaryah Surau An Nur Subang Suria

Pada 6 Ramadhan 1429H, bersamaan 6 September 2008, syabab Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) beserta dengan AJK Surau An Nur Subang Suria mengadakan Majlis Iftar Ramadhan secara bersama- sama dengan ahli qaryah surau. Meskipun hujan lebat di petang hari tersebut menyebabkan ramai yang terkandas dan tersangkut dalam kesesakan lalulintas di Bandar Baru Sungai Buloh, namun ia tetap tidak mematahkan semangat para peserta dan AJK majlis untuk meneruskan program seperti yang dirancangkan. Program bermula apabila dilaungkan azan Maghrib menandakan masuknya waktu berbuka. Para qaryah surau dan syabab HTM sama- sama menikmati juadah ringan berupa kurma dan minuman, sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjamaah. Selesai solat Maghrib, jamuan berat disediakan untuk semua peserta majlis iftar tersebut. Selain itu, pemeran Khilafah turut diadakan oleh para syabab HTM dan sambutan daripada penduduk setempat sangat menggalakkan.

Selesai solat Isyak dan tarawikh berjamaah yang diimami oleh Imam Surau, Imam Ali, tazkirah ringkas diadakan. Tazkirah tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Presiden HTM, Ustaz Umar Hussien dan penyampai tazkirah pula ialah Ustaz Ahmad Mustafa dan Dr. Muhammad. Dalam tazkirah tersebut, kedua- dua penyampai menegaskan bahawa pentingnya bagi umat Islam melaksanakan seluruh aturan Islam secara kaffah, dan bukannya hanya ibadah puasa di bulan Ramadhan sahaja. Selain itu, mereka turut menegaskan bahawa umat Islam wajib bersatu di bawah satu entiti politik agung bagi seluruh umat Islam, iaitu Khilafah.

Program berakhir lebih kurang pada pukul 11.15 malam dan sedikit jamuan moreh disediakan. Di sini, HTM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis ini, terutamanya kepada Pengerusi Surau An Nur, En Subhi, AJK Surau, Ustaz Ahmad dan Tuan Imam Hj Mokhtar serta seluruh ahli qaryah Surau An Nur. Semoga kesedaran yang diperoleh daripada majlis seumpama ini akan dapat diteruskan disurau- surau atau masjid- masjid lain dan seterusnya menjadi momentum kepada seluruh umat Islam, khususnya di Malaysia agar bersama- sama berjuang dalam mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan Khilafah.