Pemimpin Bermewah Ketika Umat Menderita
Majlis perkahwinan anak Sultan Brunei yang berlangsung dengan penuh kemewahan baru-baru ini menjadi perhatian seluruh dunia. Pernikahan tersebut yang berkonsepkan tatahan emas tentunya menelan belanja yang tak terhitung jumlahnya. Tidak ketinggalan juga kemewahan majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Malaysia yang berlangsung sebelum itu yang tak kurang kalahnya.
Tidak kiralah majlis perkahwinan siapa yang lebih mewah, pokoknya kita perlu melihat sikap penguasa umat Islam yang boros dan menghamburkan harta tatkala umat Islam dihimpit dengan pelbagai masalah, termasuklah kemiskinan dan kebuluran, di seluruh dunia. Mereka membakar wang semahunya tatkala umat Islam mengerah setiap tenaga dan keringat untuk mendapatkan sekeping wang bagi menafkahkan diri dan keluarga. Inilah secebis ‘kehebatan’ pemimpin hari ini yang dikelilingi dengan kehidupan yang penuh kemewahan.
Sungguh jauh sikap pemimpin hari ini berbanding dengan pemimpin umat Islam terdahulu, Khalifah Umar Al Khattab RA sebagai contoh, yang terus menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota maharaja Parsi di mana beliau berkata;
“Sesungguhnya aku takut perkara-perkara inilah (harta) yang akan menjauhkan kita dengan Allah.”
Sang Khalifah pernah memberi nasihat kepada walinya, Abu Musa al-Asy’ari,
“Penguasa yang paling bahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia dengannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka dengannya. Ingat, jangan hidup mewah, kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Perbandingan kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya, kerana ia akan disembelih untuk dimakan” [Abu Yusuf].
Jika kita melihat secebis penderitaan umat Islam seperti di kem pelarian Yarmouk (kem pelarian Palestin terbesar di Syria), dengan hampir 20,000 pelarian menjalani kehidupan yang sangat terdesak, kekurangan makanan dan bekalan perubatan dan tiada seorang pemimpin pun yang menghantar bantuan bagi menyelesaikan masalah kebuluran yang semakin parah di kem tersebut. Inilah antara pengkhianatan para pemimpin umat Islam hari ini yang terus membiarkan umat Islam menderita dan terbunuh walhal dalam masa yang sama mereka ditenggelami dengan kemewahan.
Sekiranya jutaan wang yang dihamburkan untuk majlis perkahwinan anak-anak pemimpin ini disalurkan untuk membantu umat Islam yang memerlukan, sudah pasti dapat menyelamatkan jutaan umat Islam dan mengeluarkan umat dari pelbagai penderitaan. Malah jika kita himpunkan kekayaan milik seluruh para pemimpin umat Islam yang ada hari ini, kita yakin ia lebih dari cukup untuk menyelesaikan segala masalah.
Namun kita yakin yang pemimpin ini tidak akan berbuat demikian. Inilah bahana ideologi dan sistem Kapitalisme yang menjadi anutan penguasa Muslim ketika ini. Hukum-hakam Islam diabaikan dan persaudaraan yang berdasarkan akidah Islam juga diabaikan. Segala kekayaan negara yang sepatutnya digunakan untuk kemaslahatan umat, dikaut semuanya oleh penguasa ini dan setitik dua sahaja yang diberikan kepada umat.
Hanya dengan sistem Khilafah di bawah kepimpinan seorang Khalifah yang akan menyelamatkan umat Islam dan seterusnya memberikan kesejahteraan kepada seluruh dunia apabila aturan negara dan kehidupan diatur dengan syariat Islam sepenuhnya.
Wallahu a’lam.