Malapetaka 100 Tahun Tanpa Khilafah (Siri 2)

Malapetaka 4: Munculnya pemerintah dari golongan Ruwaibidhah dan Sufaha’

Rasulullah (saw) bersabda,

سَيَأْتِيَ عَلَى الناَّسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيْهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيْهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيْهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيْهَا الأَمِيْنُ وَيَنْطِقُ فِيْهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيْلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ [رواه الحاكم 465]

“Akan tiba pada manusia tahun-tahun penuh kebohongan. Saat itu para pendusta dianggap jujur. Orang jujur dianggap pendusta. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu yang banyak berbicara adalah Ruwaibidhah.’ Ada yang bertanya, ‘Siapakah Ruwaibidhah?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Orang bodoh yang mengurusi urusan orang ramai’’ [HR al-Hakim].

Dalam riwayat lain juga disebutkan  bahawa Rasulullah (saw) pernah bersabda kepada Ka’ab bin ‘Ujrah,

أعاذك الله من إمارة السفهاء قال وما إمارة السفهاء قال أمراء يكونون بعدي لا يقتدون بهدي ولا يستنون بسنتي ومن صدقهم بكذبهم وأعانهم على ظلمهم فأولئك ليسوا مني ولست منهم ولا يردوا علي حوضي ومن لم يصدقهم بكذبهم و لم يعنهم على ظلمهم فأولئك مني وأنا منهم وسيردوا علي حوضي ]رواه أحمد[

“Semoga Allah melindungi dirimu daripada kepemimpinan orang-orang bodoh.’ Ka’ab bin Ujrah bertanya, ‘Apa itu kepemimpinan orang-orang bodoh?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Para pemimpin yang datang setelahku, yang tidak berpetunjuk dengan petunjukku dan tidak berpedoman dengan sunnahku. Maka barangsiapa membenarkan pembohongan mereka dan membantu kezaliman mereka, maka mereka bukan sebahagian dariku dan aku pun bukan sebahagian dari mereka dan mereka tidak akan mendatangiku di telagaku (di hari kiamat). Barangsiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka mereka sebahagian dariku dan aku pun sebahagian dari mereka dan mereka akan mendatangiku di telagaku.“ [HR Ahmad]

Kini kita dapat saksikan hal ini di seluruh negeri kaum Muslimin, termasuklah di negara kita. Umat Islam sudah pasti dapat menilai sendiri apa yang dibicarakan oleh pemerintah mereka, samada pemerintah ini termasuk dalam kalangan Ruwaibidhah dan Sufaha’ (bodoh/dungu) seperti yang dinyatakan oleh hadis-hadis Nabi (saw) tersebut, atau tidak. Hakikatnya, umat Islam mengetahui bahawa para pemerintah ini, memerintah dan mengatur rakyatnya, seperti orang yang tidak berakal dan hilang pedoman. Mereka berbicara seperti orang yang tidak berpendidikan dan mereka mengatur rakyat dengan penuh kebodohan.

Hasilnya, umat Islam ditimpa kerugian, terkebelakang, dan tidak mampu untuk bangkit, selain terpaksa menanggung penderitaan dan kesengsaraan akibat kezaliman pemerintah tersebut. Kedunguan para pemerintah ini tidak pernah kunjung reda, bahkan bersilih ganti dari seorang ke seorang yang lain. Selama mana mereka tidak memerintah dengan Kitabullah atau meninggalkan Sunnah Rasulullah (saw) dalam pemerintahan mereka, maka para pemerintah ini tetap merupakan Ruwaibidhah dan Sufaha’ siapa pun mereka, dan berapa banyak sekali pun bersilih gantinya mereka. Sejak runtuhnya Khilafah, dengan dukungan daripada kuffar Barat, golongan Ruwaibidhah dan Sufaha’ ini terus kekal di tampuk kekuasaan hingga ke hari ini.

Malapetaka 5: Umat Islam kehilangan jatidiri dan kewibawaan

Allah (swt) telah menjadikan umat Islam sebagai khaira ummah (umat terbaik), sebagaimana firman-Nya:

“Kalian adalah umat terbaik yang diutus untuk manusia, melakukan amar makruf nahi mungkar dan mengimani Allah” [TMQ Ali ‘Imran (3): 110].

Namun realiti yang menimpa umat Islam saat ini menunjukkan betapa umat ini bukanlah yang terbaik, bahkan menjadi umat yang terbelakang dan tertindas. Sementara itu, Barat dilihat sebagai pusat rujukan dan sumber ikutan baik dalam hal ketamadunan mahupun perkembangan sains dan teknologi. Barat juga dilihat terbaik dari banyak sudut seperti ketenteraan, persenjataan, kesihatan, pendidikan, pembangunan dan lain-lain.

Realitinya, umat Islam hidup di sebalik bayangan Barat kerana ketinggalan dalam banyak aspek. Apa yang lebih buruk dari itu ialah, umat Islam menjadikan Barat sebagai role model, dan mengambil hadharah serta cara hidup Barat, yang akhirnya menjadikan umat ini sebagai pengekor Barat, sekali gus menghilangkan maruah, jatidiri, kewibawaan dan kemuliaannya.

Atas alasan mengikuti kehebatan dan kemajuan menurut acuan Barat, maka segala tsaqafah kufur Barat, sistem, undang-undang dan idea-idea yang rosak dari Barat, telah diambil dan dijunjung tinggi oleh segelintir umat Islam. Dengan hilangnya ciri-ciri yang seharusnya melekat pada umat Islam, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah (swt), yang menjadikannya sebagai umat terbaik, maka status khaira ummah turut hilang dari umat Islam. Apa yang nyata, semua ini berlaku setelah kejatuhan Khilafah.

..bersambung

أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah