Malaysia Baharu: Ke Mana Hala Tuju Kita?
الإسلام يعلو ولا يعلى عليه
“Sesungguhnya, Islam itu adalah tertinggi. Dan, tiada yang lebih tinggi daripadanya” [Hadits hasan riwayat al-Baihaqi].
Memerhati keadaan politik Malaysia baru sekarang ini, kita sudah boleh sampai pada kesimpulan bahawa sistem demokrasi tidak menjadikan Islam berada pada kedudukan yang tertinggi, malah hak dan maruah umat Islam tidak terbela. Sudah wajar umat Islam berfikir di luar kotak demokrasi dan perlembagaan sekular yang ada.
Islam memiliki sistem terbaik untuk seluruh manusia, bukan untuk muslim sahaja. Sistem yang diwariskan oleh Nabi saw dan disambung oleh para sahabat radiallahu ‘anhum, itulah KHILAFAH DI ATAS JALAN KENABIAN. Cukuplah mereka yang memiliki kekuasaan dan pengaruh dalam masyarakat serta pandangan umum (ra’yul am) umat Islam menerima sistem tersebut.
Allah SWT berfirman:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” [TMQ Ali Imran (3):110].
Kita tidak memerlukan persetujuan orang kafir, munafiq mahupun fasiq untuk menerapkan syariah dan Khilafah. Orang bukan Islam di’paksa’kan untuk menerima sistem itu sebagaimana umat Islam dipaksa untuk menerima sistem pemerintahan secular pada hari ini. ‘Memaksa’ di sini bukan bererti mereka yang bukan Islam dipaksa untuk memeluk Islam. Mereka hanya diwajibkan tunduk kepada sistem pemerintahan Islam kerana hanya sistem Islam menjamin keadilan untuk umat manusia.
Ayuh para sahabat muslimin dan muslimat sekalian, janganlah berhenti berdakwah, janganlah putus asa berdakwah, janganlah rasa rendah diri berhadapan dengan politik Malaysia Baharu yang lebih liberal dan sekular ini.
Tetaplah istiqomah dalam berdakwah dan mengadakan perlawanan terhadap idea liberal dan sekular, sehingga Allah SWT memberi pertolongan dan kemenangan kepada kita ataupun Allah SWT memanggil kita pulang terlebih dahulu.
Umar Al Fateh Zaidan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia