Malaysia Hanyalah Biladul Muslimin
Darul Islam
Darul Islam atau Daulah Islam itu mestilah memiliki dua syarat utama iaitu: Pertama, keamanan wilayahnya berada sepenuhnya di tangan kaum Muslimin. Kedua, seluruh hukum-hakam yang digunakan untuk mengatur sistem kehidupan manusia dalam wilayah tersebut mestilah merupakan hukum Islam semata-mata, bukan hukum kufur ciptaan manusia. Maka, sesebuah negara yang dihuni oleh majoriti umat Islam belum layak disebut sebagai Darul Islam jika ia dikuasai oleh kekuatan ketenteraan orang-orang kafir. Begitu juga dengan wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, jika sistem kehidupan di wilayah itu tidak diatur dengan syariah Islam secara sepenuhnya, maka ia juga tidak tergolong sebagai Darul Islam. Singkatnya, Darul Islam adalah seluruh wilayah atau tempat yang dikuasai oleh Negara Islam, dilindungi oleh kekuatan ketenteraan Islam dan sekaligus diatur sepenuhnya oleh penerapan syariah Islam.
Biladul muslimin
Adapun yang dimaksudkan dengan biladul Muslimin, ia adalah merujuk kepada negeri kaum Muslimin. Sepertimana Darul Islam, wujudnya biladul Muslimin itu adalah disebabkan oleh sesebuah tempat atau wilayah yang dihuni oleh kaum Muslimin secara syar’ie serta dianggap sebagai milik umat Islam. Meskipun wilayah-wilayah itu pada saat ini sedang dijajah dan diduduki oleh orang-orang kafir sepertimana yang berlaku terhadap sebahagian besar wilayah Palestin, Iraq dan Kashmir, ia tetap merupakan biladul Muslimin. Di samping itu, walaupun negara yang ditegakkan di atas negeri-negeri tersebut tidak menerapkan syariah Islam ke atas penduduknya, negeri-negeri itu tetap merupakan negeri-negeri kaum Muslimin kerana wilayahnya dipadati oleh umat Islam. Inilah yang membezakan antara biladul Muslimin dengan Darul Islam.
Diharap para pakar dalam muzakarah akan lebih teliti dan cermat untuk mengeluarkan sesuatu fatwa agar ia tidak mengelirukan umat Islam. Ketahuilah bahawa satu-satunya negara Islam itu adalah Khilafah. Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia untuk menegakkan hukum-hakam syariah Islam dan mengembang dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Jadi, apakah Malaysia layak untuk dikatakan sebagai sebuah Negara Islam?
Sumber: Utusan Malaysia, 21/02/13